Skip to main content

Hudud: Di Antara Karpal dan UMNO

Sepertimana biasa, sibuk pulalah akhbar pro BN dengan berita Karpal tidak bersetuju dengan hudud. Karpal telah menyatakan bahawa perlaksanaannya bercanggah dengan perlembagaan Negara. Menurut beliau lagi, ianya tidak akan mampu menyekat jenayah kerana memerlukan pembuktian yang terlalu terperinci dan oleh itu sukar menyabit kesalahan seseorang dan sebagainya.

KARPAL TIDAK SETUJU DENGAN HUDUD

Saya sebenarnya amat hairan dengan perbahasan ini dan relevensinya. Penting sangatkah pandangan Karpal dalam persoalan hudud? Dia bukan Islam maka kalau dia tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud, malahan dengan Islam itu sendiri, sebagai seorang Islam apa yang perlu diresah gelisahkan? Dia bukan Islam. Perlukah persetujuannya sebelum kita ummat Islam bersetuju untuk melaksanakan apa yang telah diwajibkan oleh agama kita?

PAS telah menyatakan bahawa jika orang bukan Islam tidak mahu hudud atau hukuman Islam yang lain dilaksanakan ke atas mereka maka ianya tidak merupakan satu masalah. Ini diambil dari ayat 42 Surah Al-Maidah yang menyebut:
“…dan jika mereka datang kepada kamu hukumkanlah di antara mereka, atau jangan kamu layani (permintaan) mereka (iaitu untuk menghukum di antara mereka) dan sekiranya kamu tidak melayani mereka maka ianya tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Dan sekiranya kamu menghukum di antara mereka, hukumlah secara adil. Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berlaku adil.”
Pendirian ini selari juga dengan amalan Rasulullah (SAW) terhadap golongan Yahudi di Madinah yang melaksanakan hukuman yang menurut mereka berdasarkan ajaran kitab Taurah. Kalau dilihat dari mafhum ayat, “dan jika mereka datang kepada kamu…” ini membawa erti bahawa ianya satu kemungkinan bukan satu kewajipan. Biasanya mereka tidak datang meminta Rasulullah (SAW) menghakimi di antara mereka, maka mereka uruskan sendiri sesama mereka.

PAS PERLU KELUAR PR KERANA BANTAHAN KARPAL?

Maka bergendanglah mereka yang memusuhi PR mendesak PAS keluar PR oleh kerana bantahan Karpal. Sedangkan mereka sendiri pun tidak mengambil berat tentang perintah Allah untuk melaksanakan hudud! Adakah orang bukan Islam perlu bersetuju dengan semua yang diajar oleh Islam maka baru boleh ummat Islam berkerjasama dengan mereka?

Adalah jelas bahawa tidak perlu bagi yang bukan Islam menyatakan persetujuan mereka dengan kebenaran Islam atau keadilan sistem perundangan Islam sebelum ummat Islam boleh berkerjasama dengan mereka. Di Madinah, walaupun bertahalluf dengan Yahudi, mereka sering mempertikaikan ajaran Islam dan amalan Rasulullah (SAW). Tahalluf dengan mereka tidak dibatalkan apabila mereka mempertikaikan Islam, sebaliknya Rasulullah (SAW) menjawab segala yang mereka pertikaikan dengan bantuan Allah SWT. Ayat Al-Quran yang menjawab balik dakwaan Yahudi tetap bersama kita sebagai bukti.

Tahalluf dengan masyarakat Yahudi Madinah hanya ditamatkan dan mereka diperangi apabila mereka melanggar perjanjian dengan tidak mempertahankan Madinah, malahan bertindak khianat, apabila tentera Ahzab Arab Musyrikin menyerang Madinah. Peristiwa ini berlaku pada perang Ahzab atau perang Khandak (parit). Sedangkan perjanjian atau piagam Madinah menuntut supaya Madinah dipertahankan bersama dari ancaman musuh luar.

Oleh itu, sekiranya Karpal tidak bersetuju dengan hudud, maka itu adalah hak beliau. Pandangan beliau terhadap perlembagaan yang kononnya menghalang perlaksanaan hudud dan ketidakmampuan hudud untuk mengurangkan jenayah dikemukakan dengan hujjah tertentu. Ianya adalah pandangan, bukan semestinya cemuhan. Masalahnya, pandangan beliau tidak ditangani dengan baik, sebaliknya terus dituduh beliau anti-Islam! Mungkin ini adalah kaedah dakwah baru dibawah tunjuk ajar UMNO/BN?

HUDUD BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN?

Samada perlaksanaan hudud bercanggah dengan perlembagaan ataupun tidak, itu merupakan pendapat masing-masing. Karpal berpendapat ianya bercanggah. Pada masa yang sama, terdapat ramai juga pakar perundangan yang berpandangan sebaliknya. Sebagai contoh, Prof. Dr. Aziz Bari. Begitu juga Almarhum Prof. Dr. Ahmad Ibrahim. Jika dikatakan Tun Salleh Abas bersetuju dengan pandangan Karpal, mengapa pula enakmen Hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu semasa Tun Salleh adalah exco kerajaan Negeri Terengganu ketika itu?

Walau apa sekalipun, perkara ini sepatutnya di serah kepada mereka yang pakar untuk membahasnya hanya apabila tiba waktunya. Waktunya bila? Apabila ada kerajaan Negeri yang ingin melaksanakannya dan ada juga kerajaan Pusat yang sanggup menimbangkannya. Sekarang ini apa yang lebih penting ialah ummat Islam sendiri perlu sokong perlaksanaannya serta menyokong PAS dan PR dalam PRU yang akan datang. Kenapa sokong PAS? Kerana PAS ikhlas dalam soal ini dan ini terbukti dengan PAS meluluskan enakmen berkenaannya di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah.

Kenapa pula sokong PR? Kerana dengan harapan bahawa PR ikhlas dalam mendaulatkan rakyat serta demokrasi dan dengan itu lebih terbuka kepada kehendak rakyat Islam yang inginkan hudud. Apa yang pasti dan sudah jelas ialah BN tidak begitu.

Maka sekiranya PR menang di Putrajaya dan PAS memerintah bersama di Pusat dan juga di Kelantan, maka isu perlembagaan ini boleh dibahaskan dan dikupas sepuas-puasnya dalam suasana ilmiah tanpa dipolitikkan. Pada ketika itu perbahasannya menjadi releven kerana ada usaha untuk melaksanakannya. Sekiranya benar perlembagaan tidak mengizinkannya, maka perlu dibahas pula apa yang perlu dilakukan untuk mengizinkannya dilaksanakan.

Sudah pasti perlembagaan bertujuan untuk memenuhi impian dan kehendak rakyat dan bukan memerangkap rakyat dalam suatu kerangka yang menjadi penghalang terhadap tercapainya cita-cita rakyat.

Oleh itu, pada peringkat ini apa yang perlu ialah untuk menumbangkan UMNO/BN. Jangan oleh kerana berbalah dalam isu ini, peringkat pertama pun tidak terlaksana. Jika BN terus memerintah, maka isu ini akan terus menjadi polemik tanpa kesudahan.

HUDUD TIDAK MAMPU MENCEGAH JENAYAH?

Karpal menyatakan bahawa Hudud memerlukan pembuktian yang amat terperinci dan tepat sehingga menjadikan soal menyabit kesalahan seseorang amat sukar. Ini akan menyebabkan penjenayah terlepas dan oleh itu jenayah akan meningkat bukan berkurangan.

Sememangnya perlaksanaan hukum hudud bersifat begitu. Oleh kerana hukumannya agak tegas, maka keperluan untuk pembuktian tanpa syak walaupun sedikit terhadap kesalahan seseorang adalah satu keperluan asas demi menjamin keadilan. Namun ianya tidak bermakna bahawa pendakwa tidak mampu memenangi kes terhadap seseorang penjenayah. Ini adalah kerana wujud juga perundangan takzir. Apa yang tidak boleh disabit di bawah hudud, oleh kerana memerlukan jenis pembuktian yang khusus dan begitu terperinci, maka boleh didakwa dan disabit di bawah hukum takzir.

