Skip to main content

Desak Koperal Jenain Mohon Maaf Secara Terbuka

Oleh RUWAIDA MD ZAIN (Sinar Harian)

SHAH ALAM – Koperal Jenain Subi didesak memohon maaf secara bersemuka dengan ibu dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15 yang mati terkena tembakan anggota polis terbabit dua tahun lalu.


Kakak mangsa, Aisyah berkata, Jenain, 42, perlu menemui ibunya, Norsiah Mohamad, 62, untuk meminta maaf dan menceritakan segala yang berlaku kepada mereka pada malam kejadian.

“Dia (Jenain) perlu datang berjumpa, bersemuka dan meminta maaf dengan kami, terutamanya ibu. Kami hendak dengar dari mulut dia sendiri, apa sebenarnya berlaku pada malam tersebut,” katanya.

Norsiah kesal dengan tindakan Jenain yang hanya memohon maaf kepada keluarganya di hadapan pemberita, selepas dibebaskan daripada hukuman penjara dalam kes tersebut Rabu lalu.

Beliau juga terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jenain atas alasan hanya menjalankan tugas dan membunuh tanpa niat.

Seorang lagi kakak Allahyarham, Azura, berkata, walaupun keluarga mereka menghormati keputusan mahkamah itu mereka berasa mereka tiada berpeluang untuk membela diri seadilnya.

"Saya amat berharap semakan berhubung kes kematian adik kami dibuat semula,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang hadir di sidang media tersebut, berkata, pihak Peguam Negara mesti menyemak dan melihat semula keputusan mahkamah berkenaan.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan Jenain dan membebaskan dia daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada September 2011 berhubung kes menembak mati remaja lelaki itu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuannya memutuskan demikian selepas mendapati Jenain, 49, tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan tetapi tujuan utamanya hanya untuk memberhentikan kenderaan dipandunya.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Berita Ihsan Sinar Harian
-Pejabat YB Khalid Samad-

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa...

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD