Skip to main content

Isu Rohingya

Kerajaan BN, khususnya PM tidak boleh melepas tangan dalam soal membela ummat Islam Rohingya yang sedang ditindas dan dizalimi di Myanmar dengan alasan “dasar tidak campur tangan adalah sebab mengapa ASEAN berjaya dan terus wujud hingga hari ini”. Hakikatnya, ‘The ASEAN Charter’ mengandungi juga (selain persoalan tiada campur tangan dalam urusan Negara jiran) persoalan menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Di atas sebab ini PM digesa untuk bertindak lebih tegas dan pro-aktif dengan menjemput Duta Myanmar ke pejabatnya untuk menyampaikan taklimat berhubung apa yang sedang berlaku dan perancangan kerajaan Myanmar untuk mengatasinya.




Malaysia mempunyai kedudukan yang sangat istimewa atas sebab keharmonian yang sedang dialami rakyatnya yang berbilang kaum dan agama. Hakikat ini pasti disedari dan diakui oleh Duta Myanmar ke Malaysia dan mesej serta pengajaran berhubung keharmonian kaum dan agama inilah yang boleh dibawa balik ke kerajaan Myanmar. Selain itu, PM boleh juga memohon sokongan dari kumpulan persatuan Buddha khususnya, serta Kristian, Hindu dan sebagainya, yang wujud dan aktif di Malaysia, untuk menyeru kerajaan Myanmar untuk menghormati hak asasi golongan Rohingya sepertimana yang sudah pasti dituntut oleh ajaran agama Buddha itu sendiri. Saya yakin semua persatuan ini sanggup membantu sekiranya diberi peranan dan peluang kearah itu.

Sejarah kedatangan ummat Islam ke Myanmar boleh dikesan sejak abad ke 10 Masehi lagi. Pada abad ke 14 Masehi pula, kerajaan Moghul India telah banyak berinteraksi dengan kawasan Negara berkenaan, khususnya kawasan Arkan yang bersempadan dengan Bengal dan Bangladesh. Zaman pemerintahan British pula pada abad ke 19 Masehi telah menghasilkan perpindahan beramai-ramai orang Islam Bengali ke kawasan Arkan. Perang dunia ke-2 dan penjajahan Jepun menyebabkan keadaan dan nasib kaum Rohingya semakin tertekan dan akhirnya pada tahun 1992 di bawah pemerintahan junta tentera, kerakyatan kaum Rohingiya dilucutkan secara rasmi. Sekarang ini mereka adalah entiti yang tidak mempunyai kerakyatan sah di mana-mana di dunia dan oleh itu tiada hak dan tiada perlindungan.

Sepertimana Malaysia telah mampu menerima kedatangan orang India dan Cina secara beramai-ramai semasa zaman British, walaupun ada wujud sejumlah tertentu sebelum darinya, perlu ditonjolkan kepada kerajaan Myanmar sebagai pengajaran dan hala tuju yang boleh dan perlu diikuti mereka.

Kebencian rakyat Myanmar beragama Buddha terhadap kaum Rohingya adalah hasil dari kerja-kerja adu domba yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat yang menuduh orang Rohingya terus ingin menegakkan Negara Islam di Burma melalui gerakan ketenteraan. Sedangkan jumlah kaum Rohingya adalah kurang dari 4% seluruh rakyat Myanmar. Pada masa yang sama, dalam peristiwa terbaru ini, disebarkan berita kononnya beberapa lelaki Rohingya telah merogol seorang wanita Myanmar.

Berita-berita yang mengapi-apikan semangat kebencian inilah yang menyebabkan rakyat Myanmar beragama Buddha mengenepikan ajaran Buddha itu sendiri sehingga sanggup melakukan kezaliman dan penginiayaan terhadap kaum Rohingya sebegitu rupa. Masyarakat Buddha diperingkat antarabangsa seharusnya menasihati mereka supaya tidak menjejas imej agama mereka melalui tindakan sedemikian rupa. Seharusnya suatu penyelesaian yang menjamin keselamatan dan keadilan semua pihak dapat dicapai melalui rundingan.

Keadaan ini harus juga menjadi pengajaran kepada kita akan bahayanya khabar angin yang bertujuan untuk mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama; serta kemusnahan dan kezaliman yang mampu hasilkannya. Rakyat Malaysia sendiri harus berwaspada terhadap kenyataan seperti ‘ancaman Kristianisasi’, ‘jadikan Malaysia Negara Kristian’, ‘Cina berkuasa’ dan sebagainya yang sepatutnya tidak dilayani rakyat selagi bukti kukuh tidak dikemukakan.

Kerajaan Malaysia mesti menyuarakan bantahan terhadap apa yang sedang berlaku dan menyampaikan mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa tindakan sedemikian rupa tidak boleh diterima oleh ASEAN.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-