Skip to main content

Respon Pengunjung: Sekilas Ikan di Air

Dalam penulisan saya sebelum ini yang bertajuk Sekilas Ikan di Air, ada yang memberi komen (maaf tiada nama), August 20, 2011 4:38 PM
“Saya yakin, kenyataan YB di atas adalah merujuk apa yg saya tulis sebelum ini. Darurat yang berlaku dalam kes JAIS ini adalah usaha untuk memurtadkan orang Islam berdasarkan laporan yang diterima. Maka pilihan yang ada ketika itu ialah "masuk dan periksa" kerana mungkin pada pandangan JAIS bukti sukar didapati jika tidak masuk memeriksa seperti kertas soalan yang dikoyakkan yang dimasukkan dalam tong sampah.

Mungkin bagi YB ia tidak bijaksana tetapi pihak JAIS melihat ia adalah yang terbaik dan bijaksana untuk mendapatkan bukti sebanyak yang mungkin. Disinilah apa yang saya katakan bahawa kaedah Islam ada menyebut: Tindakan imam (pihak berkuasa) adalah berdasarkan kepada maslahat.

Pihak JAIS melihat maslahat masuk memeriksa itu lebih baik daripada tak masuk. Disinilah apa yang saya katakan, kepercayaan perlu diberikan kepada pihak berkuasa termasuklah kepada YB Hasan Ali sbg exco untuk menentukan cara tindakan.

Kalu YB Khalid dah jadi exco nanti, saya adalah orang yang pertama akan sokong YB Khalid kerana YB pasti bertindak berdasarkan kepada maslahat wlwpn mungkin akan ada yang tak bersetuju dengan YB.

Bukan bermakna kita tak boleh mengkritik, tapi kritiklah melalui saluran bukan melalui media terbuka seperti ini kerana ia akan menunjukkan perpecahan dan perbalahan antara pimpinan yang merugikan PAS.”

Saya rasa komen di atas perlu respon dari saya kerana ia mencerminkan pemikiran yang agak dominan di kalangan ahli gerakan Islam sehingga mereka tidak bersuara sedangkan keadaan memerlukan mereka bersuara. Saya nyatakan respon saya dalam bentuk ‘point-form’ agar mudah difahami.

1. Saya mohon, walau siapa pun exco (atau apa jawatan sekalipun), jangan sokong kerana dia exco. Jangan mudah membuat andaian bahawa dia melakukan sesuatu atas sebab maslahat dan oleh itu tindakannya mesti disokong. Kalau tidak setuju suarakan. Tidak perlu caci mencaci atau sumpah menyumpah, kemukakan hujjah. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu tindakan itu kelihatan menyalahi syarak, seperti menceroboh masuk rumah ibadat orang bukan Islam. Tindakan seperti ini menyebabkan orang bukan Islam merasa tidak selamat kerana diberikan gambaran Islam tidak menghormati rumah ibadat mereka. Dengan itu dakwaan Islam membela hak semua kaum mula dipertikai. Timbul kembali ketakutan bukan Islam terhadap pemerintahan Islam yang ingin diusahakan oleh PAS. Sedangkan ajaran Islam adalah sebaliknya.


2. Jangan oleh kerana kononnya ingin menjaga ‘perpaduan’, maka dibiar kekeliruan terhadap ajaran Islam dan jaminan keadilan Islam timbul tanpa dibantah. Ajaran Islam itu sendiri lebih penting dari ‘memperlihatkan perpaduan’. Bersatu di atas kesilapan apa maknanya? Kalau ada yang berkata “Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu” adakah kita perlu berdiam diri atas alasan maslahat? Ia menjadi lebih penting untuk ditegur apabila tindakan itu berlaku di khalayak ramai dan ianya disokong oleh orang yang dilihat mewakili PAS yang memperjuangankan Islam.

3. Ada juga yang menyebut, ianya ijtihad pihak berkuasa. Ijtihad itu mungkin betul, mungkin salah. Jika betul dua hasanat dan kalau salah satu. Soalan saya; “Adakah ijtihad yang salah perlu disokong?” Soal hasanat, itu di antara orang yang membuat ijtihad itu dan Allah. Ia bergantung kepada usaha yang bersungguh yang dilakukan oleh dirinya secara ikhlas untuk mendapatkan keputusan yang selari dengan kehendak syariat. Kalau tersilap setelah berusaha Allah berinya satu hasanat. Tetapi kalau silap, adakah kita masih perlu menyokong dengan mengatakan “tidak mengapa, dia dapat satu hasanat”? Sedangkan kesilapan itu ada implikasinya.

4. Pada masa yang sama ijtihad adalah berhubung sesuatu yang tidak diputuskan oleh syara’. Sedangkan soal ceroboh rumah ibadat bukan Islam ditegah walaupun semasa perang, apatah lagi dalam keadaan damai.

5. Hujjah yang dianggap boleh digunapakai untuk mempertahankan tindakan JAIS adalah ianya suasana ‘darurat’. Adakah ianya munasabah untuk menggunakan hujjah darurat sehingga digantungnya syariat dengan begitu mudah? Terima sahaja aduan maka bertindak melanggar syariat atas alasan darurat? Kalau asyik mengenepikan kebijaksanaan illahi di atas alasan sebegitu, maka sampai bila akan dapat kita perlihatkan keadilan Islam? Terima aduan ‘Kristian bersatu mengugat keselamatan Negara’ maka ditahan bawah ISA kerana darurat. Terima alasan ‘bukan Melayu cuba tegakkan kerajaan Kristian’ maka diceroboh rumah ibadat mereka dan diusir mereka ke laut kerana darurat. Seperti yang saya sebutkan tadi, sedangkan dalam perang kita ditegah menceroboh, apatah lagi semasa damai. Adakah suasana yang lebih darurat dari perang?

6. Apa yang perlu difahami juga ialah bahawa tindakan JAIS dilakukan tanpa pengetahuan Exco Agama dan Pengarah JAIS. Setelah berlaku, esoknya baru Exco dimaklumkan dan itu pun melalui sms dari YB Elizabeth Wong! Maka, siapa yang membuat keputusan untuk ceroboh masuk dan mengistiharkan darurat itu? Pengalaman kita sendiri dengan JAIS selama ini banyak membuktikan mereka tidak bertindak atas kepentingan Islam. Harus ingat, JAIS mengikut arahan MAIS, bukan kerajaan Negeri.

7. Sikap PAS Negeri Selangor seperti juga PAS Pusat adalah untuk TIDAK mengeluarkan pandangan sehingga mendapat laporan dari JAIS dan mendengar dari dua-dua pihak (dalam kes ini mungkin tiga bila termasuk NGO Harapan Kommuniti). Pandangan ini selari dengan pandangan rakan di dalam PR seperti yang disuarakan oleh MB. Bukankah keadilan menuntut kita dengar dua-dua pihak? Pada masa yang sama jaminan Islam terhadap keselamatan rumah ibadat bukan Islam perlu dipertegaskan. Ini juga telah dilakukan oleh pimpinan PAS dan PR. Tidak perlu dikeluarkan kenyataan menyokong JAIS atau pihak Gereja sehingga dengar dua-dua pihak.

8. Laporan kononnya ada kertas yang dibuang ke dalam bakul sampah, ada yang nak lari, ada Bible Melayu yang diberi pada orang Melayu yang hadir dan sebagainya, ianya semua laporan dari pihak JAIS. Benar atau tidak kita perlu dengar juga dari pihak yang dituduh. Itulah sebabnya kita minta JAIS buat laporan dan seterusnya dakwa di mahkamah untuk memutuskan kebenaran tuduhan berkenaan. Jangan terus bermain di muka akhbar semata-mata. Nampak macam tiada bukti yang kukuh dan apa yang dikemukakan melalui blog dan akhbar sebagai bukti akhirnya akan dianggap sebagai alasan untuk menjustifikasi tindakan menceroboh.

9. Tidak dapat juga dinafikan kemungkinan adanya agenda tertentu disebalik tindakan JAIS yang bertindak di bawah arahan MAIS yang dipengerusikan orang yang sama sejak dulu lagi.

Seterusnya, saudara Bahruddin ada menyebut bahawa saya seharusnya jangan gelojoh mengeluarkan kenyataan dan perlu mendengar penjelasan dahulu. Saya harap prinsip itu tidak ditujukan hanya kepada saya. Masalahnya, kenyataan akhbar menyokong tindakan JAIS telah terlebih dahulu dikeluarkan sedangkan belum lagi mendapat laporan penuh dan mendengar dari semua pihak. Adakah wajar kenyataan menyokong dikeluarkan pada ketika itu, lebih-lebih lagi apabila MB telah meminta laporan dikemukakan secara rasmi?

Kedua, prinsip Islam terhadap rumah ibadat bukan Islam adalah satu perkara yang perlu diperjelaskan dan dipertahankan. Pada masa yang sama, tuntutan perlembagaan terhadap persoalan tidak menyebarkan agama lain di kalangan orang Islam pun perlu ditegaskan. Kedua-dua perkara ini perlu diambil kira dan dengan bukan sewenang-wenangnya dikorbankan yang pertama demi yang kedua kerana yang pertama adalah juga sebahagian dari ajaran Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

k-one said…
salam.. saudara khalid samad adalah contoh org islam yg baik... saya sependapat dgnr saudara khalid samad. jahanamnya islam hari ini byk disebabkan oleh sikap dan perangai org islam itu sendiri. cth terbaru akhbar sinar yg mengeluarkan kenyetaan kristian menghalalkan pelacuran..last2 editornya minta maaf. tp nasi dah jadi bubur.. bukan kita tak tau yg lulus lesen judi org dlm negara ni org islam, yg luluskan pusat huburan, kasi byk pusat2 maksiat org islam jugak.yg suka sgt dgn rasuah dan penyelewengan adalah pemimpin islam, yg dok bt mcm2 peraturan bukan2 mcm nk bg kuliah kena ada tauliah pn org islam. yg dok urus pusat zakat org islam. zakat punya juta2 tp sampai x jumpa org islam susah kerja org islam jugak. last2 pihak lain bg bantuan ma org islam, pandai pulak nk marah..
lan said…
Betul, orang yang sekian lama pegang Mais, saya fikir banyak masalah boleh selesai jika pimpinannya dari orang yang betul-betul berkaliber, dan bukan alat untuk porak porandakan jabatan ugama ni
kekura said…
inilah salahnya anda, tuan yb.

islam tak pernah larang nak bersuara nyatakan apa yg kita rasa benar, malah pada ketika yg tertentu bersuara menjadi wajib. tp kaedah kenalah betul, tuan.

anda nak tegur hasan ali, pergilah jumpa dia. nak tegur jais, pergilah jumpa jais. apa yg susah? anda ahli parlimen, ada kereta, ada gps, ada hp, orang pas yg berpengaruh, bukannya orang2 bawahan macam saya?!!

kenapa perlu menggunakan blog dan press conference(pc)? tak fahamlah saya dgn pejuang2 islam sekarang ni. rasulullah menegur sahabat secara face to face, tiadalah pula guna pentas? saya umpamakan pentas serupa dgn blog dan pc, kerana ianya hampir serupa, tuan punya badan belum tentu tahu yg dirinya ditegur tp masyarakat setempat tahu. dah lah sia-sia, boleh menyebabkan fitnah kepada diri anda dan hasan ali, dan anda bersalah pula dgn hasan ali. semoga ALLAH mengampun dosa kita.

orang sekeliling yg ambilberat dah berbuih2 mulut cakap tegurlah secara berdepan kalau tuan rasa dia salah. bahasa lembutnya adalah tegurlah dgn saluran yg betul, jaga perpaduanlah. tegurlah berdepan dan bila dah tegur depan2, ternyata dia salah tp tak mengaku salah, tuan dah laksanakan tanggungjawab. titik. bukan tuan yg bagi hidayah.

kalau gagal nak jumpa setelah berusaha, tahanlah diri. niat utk buat perkara yg baik dah dapat pahala, usaha tp gagal pun dpt pahala.

inilah masalah orang melayu. tak berani nak tegur depan-depan, tp dlm blog semua berani. ini bukanlah yg dianjurkan oleh islam.

jgn islam sikit2 brader. kaedah kena betul. matlamat tak menghalalkan cara. jgn sampai benda yg pada pandangan kita kecil ni akan menjadi penghalang utk kita mendapat darjat yg lebih baik di hari kemudian kelak.
kekura said…
"8. Laporan kononnya ada kertas yang dibuang ke dalam bakul sampah, ada yang nak lari, ada Bible Melayu yang diberi pada orang Melayu yang hadir dan sebagainya, ianya semua laporan dari pihak JAIS. Benar atau tidak kita perlu dengar juga dari pihak yang dituduh. Itulah sebabnya kita minta JAIS buat laporan dan seterusnya dakwa di mahkamah untuk memutuskan kebenaran tuduhan berkenaan. Jangan terus bermain di muka akhbar semata-mata. Nampak macam tiada bukti yang kukuh dan apa yang dikemukakan melalui blog dan akhbar sebagai bukti akhirnya akan dianggap sebagai alasan untuk menjustifikasi tindakan menceroboh."

"Seterusnya, saudara Bahruddin ada menyebut bahawa saya seharusnya jangan gelojoh mengeluarkan kenyataan dan perlu mendengar penjelasan dahulu. Saya harap prinsip itu tidak ditujukan hanya kepada saya. Masalahnya, kenyataan akhbar menyokong tindakan JAIS telah terlebih dahulu dikeluarkan sedangkan belum lagi mendapat laporan penuh dan mendengar dari semua pihak. Adakah wajar kenyataan menyokong dikeluarkan pada ketika itu, lebih-lebih lagi apabila MB telah meminta laporan dikemukakan secara rasmi?"

bukankah yb juga buat apa yg yb tulis ni. belum apa2 yg dah salah2kan orang, tak tunggu pun laporan penuh. tak pun mendengar dari semua pihak. tp terus minta maaf kepada pastor. kalau pemimpin dah macam ni macamana pula yg dipimpin?

jgn ckp semata2 tak nak kalah. cuba dok diam2 dulu fikir " adakah cara aku buat betul atau salah ". muhasabah.
Bahruddin said…
Terima kasih atas respon YB Khalid terhad komen yang saya berikan.

1. Saya tidak bermaksud dalam komen saya sebelum ini seolah-olah pemimpin (atas apa nama jawatan sekalipun) tidak boleh dikritik atas alasan maslahat. Oleh kerana itu saya telah komen: "Bukan bermakna kita tak boleh mengkritik, tapi kritiklah melalui saluran bukan melalui media terbuka seperti ini." Saya sangat bersetuju dengan kenyataan YB "Kalau tidak setuju suarakan" kerana Saidina Abu Bakar dalam ucapannya menyuruh rakyatnya mengkritik dan Saidina Umar berbangga rakyatnya masih berani mengkritiknya. Tetapi saya masih berpegang bahawa kritikan sesama ahli gerakan Islam membawa unsur negatif apabila diluahkan dalam media umum.