Sebagai contoh, apabila seseorang dituduh mencuri dan barang yang dicuri berada dalam simpanannya serta pembuktian lain seperti kesan ibu jari, DNA dan lain-lain mencukupi untuk menyabitkan kesalahan, maka beliau perlu didakwa oleh pendakwa raya di bawah hukum takzir. Ini adalah kerana dari awal lagi pendakwa raya memahami bahawa kesalahan tersebut tidak boleh disabit di bawah hudud kerana diperlukan dua orang saksi dengan segala sifat yang wajib bagi seseorang saksi. Dalam perlaksanaan takzir, hukumannya bukan potong tangan seperti di bawah hudud tetapi sebaliknya boleh dikenakan hukuman lain, terserah kepada kebijaksanaan mahkamah. Ini boleh melibatkan penjara atau sebatan atau apa jua yang difikirkan sesuai serta adil dengan mengambil kira keadaan dan tekanan yang dilalui oleh pihak bersalah. Ini juga termasuk implikasi hukuman yang akan dijatuhkan terhadap dirinya dan keluarganya. Pada masa yang sama, aspek hak pihak yang dicuri serta tindakan pencegahan juga adalah merupakan pertimbangan yang perlu diambil kira.

Oleh yang demikian tanggapan bahawa seseorang yang bersalah akan mudah terlepas oleh kerana keperluan pembuktian yang terlalu ketat di bawah hudud adalah tidak tepat. Ini adalah kerana dia boleh sebaliknya didakwa di bawah takzir.

KESIMPULAN

Dalam persoalan hudud, apabila dikaji secara menyeluruh, ianya menimbulkan persoalan, iaitu, sekiranya ianya hanya untuk orang Islam dan penyabitan kesalahan terhadap tertuduh adalah hampir mustahil, maka mengapa kita perlu berbalah mengenainya? Adakah perlu kita berbalah mengenai sesuatu yang Karpal sendiri menyatakan sukar untuk disabit kesalahan di bawahnya?

Bagi orang Islam, ianya dilihat dari sudut tuntutan agama. Dengan adanya hudud maka ketaatan orang Islam terhadap agamanya terlaksana, walaupun pada kebiasaannya hudud tidak terlaksana oleh kerana keperluan pembuktian yang ketat dan sukar. Secara kebiasaannya hukuman takzir yang akan dilaksanakan.

Dalam erti kata lain, adakah wajar kita berbalah dalam persoalan ini? Sedangkan terdapat permasalahan yang jauh lebih besar yang perlu ditangani seperti ketidakbebasan institusi kehakiman, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di bawah BN yang akhirnya membebankan rakyat jelata.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

sp4n4r said…
Soalan YB : Penting sangatkah pandangan Karpal dalam persoalan hudud?

Bagi ambe, pandangan karpal perlu diteliti kerana karpal bercakap sebagai orang undang-undang bukan sebagai ahli politik semata-mata. Perbincangan sesama forumer mengenai hudud yang dibicarakan di Tranungkite , membuktikan wujud masalah yang bakal timbul pada PAS sendiri dimana PAS seperti menjilat ludah sendiri.
.


(( Take Note )) UMNO BODOH - Kenapa BN Tak Buat HUDUD Sejak 50 Thn dulu?



Tak ada apa yg perlu dijelaskan lg. Tak ada apa yg perlu diterangkan lg. Tak ada apa yg perlu diperincikan lg. Pemuda dan Puteri UMNO sememangnya BODOH.

Bila kaum Cina menolak HUDUD, pandai pulak mereka sibuk2 nak bercakap pasal HUDUD. Yg Barisan Nasional yg dah memerintah lebih 50 tahun tak pernah buat HUDUD , 'Ada ko kisah'? Kepala otak pemuda dan puteri UMNO letak kat mana?

Bodoh sangat kalau ada orang kata mengundi UMNO yg dah memerintah 50 tahun tanpa HUDUD lebih baik berbanding kaum cina yg tak faham HUDUD menolak HUDUD.

Jadi, fikirkan sy ada alasan cukup kuat kenapa menolak BN dan menerima PAKATAN RAKYAT. Sememangnya mereka tak pernah buat HUDUD sejak 50 tahun dulu. Dan pemuda dan puteri UMNO memilih utk jadi BODOH.


(Edit, copy & paste dari 'Page FB Kump. Adik2 Keluar UMNO')

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-