Skip to main content

BERSIH: Titah DYMM SPB YDP Agong

Dengan tersiarnya titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan BERSIH yang dijadualkan pada 9 Julai ini, maka sepertimana kebiasaannya, pihak kerajaan UMNO/BN cuba menafsirnya sebagai titah yang menyokong mereka dan menemplak pihak lawan. Mereka dengan segera cuba memutar-belitnya sebagai titah yang menuntut supaya perhimpunan itu dibatalkan dan keengganan untuk membatalkannya adalah sikap derhaka terhadap SPB Tuanku.

Sikap angkuh dan degil UMNO/BN jelas tertonjol apabila titah SPB Tuanku yang bertindak sebagai pihak yang berkecuali, menegur semua pihak, diputar-belit sebegitu rupa. Ianya jelas menzahirkan betapa UMNO/BN tidak menghormati semua pihak, termasuk institusi Raja-Raja Melayu sendiri dalam usaha mereka untuk mempertahankan kuasa mereka dalam pada rakyat yang sudah tidak lagi inginkan mereka.

TITAH SPB YDP AGUNG DIPERINCI
Sekiranya dilihat secara ikhlas terhadap apa yang dititahkan SPB Tuanku, ianya merupakan teguran kepada semua pihak, lebih-lebih lagi pihak kerajaan, kerana sanggup membenarkan suasana menjadi panas sehingga bagaikan tidak terkawal. Teguran SPB Tuanku bahawa Baginda yakin Perdana Menteri “berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin” harus dilihat sebagai satu cabaran kepada Perdana Menteri untuk membuktikan kemampuan beliau. Persoalannya sekarang adakah cara ianya ditangani membuktikan kemampuan PM atau sebaliknya?

a) Mengiktiraf Peranan BERSIH
Cara pihak kerajaan bertindak yang mempergunakan pihak keselamatan dengan terus mengharamkan perhimpunan BERSIH dan menuduhnya sebagai pembawa huru-hara, amat berbeza dengan semangat yang terkandung dalam titah SPB Tuanku yang mengiktiraf BERSIH sebagai sesuatu “bagi menyuburkan demokrasi dalam Negara kita ini”. Pengiktirafan sebegini, yang tepat dan bebas dari unsur putar-belit politik BN, adalah apa yang perlu “untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin”. Sudah pasti sekiranya BERSIH terus dituduh ‘pengkhianat, untuk mencetus huru-hara, alat kuasa asing’ dan sebagainya, tiada yang bermakna akan terhasil. Dengan itu, masalah ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, yang akan terhasil adalah perbalahan dan permusuhan sedangkan inilah apa yang ingin dielak.

b) Peringatan Bagi BERSIH
Apabila dititahkan pula bahawa “kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan Negara-negara luar secara umumnya”, ianya teguran yang dituju kepada pihak BERSIH. Titah ini mengingatkan BERSIH bahawa di Negara luar, demonstrasi dilayani dengan baik dan hak rakyat berkumpul diiktiraf dan dihormati pihak berkuasa, TIDAK seperti di Malaysia. Ini adalah kerana pihak berkuasa, iaitu UMNO/BN, ingin mempertahankan kuasa mereka walau apa sekalipun yang akan berlaku, sepertimana Gadafi di Libya.

Ketua Pemuda UMNO sendiri berdemonstrasi di Greece dalam isu halangan kerajaan Greece terhadap Flotilla yang ingin ke Gaza, sedangkan Greece adalah Negara yang muflis yang lebih berhak menghalang demonstrasi atas alasan ‘kemusnahan yang akan menimpa ekonomi negara’. Tetapi Greece yang muflis dari sudut ekonominya tidak muflis dari sudut ‘bertamaddunnya’ dalam kaedah kerajaan bertindak terhadap rakyat dalam negaranya sendiri.

c) Peringatan Kepada Kerajaan BN
Seruan SPB Tuanku supaya kerajaan “melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana” perlu diambil berat oleh pihak kerajaan kerana apa yang mereka perlu faham ialah kuasa yang diberi adalah satu amanah. Amanah ini pula perlu diguna secara adil dan bijaksana, bukan dengan saja-saja ingin tunjuk kuasa, bertindak secara zalim, menuduh ini serta itu dan menahan orang di atas alasan gila seperti ‘kesalahan’ berbaju kuning!

Oleh yang demikian, kaedah yang digunakan kerajaan akan menghasilkan apa yang TIDAK ingin dilihat oleh SPB Tuanku, iaitu, seperti yang di titah Baginda, “negara bermasyarakat majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan”. Untuk mengelak dari keadaan ini berlaku, maka kerajaan diingatkan supaya bertindak secara ‘adil dan bijaksana’.

d) Kaedah Penyelesaian Yang Tepat
Teguran “sebagai masyarakat yang bertamaddun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan”, memperlihatkan kaedah ‘adil dan bijaksana’ yang dimaksudkan SPB Tuanku. Sedangkan pendekatan kerajaan adalah sebaliknya dan tuntutan supaya pilihan raya bersih dari penipuan terus tidak dihiraukan. Istilah ‘rundingan’ membawa erti saling hormat menghormati dan mengiktiraf kebenaran kedua-dua pihak. Sedangkan yang berlaku tidak lain dari penolakan dan penafian oleh pihak berkuasa dan penggunaan kekuasaan untuk mempertahankan kepentingan, walaupun jelas kelihatan bersalah.

e) Persoalan Demonstrasi Jalanan
Titah Baginda bahawa “demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik” menyejukkan hati kerana mengiktiraf niat disebalik demonstrasi itu. Sememangnya tiada siapa yang ingin turun ke jalan dan berhadapan dengan FRU jikalau kerajaan perihatin dan berunding dengan baik serta menghormati hak rakyat. Demonstrasi selalunya hanya dilakukan apabila tuntutan tidak diendahkan; walaupun terbukti tuntutan itu berasas.

Dalam pada itu, perlu juga dinyatakan disini bahawa keburukan hanya terhasil apabila demonstrasi dikasari dan tidak dibenarkan berjalan dengan aman oleh pihak berkuasa. Dengan pemerintah yang sediada, ‘keburukan’ pasti terhasil oleh kerana tindakan menghalang dan provokasi sudah pasti akan dilakukan secara terbuka.

f) Sifat Kesederhanaan dan Tolak Ansur
Titah Baginda berakhir dengan menyatakan pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur warisan pentadbiran negara dan sifat inilah yang wajar dicontohi. Sifat ‘kesederhanaan dan tolak ansur’ akan menentukan tuntutan yang berasas diterima dan dilaksanakan.
Sifat ‘ekstrim dan keras’ akan menyebabkan amalan yang songsang dipertahankan walaupun sudah terserlah kesongsangannya.

KESIMPULAN
Berdasarkan yang di atas, maka amat jelas bagi saya bahawa DYMM SPB YDP Agong tidak berpuashati dengan kaedah ‘kuku besi’ Perdana Menteri dalam mengendali isu ini. Maka saya amat berharap agar janganlah menjadi sebagaimana Gadafi. Ingin mempertahan kuasa sehingga negara sendiri hancur.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-