Skip to main content

Penjelasan Siasatan Mahkamah Perancis Terhadap Isu Scorpene

Saya telah ke Singapura pada hari Selasa yang lepas untuk menghadiri sesi penerangan berhubung siasatan oleh mahkamah Perancis berhubung pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia. Penerangan ini yang dibuat oleh seorang peguam Perancis sepatutnya dilakukan di Malaysia dan di Parlimen. Malangnya Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin, tidak sanggup memberi jaminan bahawa peguam tersebut akan dibenarkan masuk dan TS Speaker Parlimen pula tidak membenarkan penjelasan itu diadakan di Parlimen. Akhirnya, untuk mengelak berulangnya peristiwa yang memalukan Malaysia seperti yang pernah berlaku terhadap peguam William Bourdon pada tahun lepas, di mana beliau dihalang masuk dan dihantar pulang, maka sesi penerangan ini diadakan di Singapura.



Peguam Perancis yang datang kali ini adalah seorang wanita yang bernama Apoline Cagnat. Beliau merupakan peguam bagi pihak SUARAM yang telah diterima mahkamah Perancis sebagai plaintif sivil dalam kes ini. Mengikut Apoline kes ini merupakan kes jenayah dan sivil mengikut undang-undang Perancis.

STATUS SIASATAN
Dalam menjelaskan status kes ini, Apoline memulakannya dari saat apabila SUARAM mengemukakan aduan berhubung kes Scorpene yang disyaki berlakunya rasuah kepada pejabat pendakwa Perancis. Dengan dibekalkan dengan berbagai dokumen dan bukti, termasuk persoalan-persoalan terhadap pembunuhan Altantuya, pihak pendakwa Perancis telah menerima aduan itu dan memulakan siasatannya. Apabila didapati bahawa kes ini agak rumit kerana melibatkan banyak syarikat dan personaliti, maka pihak pendakwa telah memohon kepada institusi kehakiman untuk melantik hakim untuk meneruskan siasatan berkenaan.

Ketua Institusi kehakiman Perancis kemudiannya telah melantik dua orang hakim untuk meneruskan siasatan dengan lebih terperinci demi memberi jaminan sekiranya ianya dibawa untuk proses perbicaraan, bukti yang ada akan cukup kukuh untuk disabit kesalahan. Di sini Apoline menjelaskan bahawa sistem perundangan Perancis agak berbeza dengan sistem di Malaysia yang kita warisi dari British. Dalam sistem Perancis, Hakim boleh mengetuai siasatan untuk menentukan samada kes itu perlu dibawa untuk dibicara atau sebaliknya. Di Malaysia, siasatan dibuat oleh Polis dan SPRM dan para Hakim hanya terlibat apabila perbicaraan bermula. Di Perancis ianya berbeza.

Namun, sepertimana yang disebut oleh Apoline, sekiranya sesuatu kes diterima untuk disiasat oleh pendakwa dan seterusnya oleh Institusi kehakiman dengan melantik dua orang hakim, ianya merupakan bukti bahawa kes itu dianggap serius dan kukuh. Pada tahap ini, siasatan hakim akan berjalan dengan sendirinya walaupun SUARAM sendiri tidak lagi terlibat. Namun, SUARAM sebagai pihak yang memulakan kes ini dan sebagai plaintif di dalam kes sivilnya berhak untuk berhubung dengan pihak hakim dengan memberi bukti tambahan atau untuk mendapat maklumat mengenai status siasatan.

Masalahnya oleh kerana kes ini dalam siasatan mahkamah maka Apoline tidak boleh mendedahkan apa-apa dokumen atau memberi komen berhubung dokumen-dokumen yang ada tersiar di dalam Internet.

PROSES SIASATAN
Proses siasatan mengikut pendapat Apoline boleh mengambil masa paling kurang 1 1/2 atau 2 tahun bergantung kepada tahap kerjasama yang diberikan oleh mereka yang dikenal pasti sebagai saksi. Dalam tempoh ini, Hakim penyiasat boleh mengeluarkan subpoena untuk meminta mana-mana saksi tertentu hadir untuk memberi penjelasan. Atau mereka boleh datang sendiri ke Malaysia untuk bertemu dengan orang-orang berkenaan. Sekiranya orang yang disubpeona tidak hadir, mereka akan diberi surat peringatan dan sekiranya terus ingkar, hakim penyiasat boleh keluarkan waran tangkap kepada Interpol untuk melaksanakan tangkapan tersebut.

Megikut SUARAM, sudah ada yang disubpeona tetapi dia mendiamkan diri dan ada satu lagi subpoena yang sedang disiapkan. Surat peringatan akan dikeluarkan terhadap penerima subpoena yang sedang mendiamkan diri. Tujuh nama yang dinyatakan oleh SUARAM telah diterima sebagai saksi utama oleh Hakim berkenaan dan di antara mereka adalah DS Najib sendiri, Razak Baginda dan juga Zahid Hamidi.

Apoline menjelaskan bahawa baru-baru ini kerajaan Perancis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Timbalan Presiden French Guinea atas kes yang juga disyaki melibatkan rasuah.

KES ALTANTUYA
Apoline menyatakan bahawa semua yang terlibat di Perancis menyedari bahawa pembunuhan Altantuya mempunyai hubungan rapat dengan kes pembelian Scorpene. Oleh itu pihak mahkamah akan menulis kepada kerajaan Malaysia untuk mendapatkan fail pembicaraan kes pembunuhan Altantuya.

Namun, menurut Apoline lagi, siasatan ini adalah siasatan rasuah dan bukan siasatan ke atas pembunuhan Altantuya.

KOMITMEN MENENTANG RASUAH
Saya juga telah sempat bertanya kepada Apoline mengapakah kerajaan Perancis begitu berminat untuk menyiasat kes ini? Hakikatnya Malaysia yang hilang duit bukan Perancis dan penjualan Scorpene menguntungkan ekonomi Perancis.

Apoline menjawab ianya soal prinsip. Samada yang memberi rasuah atau yang menerimanya, kedua-dua bersalah dan mesti dihukum supaya amalan rasuah ini dibenteras. Maka adalah jelas amat berbeza sungguh dengan sikap pimpinan UMNO yang mengajar ahlinya bahawa tiada masalah dengan rasuah asalkan yang untung adalah Melayu. Satu sikap negara maju yang bercanggah degan sikap zaman jahilliyah UMNO.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, saya ingin menyatakan bahawa kes ini adalah serius dan prosesnya sedang terus berjalan. UMNO BN boleh terus menafikannya tetapi akhirnya kebenaran akan dizahirkan juga. Untuk menentukan kerjasama yang penuh, supaya kebenaran dizahirkan dengan seberapa segera, rakyat Malaysia perlu memastikan kemengangan PR dalam PRU ke 13 ini. Pada ketika itu akses yang penuh akan diberi kepada Hakim penyiasat kerana PR juga mempunyai kommitmen yang tinggi untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Video ihsan MediaRakyat

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan