Skip to main content

Pilihan Raya Ke-13 Yang Menjelang

Sudah lama saya tidak sempat mengemaskini blog saya ini. Ini adalah kerana terlalu sibuk dengan ceramah yang diadakan hampir setiap malam. Jemputan untuk berceramah semakin meningkat dan ini adalah disebabkan saya telah 'dipopularkan' oleh Hassan Ali. Malangnya, apabila sibuk berceramah, saya tidak berpeluang untuk menulis.

Hari ini, Alhamdulillah, ada sedikit ruang. Saya teringat peristiwa di Parlimen pada minggu lalu semasa Timbalan Menteri Luar Negara menimbulkan kembali isu kononnya sokongan DSAI terhadap Israel. Beliau membaca teks yang disediakan, termasuk dakwaan bahawa apabila DSAI mengutamakan keselamatan Israel, maka ini bererti menyokong dan redha dengan pembunuhan rakyat Palestine!

Sepertimana saya sebutkan dahulu, ini merupakan bukti betapa BN terdesak dalam usaha mencari isu untuk menyerang PR. Sehingga satu ayat, malahan sebahagian dari satu ayat yang datang dari kesulurahan rencana tersebut, dijaja dan ditonjolkan sebagai bukti bahawa DSAI pro-Israel. Bukan setakat pro-Israel, malahan sokong pembunuhan rakyat Palestine demi keselamatan Israel. Tuduhan tuduhan yang ekstrim seperti itu adalah apa yang dikatakan sebagai 'over-kill' atau keterlaluan dan ianya akan memukul BN kembali, insyaAllah. Ini adalah kerana rakyat akan mula sedar bahawa BN menipu dan memfitnah tanpa rasa bersalah.

Keadaan terdesak BN mencari isu untuk menyerang PR adalah hasil dari prestasi pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR yang begitu menyerlah dari segi ketelusan dan bebas rasuah. Benar, kita tidak menganggap pentadbiran dan pengurusan kerajaan di bawah PR semuanya betul tanpa adanya kelemahan atau kekurangan. Namun ianya bebas dari rasuah dan penyelewengan!

BN ingin menyebut bahawa Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan korup dan penuh penyelewengan tetapi setiap usaha untuk membongkar penyelewengan telah gagal untuk menghasilkan bukti adanya penyelewengan tersebut. Sebaliknya, pada masa yang sama, terbongkar satu persatu penyelewengan dan korupsi di pihak UMNO/BN seperti NFC dan pelupusan hutang Tajuddin Ramli. Dua kes ini sahaja telah mencecah hampir RM 900 juta wang rakyat yang terbuang hasil penyelewengan dan pilih kasih BN.

Saya boleh rumuskan dengan mudah bahawa sekiranya isu DSAI dan Israel adalah peluru terakhir BN dalam menghadapi PRU ke 13, maka PR akan berhadapan dengan laluan mudah dalam PRU ini dalam soal menjawab serangan BN. Oleh itu usaha penipuan di peringkat daftar pemilih sudah pasti akan menjadi usaha tumpuan BN. Dan ini jugalah apa yang ingin dibahaskan oleh Ahli Parlimen PR pada pagi 29 Mac 2012. Malangnya Menteri Dalam JPM, iaitu YB Nazri menjawab dengan mudah bahawa SPR menafikan segala dakwaan adanya penyelewengan dan menerima jawapan dari SPR sebagai muktamad. Apabila terus diasak, maka disebut bahawa beliau akan mengaturkan pertemuan di antara SPR dan Ahli Parlimen PR dengan kehadiran bersama dirinya.

Pada dasarnya saya melihat JPN dan SPR sebagai talian hayat utama BN dalam PRU ke-13 akan datang. Dari segi isu, BN kalah. Dari segi prestasi, BN jauh ketinggalan. Yang tinggal hanya JPN dan SPR, dua badan yang mampu mengubahkan kekalahan kepada kemenangan bagi pihak BN. Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JPP) berhubung SPR dan PRU ke-13 akan membentangkan laporannya minggu ini. Desas-desus yang kedengaran kurang meyakinkan tetapi kita akan tunggu dan dengar apa yang akan dibentangkan nanti.

Adakah benar bahawa BN akan sanggup menerima penolakan rakyat terhadap kepimpinan mereka dan membenarkan rakyat menukar kerajaan BN dengan kerajaan PR di peringkat Pusat? Kita tunggu jawapannya apabila laporan JPP dibentangkan nanti.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Grand Marquis said…
Yea la. Yang orang nampak ialah DSAI tu terdesak nak cari sokongan Yahudi (nak dana kot) sehingga pergi terlebih bodek.

Tiada siapa yang paksa dia cakap begitu. Tapi bila dah terlepas cakap, sibuklah juak-juaknya cuba spin.

Rakyat bukan bodoh sekarang ni. Ramai yang tau pi baca sendiri dari WSJ. Jadi bila YB spin sampai ketahap ni, kita tau yang terdesak sebenarnya ialah puak-puak PR. Satu terdesak nak bodek yahudi dan yang lain terdesak nak cover line.
Anonymous said…
yb patut beterimakasih pada hasan ali kerana dia yb makin popular...saya sendiri baru tahu yg shahrir samad itu abg yb....saya juga suka mengikuti ceramah yb dan juga perbahasan di parlimen....yb antara tokoh pas yg saya bagi thumbs up!

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan