Skip to main content

BERSIH 3.0!

Perhimpunan Aman Duduk Bantah yang dianjurkan oleh BERSIH 3.0 adalah merupakan program BERSIH yang paling berjaya dari 3 program yang dianjurkan sebelum ini dari segi kehadiran. Adalah dianggarkan bahawa jumlah kehadiran melebihi 250,000 peserta dari berbagai jenis latar belakang, kaum, jantina dan umur . Kehadiran sebegitu ramai rakyat Malaysia dalam program tersebut adalah bukti bahawa rakyat berkeyakinan bahawa suatu rombakan adalah perlu dalam sistem pilihan raya Negara sebelum pilihan raya yang bersih dapat diadakan. Ia menggambarkan keadaan di mana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap ketelusan dan kesaksamaan sistem pilihan raya yang ada. Ia sekali gus merupakan pengisytiharan tidak percaya terhadap kejujuran SPR dan kemampuannya untuk menganjurkan pilihan raya yang bersih.

Gambar ihsan Selangorku

Ini turut bererti bahawa segala usaha kerajaan BN dan SPR untuk meyakinkan rakyat bahawa sistem pilihan raya telahpun dipulihkan, dengan penubuhan Jawatan Kuasa Pilihan Parlimen dan sebagainya, telah gagal. Rakyat yang bermaklumat, melalui segala jenis media alternatif memahami bahawa ia semua merupakan sandiwara yang dilakonkan pihak kerajaan BN yang masih tidak mempunyai komitmen atau kesanggupan untuk mengadakan pilihan raya bersih.

Pengumuman Pengerusi SPR bahawa daftar pemilihnya adalah yang terbersih di dunia hanya ditertawakan rakyat dan pendedahan bahawa dirinya serta timbalannya adalah merupakan ahli UMNO yang berdaftar hanya merumitkan keadaan. Atas sebab itu dan beberapa sebab yang lain, rakyat Malaysia telah berkumpul untuk menzahirkan keinginan mereka untuk sistem pilihan raya yang bersih dan menolak segala dakwaan bahawa ianya sudah pun dibersihkan.

Kejayaan program himpunan tersebut hendak ditutup oleh pihak kerajaan BN. Sekiranya perhimpunan itu berlaku tanpa sebarang peristiwa yang pahit, maka sudah pasti tajuk akhbar keesokannya akan menyatakan jumlah kehadiran yang begitu bersejarah yang berjaya diadakan dengan aman damai tanpa sebarang bentuk kekacauan. Ini akan mendedahkan hakikat bahawa rakyat menolak keadaan yang sedia wujud berhubung sistem pilihan raya dan implikasinya adalah pihak kerajaan BN akan terpaksa mengambil tindakan membetulkannya. Pada masa yang sama, perhimpunan aman yang sepertinya boleh diadakan berkali-kali lagi sehingga pembaik-pulihan sistem dilakukan! Ini semestinya merupakan keadaan yang tidak boleh diterima oleh pihak BN.

Penjelasan seperti di atas adalah satu-satunya penjelasan munasabah mengapa perhimpunan yang aman damai selama beberapa jam telah berubah menjadi ganas tanpa sebab dan alasan yang boleh diterima akal. Pihak kerajaan BN inginkan peristiwa hitam berlaku untuk menutup kejayaan program berkenaan. Dengan itu tajuk berita esoknya akan memaparkan gambar kekacauan dan suasana kelam-kelibut sehingga dengan itu, jumlah kehadiran dan implikasi dari jumlah kehadiran yang sebegitu, tidak akan merupakan tajuk utama akhbar dan pemberita.

Namun, walaupun gambar sensasi ‘rusuhan rakyat’ dapat dipamerkan media perdana untuk beberapa hari, lambat laun, gambar dan video keganasan polis akan terdedah juga. Begitu juga akan terdedah jumlah kehadiran yang begitu menakjubkan. Tidak mungkin ditutup bangkai gajah dengan nyiru!

Gambar dan video ini akan menyebabkan rakyat melihat dan memahami bagaimana suasana kelam kelibut itu hanya bermula selepas pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bagaimana seterusnya polis melakukan upacara ‘pembantaian rakyat’ dengan penuh restu dan mungkin juga atas arahan pimpinan BN sendiri. Keadaan ini turut diperjelaskan lagi dengan maklumat dari pihak BN sendiri bahawa seramai 2,000 anggota polis telah diserapkan di kalangan peserta BERSIH 3.0 untuk mencetuskan huru hara.

Penyokong BN berkata agenda BERSIH 3.0 ‘yang sebenar’ telah tidak tercapai. Bagi mereka ‘agenda sebenar’ adalah menjatuhkan kerajaan BN melalui rusuhan. Itu fitnah yang jelas dan nyata. Tiada yang datang untuk merusuh dan itulah sebabnya yang datang ada yang membawa anak-anak mereka, ada yang membawa ibu bapa mereka dan TIADA yang membawa senjata.

Hakikatnya, BERSIH 3.0 telah berjaya. Selain dari menzahirkan jumlah rakyat yang begitu ramai yang inginkan sistem pilihan raya dibersihkan dari penipuan, peristiwa hitam menzahirkan bagaimana institusi polis telah dinodai sehingga memukul rakyat demi kepentingan UMNO dan BN. Ini sepatutnya menambahkan keyakinan rakyat bahawa perubahan amat sangat diperlukan.

Dalam erti kata lain, siapa yang bersetuju Polis berhak bertindak samseng, memukul rakyat dan melayani rakyat sebagai sampah, sila undi BN. BN akan terus menjamin ‘hak’ Polis untuk membantai rakyat secara adil, iaitu tanpa pilih kasih di mana semua kena pukul, lelaki, perempuan, yang tua, yang muda, peguam, wartawan dan sebagainya, akan terus dipertahankan demi menjaga kepentingan mereka.

Tetapi, sesiapa yang setuju bahawa polis adalah institusi pembela rakyat, menjunjung konsep keluhuran undang-undang, sentiasa bertindak mengikut garis panduan undang-undang demi menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat, sila undi PR. Ini adalah kerana PR akan menjamin institusi polis akan dikembalikan kepada zaman kegemilangannya, di mana polis dihormati dan dilihat sebagai institusi memerangi rasuah dan jenayah serta segala salah laku walaupun apabila pelakunya adalah pembesar Negara.


Oleh itu, buat masa ini adalah wajar untuk ditubuhkan Suruhan Jaya di Raja untuk menyiasat mengapa kegansan dan keadaan huru-hara telah tercetus dan siapa dalangnya. Pada masa yang sama, semua yang bertindak ganas dengan tidak menghormati undang-undang, termasuk anggota keselamatan, perlu dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan. Rakyat akan diminta untuk menyerah segala bukti yang ada pada mereka untuk membantu siasatan ini.

Selain itu, memandangkan jumlah peserta BERSIH 3.0 adalah begitu ramai, adalah juga wajar supaya Pilihan Raya tidak diadakan sehingga daftar pemilih dapat dibersihkan. Ini akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya yang ingin diadakan. Ke arah itu, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR perlu meletak jawatan dan diserah kepada individu yang tidak berpihak dan tidak menganggotai mana-mana parti politik di Negara kita ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan