Skip to main content

Coret Minggu Pertama Syawal

Selamat Hari Raya diucapkan sekali lagi. Maaf Zahir dan Batin. Adalah diharap pengunjung blog yang beragama Islam sudah mula berpuasa enam dan sekiranya belum, bersedia untuk memulakannya dalam masa seminggu dua ini. Menurut pesanan Ar-Rasul, yang bermaksud, sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari pada bulan Syawal, dia seolah-olah telah berpuasa sepanjang tahun. Maka adalah amat rugi sekiranya kita tidak memanafaatkan tawaran dari Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang sentiasa menyediakan peluang untuk kita menebus dosa dan kesalahan kita.

Sambil menikmati betapa Pemurahnya Allah AzZa wa Jalla, saya mengambil kesempatan di sini untuk mencatit beberapa perkara berhubung pelbagai isu untuk diperbincangkan.

JAIS DAN DUMC
Dr Siti Mariah, Ahli Parlimen Kota Raja, telah mengetengahkan isu ini di dalam blognya. Saya hanya ingin menyebut betapa kecewanya saya apabila mendengar pihak JAIS memohon sebulan tambahan lagi untuk menyediakan laporan. Ini akan pasti memberikan gambaran negatif terhadap professionalisma JAIS yang bertindak dengan begitu cepat ‘memeriksa’ sebuah Gereja tetapi begitu lambat dalam mengeluarkan laporan mengenainya.

Saya difahamkan bahawa pihak DUMC telah bertemu dengan rombongan PAS dan secara umumnya menyatakan mereka tidak ada kena-mengena dengan majlis malam tersebut. Majlis itu adalah majlis NGO yang memohon jasa baik mereka untuk membenarkan mereka menggunakan dewan milik Gereja dan itu sahaja. Laporan ‘memurtadkan orang Islam’ diterima dari pihak yang tidak dikenali dan pihak JAIS bertindak tanpa siasatan yang lebih terperinci. ‘Pihak yang tidak dikenali’ yang melaporkannya mungkin berniat jahat dari awal?

Sama-sama kita tunggu laporan yang semestinya tinggi melangit kerana memakan masa berbulan-bulan untuk disediakan.

UNIT SELAMATKAN AQEEDAH
Ini turut dibangkitkan oleh Dr. Mariah. Sebenarnya saya tidak tahu menahu tentang Unit ini kerana ianya tidak dibincang di peringkat PAS Selangor dan mungkin merupakan initiatif Exco Agama, Dato’ Dr. Hassan Ali sendiri. Mungkin juga ianya dibincang bersama dengan penasihat-penasihat beliau tetapi bukan dengan PAS Selangor atau PAS Pusat.

Apa yang saya boleh ulas ialah ianya meletakkan kesalahan ke atas LZS dan saya tidak tahu samada analisa itu adalah tepat atau sebaliknya. Masalah timbul apabila LZS tidak diletak dibawah kerajaan Negeri dan oleh itu kita tidak boleh berbuat apa-apa. Ini menjadi lebih parah apabila budaya ketelusan dan pertanggung-jawaban tidak dihayati oleh ‘kelompok lama’.

Persoalan perlu pergi ke Gereja dahulu kemudian baru boleh mendapat layanan dari LZS seperti yang telah disebut pun ada betulnya. Takkan begitu perkiraannya. Kalau hendak dibaiki, maka baiki untuk semua, bukan untuk yang ke Gereja sahaja.

‘KETEGASAN’ MAIS
MAIS dilihat tegas mempertahankan tindakan JAIS dan dikaitkan pula dengan DYMM Sultan. Saya difahamakan satu perjumpaan khas telah diadakan di antara NGO-NGO Islam bersama JAIS dan Dato Adzib dari MAIS yang turut dihadiri wakil dari pejabat Peguam Negara. Mereka membincangkan Memorandum yang ingin dihantar ke DYMM Sultan yang menyerang Menteri Besar berhubung isu Kristianisasi ini. Nampak-nampak gaya satu usaha bersungguh-sungguh ingin menjatuhkan MB. Adalah diharapkan tiada exco dari PR, lebih-lebih lagi dari PAS, yang turut serta!

Pada zaman Khir Toyo apabila BN merompak Negeri Selangor, semua diam. Samada MAIS, ataupun JAIS, termasuk Pejabat Peguam Negara mahupun pihak yang menggelar diri mereka mewakili istana. Tetapi di zaman MB yang berkebajikan, bersih dari rasuah dan mementingkan rakyat, apa saja alasan boleh digunakan untuk menempelak MB. Adalah dikhuatiri akan ada yang mula bertanya, “mengapa dulu diam, sekarang nak bising?” Seterusnya nanti ada pula yang akan menganggap dulu dapat bahagian! Sekarang habuk pun tiada, maka itulah sebabnya bikin kecoh.

Dulu pada zaman BN kaki rasuah memerintah Selangor, jarang sekali kedengaran berita Sultan Selangor kecuali berhubung program adat istiadat. Sekarang, Baginda kerap diketengahkan, menegur dan membidas MB. Itulah perangai UMNO. Bila UMNO sudah tidak laku, mereka ketengahkan Sultan sedangkan dulu mereka sendiri yang mencaci Sultan.

Yang paling saya khuatir ialah tercemarnya imej pihak Istana dan DYMM Sultan Selangor sekiranya terus diheret sedemikian rupa oleh juak-juak UMNO/BN. Institusi yang ‘above politics’ atau ‘mengatasi pertimbangan politik’ ini akan tercemar dalam kelicikan politik UMNO yang hanya ingin terus berkuasa walau apa sekalipun yang akan berlaku. Sanggup mengorbankan rakyat dan Negara asalkan mereka kembali memerintah Selangor. Itulah dasar Muamar Gaddafi, dan itulah yang mencerminkan dasar UMNO sekarang!

MAT SABU DAN MAT INDERA
Pasti ramai terkejut bila didedahkan dengan fakta sejarah bahawa Mat Indera adalah seorang yang berpendidikan agama yang diiktiraf ketokohannya oleh kerajaan negeri Johor. Beliau mati ditali gantung pada tahun 1953. Digantung oleh kerajaan penjajah British yang telah meletakkan hadiah sebanyak RM 75,000 bagi yang berjaya menangkapnya. Maka siapa pula dalang yang menangkapnya? Pihak Komuniskah? Yang menagkapnya dan menyerahkannya kepada pihak British tidak lain dan tidak bukan ialah pemimpin UMNO!

Hakikatnya, pada zaman penjajah, ramai yang bangun menentang British. Pihak agamawan, pihak aliran kiri dan pihak kommunis. UMNO yang tidak pernah tahu erti susah payah perjuangan duduk dibawah ketiak penjajah. Itulah sebabnya mengapa apabila saya minta wakil rakyat dan pemimpin UMNO di Parlimen untuk menamakan seorang pemimpin UMNO yang dipenjarakan British, semua diam membisu. Saya telah membuat cabaran ini tidak kurang sebanyak dua kali di Parlimen. Ke dua-dua kali sunyi sepi.

Khairy Jamaluddin berkata bahawa UMNO memilih cara yang bijaksana, elakkan tumpah darah. Mungkin benar, tapi sekiranya ia benar sekalipun, ianya tidak memberi UMNO hak untuk memutar belit sejarah sehingga menafikan perjuangan pihak lain yang lebih gigih dan lebih ikhlas sehingga mengorbankan nyawa sendiri demi merdeka. Tidakkah pemimpin UMNO yang menyebut “hendak buat jarum pun tidak pandai, hendak bicara pasal merdeka?”

Lagipun, terdering dalam telinga saya petikan dari tulisan Lord Cromer, bekas Gabenor British di Mesir, dalam bukunya ‘Modern Egypt’, yang bermaksud; “England bersedia memberikan kemerdekaan politik sepenuhnya kepada tanah jajahannya, sebaik-baik sahaja telah wujud tersedia generasi intelek atau ahli-ahli politik yang telah dibentuk melalui pendidikan Inggeris untuk mengambil alih tetapi dalam keadaan bagaimana sekalipun kerajaan Inggeris tidak akan bertolak ansur walau sesaat untuk penubuhan sebuah negara Islam yang merdeka”. Petikan ini sering dibacakan kepada saya dibeberapa majlis yang telah saya hadiri sejak usia remaja lagi. Mungkin generasi itulah yang dianggap Khairy sebagai generasi bijaksana sehingga mereka bersekongkol dengan British menahan dan membunuh rakyat Negara ini yang menuntut kemerdekaan. Atau apakah mungkin bakal mantan ketua pemuda UMNO ini ingin mencabar saya untuk berdebat pula?

PELARIAN ISLAM UIGHUR YANG MALANG
Tengah-tengah bulan Ramadhan beberapa orang Pelarian Islam Uighur yang datang dengan mengharapkan perlindungan telah dikembalikan ke Negara China atas permintaan kerajaan China. Kumpulan ini adalah terdiri dari masyarakat yang beragama Islam dari Sinkiang (Xin Xiang) yang berjumlah 11 atau 12 orang. Mereka sedang berjuang menuntut hak mereka dari kerajaan China. Mereka datang mengharapkan suaka politik dari pihak UN. Berhenti di Malaysia mungkin kerana dianggap Malaysia Negara ummat Islam dan kerajaannya kerajaan yang akan membela nasib mereka. Mungkin terlalu meyakini berita dan propaganda yang disiarkan oleh kerajaan UMNO/BN. Lebih-lebih lagi dalam isu memperjuangkan nasib ummat Islam yang kononnya sedang dimurtadkan pihak Gereja. Mungkin mereka beranggapan kerajaan sebegini sudah pasti akan membantu mereka.

Mungkin juga mereka mengharapkan PERKASA akan ke jalan raya dan begitu juga kumpulan PATRIOT, untuk membela nasib mereka. Namun, semuanya bagaikan fatamorgana. Mereka ditahan Polis, dituduh melakukan jenayah memperdagangkan manusia dan dihantar balik ke China. Ini dilakukan dengan penuh pengetahuan bahawa di China, besar kemungkinan mereka akan diseksa dan dipenjarakan. Dan perkara ini berlaku menjelang Eidul Fitri. Sedangkan pihak UN memohon supaya mereka disimpan di Malaysia sambil permohonan mereka untuk mendapat taraf pelarian di bawah lindungan UN diproses.

Akhirnya UN membidas tindakan kerajaan Malaysia, Amerika Syarikat juga turut membidasnya dan NGO antarabangsa dan tempatan, yang turut terdiri dari NGO bukan Islam, turut membidas tindakan kerajaan Malaysia. Tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

UMNO, PERKASA dan PATRIOT? Mereka perjuangkan ‘Melayu Islam’ kononnya. Kaum Pelarian Islam Uighur tidak dikenali mereka. Begitu juga dengan nasib ummat Islam di Urumqi. Dikhabarkan bahawa mereka telah dilarang berpuasa oleh kerajaan China. Kerajaan Malaysia, UMNO, PERKASA, PATRIOT hanya berpeluk tubuh mendiamkan diri, membisu seribu bahasa. Golongan inikah yang ingin kita gelar sebagai pejuang?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

lan said…
Sebagai rakyat Selangor yang dah lama perhati gerak kerja Mais dan Jais, sudah sampai masanya kedua badan tersebut di letak di bawah kerajaan negeri sendiri

Dah mual sangat dengan muka-muka lama ni. Depa suka la dapat ikut Sultan ke sana ke mari.
lan said…
Sejak zaman sekolah lagi dah dengar nama Adzib tu. Takkan tiada orang lain
lan said…
Terjumpa artikel lama, sejarah Adzib

http://www.usj.com.my/usjXpress/details.php3?table=usjXpress&ID=61
tokgaru said…
Bila pemimpin tinggi dalam Pas kata komunis sebagai Wira. Aku rasa orang melayu yang rasa diri tak gila dan tak sewel elok lah semak balik sokongan kamu kepada parti yang benama Pas ini.

Pas gugurkan perjuangan negara islam, Pas gugurkan perjuangan Hudud. Memang aku alu2kan kerana 2 benda tuh sampai bila2 pun tak boleh menjadi kenyataan di negara ini.

Negara islam dan Hudud nih sekadar modal politik saja.
tokgaru said…
Sudut Tafakur.

Apa sebenarnya yang nak di perjuangkan oleh Pas ?

Adakah nak mengangkat darjat Islam ? Adakah nak mengangkat darjat Komunis ?

Orang melayu yang sokong Pas .. cuba lah cari kebenaran dalam menilai perjuangan Pas. Adakah anda mahu Islam ? Adakah pada masa yang sama anda juga mahu Komunis ?

Kepada askar dan polis pencen ..

Masa dalam tugas anda bermatian berlawan dengan komunis sampai ada yang mati dan ada yang cacat anggota seumur hidup. Kerana pada waktu itu anda melihat komunis sebagai musuh kerajaan, musuh orang melayu, musuh islam.

Tetapi bila dah pencen, anda pakai ketayap putih, takbir sana takbir sini, tandanya anda dah jadi penyokong Pas .. pada anda Umno dah tak islam lagi, kerajaan juga dah tak islam .. yang islam hanya lah Pas.

Sekarang Pas puja komunis sebagai pejuang kemerdekaan .. maknanya pada penilaian Pas anda polis dan askar pencen adalah "pengganas kejam" yang telah memerangi komunis yang dianggap pejuang kemerdekaaan oleh Pas .. dan secara tak langsung Pas nak bagi tahu memang patut pun ada di antara anda yang mati dan cacat seumur hidup kerana berlawan dengan " hero kemerdekaan " .. dan kalau di minta fatwa daripada Nik Aziz mungkin dia akan kata " pade muko askar dan polis, itu balase tuhe belako "

Jadi kalau anda askar dan polis pencen masih lagi nak sokong Pas .. memang padan lah muka korang semua.
tokgaru said…
Sekadar Untuk Renungan ...

Saya terjumpa posting oleh sorang ultra kiasu yang kata "Melayu Bodoh" dalam satu blog lain.

Mulanya nak marah juga. Tapi bila fikir balik, rasanya betul juga melayu nih memang bodoh.

Tak bodoh hapah nya kalau ....

1. bila ada calon melayu, masih juga mengundi calon bukan melayu.
2. bila ada kedai atau mini market melayu, masih juga berbelanja di kedai bukan melayu.
3. bila sudah ada bengkel membaiki kenderaan yang diusahakan oleh orang melayu, masih juga menghantar kenderaan ke bengkel bukan melayu.
4. bila ada kedai makan melayu, masih juga makan di kedai bukan melayu yang status halal nya di ragui.
5. bila sudah ada produk makanan keluaran orang melayu sendiri, masih juga menggunakan produk makanan keluaran bukan melayu.
6. bila diajak bersatu untuk masa depan politik melayu tak mahu, tapi sanggup bersatu dengan pihak yang memang hendak menjatuh kerajaan yang di pimpin oleh orang melayu sendiri.
7. bila sanggup berpakat dengan dengan parti yang tak pernah bersetuju dengan negara islam dan hukum Hudud untuk menang plihanraya yang kononnya akan melaksanakan islam di negara ini jika berpeluang membentuk kerajaan.
8. bila sanggup mengiktiraf komunis sebagai pejuang kemerdekaan, manakala polis dan tentera yang menentang komunis di katakan pengganas.
9. bila bukan melayu yang mencapai umur 21 tahun berebut2 mendaftar sebagai pengundi, tapi orang melayu yang mencapai umur 21 tahun buat tak kisah sahaja.
10. bila tindakan pihak berkuasa agama hendak menyelamatkan umat islam daripada di murtadkan, tapi ada parti melayu yang mempertikaikan.

Tapi saya bernasib baik kerana nampak "kebodohan melayu" itu lebih awal daripada orang melayu yang lain.

Saya pasti akan marah jika ultra kiasu itu kata saya "melayu bodoh" kerana saya sudah keluar daripada kebodohan itu sejak lama dulu.
kekura said…
assalamualaikum,
sekali lagi tuan bersangka baik dengan orang kafir melebihi dari sangkaan anda kepada org islam.
tidak bolehkah anda bersangka baik kepada jais, siapa pun bos mereka, seburuk mana pun reputasi mereka?

mereka pergi ke DUMC itu adalah utk siasat dan cara mereka adalah dengan terang2an. lainlah sekiranya jais menyiasat dumc dgn menghantar spy ke dlm gereja spt majalah mastika buat yg menyebabkan kristian angin satu badan dulu?

apa yg org kristian kata anda boleh terima at face value, tp apa yg org islam kata, anda bertapi-tapi, meng'eleh-eleh. ini ke akhlak orang islam?

cukuplah hal anda dgn hassan ali. kalau ikut hati, dua2 (anda dan hassan ali) saya lempang. hassan ali dgn kekurangan hikmahnya, anda pula dgn 'kononnya' berhikmah. tp anda sy nak tampar lebih sikit pasal semua hal yg perlu diselesaikan dgn tuan punya badan, sebaliknya anda hebah2kan kpd orang ramai, tp tak kepada tuan punya badan. alasannya, kebebasan suara. dlm islam kebebasan suara ada hadnya. tp bila org ckp tentang had kebebasan suara, anda fikir org lain suruh anda diam. bahkan tidak!! anda marah dengan jais, selesaikan dgn jais!! marah dengan hassan ali, selesaikan dgn hassan ali!! kalau anda rasa perlu lempang mereka, lempanglah!! adakah apabila rasulullah marah dengan sahabat dia sebut nama sahabat dlm khutbahnya beserta dgn kelemahan2 sahabat baginda itu? bahkan tidak!! baginda tegur tuan punya badan!!
suka atau tidak, tingkah laku anda ni dah terkategori sebagai mengumpat. sila muhasabah diri. tarbiyah ramadan nampaknya gagal membentuk anda menjadi lebih baik.

kenapa pas tidak menang? antara sebabnya, akhlak sesetengah pemimpin2nya masih tidak bagus, macam anda. baru menang sikit, dah kata kita menang pasal undi org kafir. bukankah ALLAH yg bagi menang?
please please ALLAH don't please the kuffar, even it means that you will loose their vote!!
it is ALLAH who give you your post!!
pergilah berdiskusi dgn hassan ali, jgnlah berdiskusi dgn org kafir. dgn org kafir ni patut kita berdebat, pasal asas akidah kita benar.
Bahruddin said…
Orang jenis Tok Garu ni tak perlu layanlah ... Biarlah dia membebel seorang diri ...

Dia ni jenis orang yang pakai cermin mata hitam. Apa sahaja yang dia lihat, semuanya akan nampak hitam. Kebenaran walaupun seputih bulan pun dia akan nampak hitam juga.

Sebab itu, hujjah yang kita berikan sekuat mana sekalipun untuk menyatakan kebenaran akan ditolak mentah2 dan diulang2 kenyataan yang sama.

Mungkin inilah pencacai UMNO yang diupah yang dimaksudkan oleh YB Khalid.
kekura said…
assalamualaikum,
orang2 macam tok garu ini timbul apabila kita banyak ckp tentang politik kepartian. apabila itu kurang kita ckp dia org umno.
akhirnya penerangan kita kenapa dia tak masuk ke dlm kepalanya, kerana pihak lain itu sibuk pula menghentam parti yg di sini.
macamana nak dakwah?
kita sendiri yg menyebabkan perjuangan kita difitnah.
jadi sama2lah kita muhasabah diri. seseorang perlu mulakan langkah yg baik ini, dan diharap kitalah orangnya. jgnlah kita berperangai seperti orang yg kita labelkan sebagai pencacai umno. kalau tidak kita sama saja, 2x5.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan