Skip to main content

Perasuah Dalam Kes Scorpene Pengkhianat Negara

Oleh Mohd Martin Kahar (Keadilandaily)

KUALA LUMPUR 16 Oktober: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menempelak tanggapan bahawa pihak yang mendedahkan rasuah dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene sebagai pengkhianat negara.

Katanya, usaha pendedahan rasuah oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) perlu disokong, bukan dihina dan dilabel sebagai pengkhianat.

“Apa yang dilakukan Suaram adalah langkah terpuji dan perlu disokong. Mereka tidak patut dilabel sebagai pengkhianat. Mengapa pihak yang mendedahkan rasuah dianggap pengkhianat?

“Orang-orang yang mengamalkan rasuah itulah sebenarnya pengkhianat negara,” katanya ketika mencelah perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bayan Baru (Bebas), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim membangkitkan usul supaya satu undang-undang kononnya untuk mengenakan tindakan kepada NGO yang menerima dana asing.

Menjawab usul tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, adalah tidak menjadi kesalahan jika menerima dana asing untuk tujuan kebaikan.

Nazri berkata, walaupun undang-undang mengenai perkara tersebut digubal, seseorang itu perlu dibuktikan di mahkamah adakah dana yang diterima digunakan untuk tujuan tidak baik atau sebaliknya.

Suaram adalah organisasi yang bertanggungjawab memfailkan kes terhadap DCNS, syarikat pembuat kapal selam Perancis yang membina dan menjual kapal selam kepada negara dunia ketiga termasuk Malaysia.

Suaram ditohmah sebagai pengkhianat kerana mendapat bantuan dana asing sebanyak RM570,000 sejak 2007 dari Yayasan Open Society Institute kepunyaan George Soros yang dilabel sebagai penyagak matawang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997.

Dana yang diperoleh ditegaskan oleh Pengarah Suaram, Kua Kia Soong tidak ada kena mengena dengan operasi perniagaan spekulasi mata wang itu, sebaliknya diguna untuk pencerahan hak asasi manusia di negara ini.

Penerimaan bantuan asing bukan perkara baru bagi NGO Malaysia. Bantuan dari negara Arab dan Eropah tidak dipersoalkan. Hanya Suaram yang menjadi mangsa kerana berani mendedahkan skandal kapal selam Scorpene yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rasuah kes Scorpene melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada syarikat milik rakan baik Najib – Abdul Razak Baginda.

Skandal ini berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang diletup mengguna C4 dari Kementerian Pertahanan pada 2006.

Berita dari Keadilandaily
-Pejabat YB Khalid Samad-

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa...