Skip to main content

Bacaan Al-Quran Sepanjang RamaDhan: Juz 2

Saya sememangnya bercadang menulis setiap malam, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Atas kegagalan saya, saya memohon maaf. Hanya petang ini saya mendapati ada ruang sedikit, maka saya ingin berkongsi beberapa ayat dari juz kedua. Sebenarnya, semua ayat Allah adalah penting, penuh makna dan sarat dengan pengajaran. Tiada kelebihan tertentu pada ayat yang saya pilih berbanding ayat yang lain, kecuali ianya dipilih saya di atas sebab-sebab yang tertentu.

“Ketika itu orang-orang yang diikuti melepas tangan dari orang-orang yang mengikut mereka, kerana mereka telah melihat siksaan (yang menunggu mereka) dan putuslah pertalian di antara mereka.

Berkata orang-orang yang mengikut; Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) maka kami akan berlepas tangan pula dari mereka sebagaimana mereka berlepas tangan dari kami. Begitulah Allah memperlihatkan bagaimana perbuatan mereka menjadi (sumber) penyesalan mereka dan mereka tidak akan keluar dari neraka.”
(Al-Baqarah 166 dan 167)

Ayat di atas antara lain menjelaskan keadaan manusia-manusia yang membenarkan hidup mereka dicorakkan oleh barisan pemimpin yang tidak mengikut kehendak syariat Allah. Akhirnya kehebatan pemimpin ini terbukti hanya suatu kepalsuan. Hancur lebur kekuatan pemimpin ini apabila berhadapan dengan siksaan Allah. Pemimpin tersebut akan melepas tangan dan akhirnya pemimpin dan pengikut kerugian buat selama-lamanya.

Jangan kita terpedaya dengan ‘kehebatan’ manusia, khususnya yang menyeru ke jalan yang tidak berpandukan Al-Quran serta Sunnah Rasulullah (SAW). Ikut seseorang hanya kerana dia mengikut Al-Quran dan Sunnah RasulNya.

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah melanggari batas, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melanggar batas.”

(Al-Baqarah 190)

Jelas dari ayat ini, kita diperintah memerangi orang yang memerangi kita, bukan siapa sahaja yang tidak beriman dengan Islam atau tidak setuju dengan kita. Banyak lagi ayat yang akan kita dapati semasa tadarrus kita sepanjang RamaDhan, bagaimana perang hanya apabila diperangi. Dalam soal tidak ada persetujuan atas sesuatu perkara, maka kaedah Islam adalah bahas dan bincang dan cuba diyakinkan, bukan terus ajak berperang!

Pengajaran kedua dari ayat ini ialah, walau dalam keadaan perang sekalipun, terdapat batas-batas yang perlu dihormati. Tidak benar kata-kata i“All is fair in love and war” atau apa pun dibenarkan dalam soal cinta dan perang!

“Dan perangi mereka sehingga berakhirnya ‘fitnah’ dan agama hanya untuk Allah tetapi kalau mereka berhenti maka hentilah bermusuhan kecuali terhadap mereka yang zalim.”

(Al-Baqarah 193)

Tujuan perang adalah untuk menghapuskan ‘fitnah’ atau penindasan dan penyeksaan terhadap manusia yang dipaksa menganuti agama dan cara hidup tertentu oleh barisan pembesar mereka. Apabila penindasan dan penyeksaan itu dihentikan, maka manusia dibenarkan menganut agama dan cara hidup mereka secara bebas tanpa paksaan. Pada ketika itu, agama dan cara hidup adalah ‘untuk Allah’ bukan atas sebab penindasan, paksaan atau penyeksaan.

Sebenarnya Islam mempertahankan hak ‘kebebasan beragama’ dan menjadikannya suatu kewajipan ke atas ummat Islam untuk memperjuangkannya sehingga wajib berperang kerananya.

Pada ketika apabila kebebasan beragama itu terlaksana maka pada ketika itu juga ummat Islam perlu menghentikan permusuhan mereka terhadap golongan yang dahulunya menindas tetapi sudah insaf dan berhenti, kecuali terhadap yang masih bertindak zalim.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-langkah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh kamu yang nyata.”

(Al-Baqarah 208)

Ayat ini adalah sepertimana dengan ayat yang saya petik dari Juz pertama berhubung beriman kepada sebahagian dari Al-Quran dan kufur kepada sebahagian yang lain. Hanya kali ini dinyatakan bahawa tindakan sedemikian rupa adalah “mengikut jejak-langkah Syaitan”. Ianya sudah pasti akan membawa kehancuran kepada kita kerana itulah matlamat dan keinginan Syaitan, iaitu musuh manusia yang jelas dan nyata.

Hakikat bahawa persoalan ini diulangi dalam beberapa bentuk di dalam Al-Quran merupakan bukti bahawa ianya sesuatu yang sering dilakukan oleh manusia yang terpedaya dengan hasutan Syaitan. Dewasa ini ia mengambil pelbagai jenis bentuk dan rupa, di antara yang lain ialah memisahkan agama dan politik.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-