Skip to main content

Kenyataan Nasharuddin Mat Isa

Semasa sidang akhbar di Parlimen, saya telah ditanya wartawan berhubung kenyataan Ust. Nasharuddin Mat Isa mengenai sebuah ‘majlis sambutan kemenangan’ DAP di Sarawak yang menurutnya mendoakan Malaysia menjadi sebuah Negara Kristian. Saya menjawab secara ringkas persoalan tersebut dengan mendedahkan 6 faktor utama mengapa kenyataan tersebut diragui kesahihannya. Ianya adalah seperti berikut:



DAP PARTI SEKULAR
Hakikatnya DAP adalah sebuah parti Sekular yang tidak menerima mana-mana agama sebagai dasar perjuangannya. Mereka berbeza dengan PAS. Dalam perlembagaan DAP tidak ada disebut “dasar perjuangan DAP adalah Kristian” seperti disebut dalam perlembagaan PAS “dasar perjuangan PAS adalah Islam”. Dasar sekularnya juga merupakan penyebab Karpal begitu sensitif terhadap persoalan undang-undang keagamaan, bukan kerana ke-Kristianannya. Semenjak bila Karpal jadi Kristian?

Oleh itu adalah amat sangat pelik sekiranya adanya ‘baca doa’ dalam majlis DAP.


DAP PARTI BERBILANG KAUM DAN AGAMA
Semua sedar pimpinan DAP adalah berbilang kaum dan agama. LKS bukan Kristian sepertimana juga Karpal Singh. Ahli mereka beragama Buddha, Konfusi, Hindu, Kristian dan lain-lain. Ada juga ahli mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ini adakah fakta yang tidak boleh dinafi oleh mana-mana pihak yang waras yang tidak mempunyai agenda yang tersembunyi.

Oleh itu, amat pelik mereka boleh mendoakan Malaysia menjadi ‘Negara Kristian’ sedangkan majoriti dari mereka tidak beragama Kristian.


PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK SUDAH LAMA BERLANGSUNG
Pilihan Raya Negeri Sarawak sudah berlangsung lebih setahun yang lalu. Sekiranya benar peristiwa yang didakwa telah berlaku, mengapa ianya tidak laporkan kepada pimpinan PAS, samada AJK PAS Pusat atau Majlis Syura Ulama pada ketika itu? Sekiranya diberitahu dan dikemukakan bukti, maka kita boleh bertanyakan perkara ini kepada pimpinan DAP dan berdasarkan fakta 1 dan 2, sudah pasti pimpinan DAP sendiri akan mengambil tindakan terhadap ahli atau pimpinan mereka yang ingin menyelewengkan perjuangan parti DAP.

Hakikat bahawa ianya hanya didedahkan apabila PRU sudah hampir menimbulkan keraguan terhadap kesahihan berita yang dibawa dan tujuan sebenar sebalik ‘pendedahan’ ini. Adakah ianya berita yang direka dan disensasikan supaya tumpuan terhadap persoalan rasuah dan penyelewengan UMNO/BN dapat ditutup? Supaya dengan itu akan berkata orang Melayu, “cabaran kita bukan soal rasuah dan penyelewengan UMNO/BN tetapi Kristianisasi!” Dengan itu akan diselamatkan UMNO/BN melalui suatu ‘ancaman’ yang direkacipta mengikut arahan pihak tertentu.


MENGAPA DIDEDAHKAN KEPADA MEDIA TANPA BERBINCANG PIMPINAN PAS?
Majlis Syura Ulama’ baru sahaja bertemu. Mengapa perkara ini tidak dikemukakan kepada mereka dan sebaliknya didedahkan terus kepada media? Cara isu ini ditangani menimbulkan persoalan terhadap motif sebenar ‘pendedahan’ yang dilakukannya. Ianya ‘pendedahan yang bermotifkan politik’ dimana UMNO khususnya boleh meraih keuntungan dengan mensensasikan pendedahan tersebut walaupun tiada bukti yang dikemukakan.

PAS akan dipalitkan sebagai parti yang bersekongkol dengan DAP yang ingin ‘mengkristiankan Malaysia’ kononnya dan UMNO yang bersekeduddukan dengan MCA/Gerakan/MIC terlepas begitu.

Walaupun DAP yang diserang, hakikatnya PAS yang menerima padah yang lebih besar. Adakah itu yang diinginkan?


MENGAPA DAP MENJADI SASARAN?
Umum mengetahui sikap MCA terhadap perlaksanaan undang-undang Islam adalah sama kalau tidak lebih ekstrim berbanding DAP. DAP menghormati hak PAS memperjuangkannya walaupun tidak bersetuju dengan perlaksanaannya. Mereka tidak menuntut supaya PAS gugurkan agenda perundangan Islam dan Hudud. MCA memberi UMNO kata dua berhubung isu hudud dan mengugut untuk keluar dari BN sekiranya UMNO ingin memperjuangkannya. Tauke judi sama ada dari Genting, Magnum, Empat Nombor ekor dan sebagainya adalah kesemuanya penyokong tegar MCA. Presiden MCA sendiri masyhur sebagai pelakon video lucah yang beliau mengakui video tersebut menunjukkan dirinya bersama wanita yang bukan isterinya tetapi MCA terus kekalkannya sebagai Presiden. MCA juga merupakan pihak yang inginkan judi bola semasa piala dunia walaupun UMNO menjadi juru bicaranya.

Dengan segala yang buruk yang ada pada MCA, hanya DAP yang diserang dan tidak langsung disebut atau dikritik MCA. Chua Soi Lek tidak diistiharkan sebagi anti-Islam sedangkan kata-katanya berhubung Hudud jauh lebih dahsyat dari Karpal.

Melalui serangan terhadap DAP, MCA dibantu, Gerakan dan MIC untuk memperolehi undi Melayu di kawasan-kawasan yang ditandingi mereka. Mengapa mahukan MCA, Gerakan dan MIC menangi kerusi yang ditandingi DAP? Apa yang menyebabkan seseorang itu sanggup menjadi pembantu kepada parti MCA, Gerakan dan MIC sedangkan mereka ini semua tidak bersama PAS dan tidak mungkin bersama kerana memilih UMNO yang juga sekular sebagai rakan?

Kenyataan ini menimbulkan kesangsian terhadap dakwaan bahawa tersebut demi kepentingan Islam sedangkan tindakan itu jelas menguntungkan kelompok parti yang lebih jelas permusuhan mereka terhadap sistem perundangan Islam berbanding DAP. Begitu juga akhlak dan keterlibatan mereka dengan perniagaan maksiat jauh lebih ketara dari pihak DAP.


KEDUDUKAN AHLI DI DALAM JEMAAH
Kenyataan tersebut bagaikan mencabar PAS untuk mengambil tindakan terhadap dirinya. Beliau menggambarkan dirinya sebagai seorang yang ingin pertahankan Islam dan PAS sebagai parti yang telah mengkhianati perjuangan Islam. Sepertimana Hassan Ali, beliau cuba menggambarkan dirinya sebagai yang satu-satunya pimpinan PAS yang ikhlas mempertahankan Islam sedangkan pimpinan PAS yang lain mementingkan jawatan dan kuasa.

Yang anehnya, walaupun beliau menyerang PAS, beliau tidak mahu meninggalkan PAS dan ingin sebaliknya untuk PAS mengambil tindakan terhadap dirinya. Ini adalah apa yang jelas tersirat di dalam kenyataannya. Adakah melalui itu beliau mengharapkan supaya imej PAS akan terus terpalit sebagai parti yang mementingkan DAP lebih dari ahlinya malahan bekas Timbalan Presidennya sendiri?

Sekiranya begitu, maka adakah DAP atau PAS yang merupakan sasarannya yang sebenar?

Hakikatnya, sekiranya PAS mengambil tindakan terhadap dirinya sekalipun, ianya bukan kerana mementingkan DAP. Ianya adalah atas sebab disiplin jemaah yang tidak diikuti dan tuduhan melulu yang dilakukan beliau. Seseorang pemimpin parti Islam tidak boleh menuduh mana-mana pihak, samada Islam atau bukan Islam, dengan sebarang tuduhan yang tidak benar dan memfitnah mereka. Oleh itu, sekiranya beliau tidak mampu mengemukakan bukti, kepada pimpinan parti akan kebenaran tuduhan beliau yang begitu serius, maka PAS perlu mengambil tindakan terhadap dirinya. Tindakan itu tidak semesti berbentuk pemecatan.

Berhubung tuduhan Karpal anti-Islam kerana menolak hudud, itu telah dijelaskan oleh Presiden sendiri bahawa penolakan hudud oleh yang bukan Islam tidak merupakan sesuatu yang pelik. Yang pelik ialah ianya ditolak oleh UMNO yang kononnya Islam!


KESIMPULAN
Pepatah Melayu ada berkata “Marahkan anak sindir menantu”. Oleh itu, saya tidak boleh menolak pandangan bahawa sebenarnya sasaran sebenarnya adalah PAS dan bukannya DAP. Hakikatnya DAP tidak sebegitu terjejas dengan tuduhan tersebut. Mereka akan tetap memenangi kebanyakan dari kerusi yang ditandingi mereka kerana pengundi bukan Melayu ingin melihat perubahan atas sebab penyelewengan dan rasuah yang merosakkan ekonomi Negara. Tuduhan yang tidak berasas seperti ini hanya akan menambahkan lagi sokongan bukan Melayu terhadap DAP yang dilihat mereka sebagai pihak yang difitnah dan dizalimi. Ini adalah kerana mereka tahu DAP bukan parti Kristian.

Yang mungkin akan terjejas teruk melalui tuduhan liar tersebut adalah PAS. Pengundi Melayu sekiranya terpengaruh akan berjaya dihasut untuk membencikan DAP akan turut menolak PAS kerana PAS bersama dengan DAP. Pada ketika itu, para pengundi ini akan mengundi UMNO/BN dan PAS akan dikalahkan.

Sekiranya itulah niat sebenar apabila isu-isu ini ditimbulkan, maka amat jelas beliau sudah merelakan dirinya untuk menjadi senjata UMNO/BN untuk membunuh PAS. Mungkin kerana melihat masa depannya bersama PAS, seperti juga dilihat Hassan Ali, tidak lagi secerah dulu. Atau mungkin juga sudah ada menunggu kerusi empuk dan jawatan yang jauh lebih selesa disebelah sana.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-