2. YB Khalid tulis: "Jangan oleh kerana kononnya ingin menjaga ‘perpaduan’, maka dibiar kekeliruan terhadap ajaran Islam dan jaminan keadilan Islam timbul tanpa dibantah." Saya bersetuju dengan kenyataan YB ini tetapi untuk musuh kita iaitu UMNO dan BN. Bantah dan kritiklah walaupun dalam media terbuka. Tetapi, dalam konteks sesama pimpinan PAS, menjaga perpaduan tidak akan menimbulkan kekeliruan terhadap ajaran Islam. Caranya, YB boleh suarakan bantahan sekurang2nya di dua tempat iaitu mesyuarat AJK PAS Pusat dan Perhubungan PAS Selangor (sbgmn yg saya komen sblm ini) tanpa perlu dihebohkan kepada media. Mesyuarat akan buat keputusan dan mesyuarat yg akan menentukan bantahan tersebut diterima atau tidak. Kalu diterima, YB Hasan (sbg cth) perlu menarik balik kenyataannya dan mengambil tindakan yang sepatutnya berdasarkan keputusn mesyuarat.

3. Tentang persoalan ijtihad, kaedah menyebut: الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد. Maksudnya: Tidak terbatal ijtihad dengan ijtihad yang lain. Ijtihad adalah dalam perkara yang tidak ada nas dalam al-Quran dan hadis dengan membawa maksud kita (khususnya Ulama) memberikan pandangan dan mengambil tindakan yang tidak jelas dalam nas. Di sini menunjukkan Islam meraikan semua pandangan. Jika semua memberi pandangan dan berlaku pencanggahan antara pandangan tersebut, maka pandangan siapa yg perlu di ambil?. Dlm Islam, pemimpin atau pihak berkuasa (Exco dan JAIS dalam kes ini) diberikan hak untuk memilih mana2 pandangan yang bercanggah ini yang sesuai dengan maslahat rakyat. Kalu ini berlaku, ia akan memperlihatkan keindahan Islam kerana Islam membenarkan percanggahan pendapat dan kata pemutus untuk memilih pandangan yang terbaik adalah pemimpin dan disinilah akan timbul perpaduan bersesuaian dgn kaedah: Tindakan Imam berdasarkan maslahat. (lihat siasah syariyyah; Dr. Qaradhawi: 74)

Bersambung kerana tak muat
Bahruddin said…
4. Walaubagaimana pun, tidak semestinya ijtihad adalah berhubung sesuatu yang tidak diputuskan oleh syarak atau yang tidak ada dalam nas sahaja. Contohnya: dalam masalah tahanan perang. Ada nas yang menyuruh supaya dibunuh, dijadikan hamba dan bayar jizyah. Pemimpin dibenarkan untuk berijtihad untuk memilih mana satu yang sesuai dengan maslahat. Dlm kes JAIS ini, memang ada nas yang mencegah ceroboh rumah ibadat dan dalam masa yang sama ada juga nas supaya jaga aqidah umat Islam. Bila bertembung mcm ni, menurut siasah syariyyah: menjaga maslahat agama (aqidah) hendaklah didahulukan daripada yang lain contohnya maslahat menjaga hati bukan Islam. (lihat Siasah Syariyyah; Dr. Qaradhawi: 310)

5. Saya bersetuju sememangnya dhorurat tidak boleh seweneng2nya dijadikan hujjah untuk menghalalkan sesuatu tindakan. Oleh kerana itu Islam letakkan penanda aras apa yng dimaksudkan dgn darurat, apa perbezaannya dengan hajiyyat dan tahsiniyyat. Dlm ketiga2 peringkat ini, hanya darurat sahaja yang mengharuskan perkara yang dilarang berdasarkan kaedah: الضرورات تبيح المحظورات . Jadi, tidak timbul isu digantung syariat kerana dhorurat, kerana syarak sendiri yang membenarkannya. Dhorurat ialah sesuatu yang terjadi kepada manusia keadaan yang membahayakan atau kepayahan yang teramat sangat dimana ditakuti berlaku mudharat kepada agama, nyawa atau diri atau maruah atau akal atau harta. Jelasnya, dalam kes JAIS ini berlakunya mudharat kepada agama apabila terdapat usaha untuk memurtadkan mereka. Mengikut Dr. Wahbah )Nazoriyyah ad-dhorurah: 69), memadai dengan kita zhon (sangkaan sampai tahap 75%) untuk kita menganggap ia mudharat. JAIS memeriksa adalah berdasarkan kepada laporan (zhon). Walaubagaimana pun, tindakan yang diambil mestilah seminimum yang mungkin untuk menolak mudharat (الضرورة تقدر بقدرها) (lihat Al-Wafi: 51). Tindakan JAIS adalah minimum dengan masuk dan periksa untuk mendapatkan sebanyak mungkin bukti tanpa memecahkan pintu, tangkapan dan lain2. Satu perkara lagi, tidak timbul dhorurat ini sama ada berlaku ketika perang atau tidak. Jika telah sampai kepada penanda aras, maka ia adalah dhorurat tidak kira dalam perang atau tidak.

bersambung krn tak muat...
Bahruddin said…
6. Kenyataan YB Khalid: "Apa yang perlu difahami juga ialah bahawa tindakan JAIS dilakukan tanpa pengetahuan Exco Agama dan Pengarah JAIS" dan "Harus ingat, JAIS mengikut arahan MAIS, bukan kerajaan Negeri" adalah bercanggah dengan penulisan YB sebelum ini bertajuk Serbuan Gereja Damansara Utama : "Tindakan yang sebegini ini perlu diluluskan oleh pihak atasan samada Pengarah atau Exco-Kerajaan Negeri yang berkaitan setelah mengambil-kira ketepatan maklumat yang diterima serta kewajaran tindakan tersebut." Mula2 YB kata JAIS bertindak dgn kelulusan Exco kerajaan Negeri (YB Hasan Ali) kemudian YB kata pula JAIS ikut arahan MAIS". Mana satu yang JAIS ikut sebenarnya ataupun YB ingin membuat pusingan 'U' terhadap kenyataan/kritikan YB kepada YB Hasan Ali. Kalu betullah andaian saya ini, maka betullah saya kata bahawa YB agak gelojoh mengeluarkan kenyataan tanpa meminta penjelasan drpd YB Hasan terlebih dahulu yg akhirnya memakan diri sendiri dengan membuat pusingan 'U' dan merugikan PAS dan perjuangannya yang dilihat berpecah.
7. Kenyataan YB Khalid: "Sikap PAS Negeri Selangor seperti juga PAS Pusat adalah untuk TIDAK mengeluarkan pandangan sehingga mendapat laporan dari JAIS dan mendengar dari dua-dua pihak." Sepatutnya sikap ini juga yang harus ada pada YB Khalid, bukannya gelojoh mengkritik/komen YB Hasan Ali. Apa yang saya faham, JAIS adalah dibawah tanggungjawab exco agama (YB Hasan Ali). Oleh kerana itu, tidak pelik YB Hasan pertahan JAIS. Tohmah JAIS adalah umpama tohmah dia. Jadi kenyataan " TIDAK mengeluarkan pandangan sehingga mendapat laporan dari JAIS dan mendengar dari dua-dua pihak" adalah sesuai untuk YB Khalid, PAS pusat dan negeri bukan YB Hasan kerana dia dianggap sebahagian daripada JAIS kerana dia bertanggungjawab kepada JAIS dan dipihak JAIS. Apa yang berlaku, YB Khalid gelojoh beri pandangan tanpa dengar laporan kedua2 belah pihak.

bersambung sbb tak muat
Bahruddin said…
8. Saya bersetuju dengan YB Khalid agar pendakwaan disegerakan agar polemik ini dapat diselesaikan dengan cepat tetapi kita kena juga beri masa kepada JAIS menyelesaikan siasatan. Saya tetap berpegang bahawa bukti yang ada tidak mungkin akan diperolehi jika JAIS tidak masuk dan periksa untuk dapatkan sebanyak mungkin bukti kerana bukti2 yang ada tidak mungkin akan diperolehi kalu hanya siasatan dilakukan selepas majlis dan diluar gereja. Pilihan yang terbaik yang ada ialah masuk dan periksa dengan tindakan yang minimum untuk menolak dhorurat.
9. Kemungkinan ada agenda politik disebalik pemeriksaan JAIS ini saya tak berani komen. Apa pun saya bersangka baik kepada pimpinan PAS yang mengatakan ada bukti berlaku demikian sehingga Dato' Mustapha sanggup dibawa ke mahkamah. Apa pun, menolak mudharat ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Harapan agar komen saya dapat disiarkan walaupun agak panjang sebagaimana hasrat YB Khalid hujjah lawan hujjah. Maaf kalu terkasar bahasa.
Grand Marquis said…
Saudara Khalid Samad memang ahli politik yang pandai berkata-kata dengan macam macam alasan yang dilapik dengan pelbagai istilah agama.

Hakikatnya segala pusing-pusing dari anda tidak tidak menjadi kerana video tentang apa yang berlaku telah tersebar.

Saudara kata "Jangan terus bermain di muka akhbar semata-mata. Nampak macam tiada bukti yang kukuh dan apa yang dikemukakan melalui blog dan akhbar sebagai bukti akhirnya akan dianggap sebagai alasan untuk menjustifikasi tindakan menceroboh."

Hakikat yang benar ialah yang paling banyak main di media adalah pihak anda, dan media pembangkang (yang jelas pro kristian). Saban hari JAIS dan Hasan Ali dibelasah tanpa belas kasihan. Saudara sendiri dan MB juga awal-awal dah membentuk persepsi dan membangai JAIS yang tersebar luas di media.

Tengok sendiri apa yang ditulis di malaysiakini (juga di harakak)

http://www.malaysiakini.com/letters/172604

http://en.harakah.net.my/index.php/berita-utama/press-unedited/3306-statement-by-muslim-ngo-on-proposed-faith-crime-act.html

Jais di panggil sebagai uncivilized (tidak bertamadun) dan dengan perkataan-perkataan yang keras. Sebab JAIS ni jabatan kerajaan, anda semua gunakan kuasa untuk tekannya. Tak bagi JAIS buat komen. Dalam masa sama, JAIS terus dibelasah saban hari. Masa tu, dimana anda wahai Khalid Samad?

Tetapi Allah maha besar. Segala tindakan anda semua akhirnya didedahkan pada semua orang. Dengan tersebarnya video ini, orang ramai sudah jelas. Pihak anda dan juga pihak pro Kristian sudah tidak boleh menipu. Akhirnya anda terpaksa menukar intonasi. Itu yang saya lihat posting anda semua sudah lain. Sudah mula konar kearah undang undang, falsafah, dakwah, raja najasi dan entah apa-apa lagi alasan anda.

Saya petik apa yang anda tulis: Sikap PAS Negeri Selangor seperti juga PAS Pusat adalah untuk TIDAK mengeluarkan pandangan sehingga mendapat laporan dari JAIS dan mendengar dari dua-dua pihak (dalam kes ini mungkin tiga bila termasuk NGO Harapan Kommuniti). Pandangan ini selari dengan pandangan rakan di dalam PR seperti yang disuarakan oleh MB. Bukankah keadilan menuntut kita dengar dua-dua pihak?

Satu Malaysia tau, yang paling awal buat komen ialah MB Selangor, Khalid Ibrahim. Anda sendiri pun apa kurangnya?

Tengok sendiri apa anda cakap:
http://www.malaysiakini.com/news/172071

Walaupun bermain kata dengan tak mau ulas, tapi secara sinis anda dah bentuk persepsi. Belum anda dapat laporan, terus anda guna perkataan "serbu" dan banyaknya husnu zhan anda pada pihak kristian seperti mengangap Berhubung serbuan JAIS kelmarin, Khalid berhujah, sekiranya terdapat individu melarikan diri sekali pun ia tidak bermaksud melakukan perbuatan salah. Tapi dalam masa yang sama, anda terus buat kesimpulan JAIS serbu, jais tak de waran sedangkan anda tak check sama ada tindakan JAIS termasuk dalam bidang kuasa mereka.

Wahai Khalid Samad. Tak perlu banyak berfalsafah. Biar saya secara mudah menjelaskan pada anda, mengapa orang marah pada anda wahai Khalid Samad? Sebab anda ni hanya pandai meminta keadilan untuk orang kristian, sedangkan tidak memberikan keadilan kepada saudara Islam sendiri. Anda suruh JAIS jangan guna media, tapi anda tak kisah orang lain belasah JAIS guna media. Anda berhusnu zhan dengan kristian, tapi tak berhusnu zhan dengan orang Islam. Itu saja.
john_nash said…
saudara kekura,

kesilapan dr Hasan Ali dan Jais secara umumnya adalah kesilapan di hadapan khalayak yg perlu diperbaiki di khalayak krn melibatkan kepentingan khlayak... ia bukan kesilapan peribadi yg perlu ditegur secara peribadi.
Fadzly said…
Assalamualaikum YB

Saya baru sahaja berjinak dengan PAS. Tetapi tindakan sesetengah orang PAS yang menuding jadi terhadap Dr Hasan Ali adalah sangat menyedihkan. Tindakan melulu itu tidak menggambarkan ciri-ciri orang PAS yang sepatutnya menjadi contoh.

Ianya seperti menggambarkan perpecahan dan kewujudan puak-puak dan asobiyyah di dalam PAS itu sendiri. Ini akan dijadikan modal oleh BN untuk menjatuhkan PAS dari dalam dengan hanya mengadu domba sebahagian pihak.

I hope these people think before they speak

Wassalam
Kg Morten said…
Rasanya si Kekura kurang faham apa yang YB cakap kot. Macam orang PAS sebelah Hassan Ali je bunyinya?
Bahruddin said…
Saudara John_nash:

Jika benar dr Hasan Ali dan Jais melakukan kesilapan di hadapan khalayak, tidak semestinya ia perlu diperbaiki di khalayak atas alasan melibatkan kepentingan khlayak. Ini kerana sbgmn saya pertegaskan sebelum ini YB Khalid ada peluang untuk menegur kesilapan (jika ia benar berlaku) dalam mesyuarat PAS pusat dan negeri . Jika mesyuarat bersetuju dengan teguran tersebut, YB Hasan perlu perbetulkan semula kesilapannya krn melibatkan kepentingan khlayak. Keterbukaan YB Hasan pula sangat penting untuk membetulkan kesilapan berdasarkan kepada keputusan mesyuarat (jamaah).

Dengan lain perkataan, kepentingan khalayak dapat kita jaga apabila YB Hasan Ali tarik balik kesilapannya (jika berlaku) setelah ditegur dalam mesyuarat.

Jadi, perpaduan dan kekuatan PAS dapat kita perlihatkan di khalayak tanpa kita tonjolkan percakaran antara pimpinan dan dalam masa yang sama kekeliruan Islam (jika ia benar berlaku dalam kes JAIS ini) dapat kita perbetulkan.
Bahruddin said…
Kg Morten, apabila saudara berkata:"Macam orang PAS sebelah Hasan Ali je bunyinya" seolah2 saudara ingin menimbulkan puak dalam PAS. Ada puak Hasan Ali dan ada puak Khalid Samad.

Kalulah saudara orang UMNO, saya tak kisah sangat kenyataan saudara ini sebab PAS bukan macam UMNO berpuak2. Tapi kalulah saudara orang PAS, saya sangat sedih atas kenyataan tersebut kerana PAS perjuangkan Islam yang dibina di atas asas ukhuwwah dan perpaduan, tidak berpuak2. Teguran bukan bermakna kita berpuak tetapi teguran adalah untuk kita mencari yang terbaik dan teguran mestilah mengikut saluran parti seperti melalui mesyuarat dan lain2 agar perpaduan dan ukhuwwah dapat kita jaga.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-