Skip to main content

Usul Potong Gaji Menteri Kerja Raya

Pada mulanya saya ingin menyatakan bahawa usul ini dibawa bukan atas sebab-sebab personaliti atau peribadi yang menjadi Menteri Kerja Raya. Saya memahami bahawa sebahagian besar dari masalah yang menghantui Menteri Kerja Raya hari ini adalah masalah yang diwarisinya dari semenjak sebelum beliau memegang Kementerian berkenaan. Oleh itu, personaliti yang menjawat jawatan Menteri Kerja Raya bukan isunya. Isunya adalah budaya kerja yang telah diasaskan dari dahulu lagi yang tidak kelihatan noktah padanya dan tidak nampak ianya akan dihentikan atau mampu dihentikan oleh pentadbiran sediada.

Budaya kerja seperti memberi kontrak-kontrak yang beratus juta ringgit kepada syarikat OKU (Orang Kuat UMNO) secara rundingan terus jelas dipertahankan dan diteruskan walaupun merugikan rakyat dan Negara. Kesan dari budaya ini adalah kos yang tinggi dan qualiti kerja yang rendah.

Sebagai salah satu contoh, kontrak pembinaan Istana Negara yang bernilai pada asalnya RM 650 Juta diberikan kepada syarikat Maya Maju Malaysia Sendirian Berhad yang merupakan syarikat ‘Dormant’ yang tidak berdaftar dengan CIDB dan tidak juga mempunyai Lesen PKK. Maknanya syarikat tersebut tidak berniaga, tidak bergiat sama sekali dan oleh itu tiada trak-rekod dan tiada kepakaran. Namun tetap ditawarkan kontrak tersebut dan lebih aneh lagi, tawaran diberi pada Oktober 2007 sedangkan syarikat tersebut hanya berdaftar pada Ogos 2008. Mungkin oleh kerana ianya merupakan syarikat OKU, maka nilai kontrak dinaikkan dari RM 394.8 Juta seperti cadangan asal dari syarikat tersebut sendiri, kepada RM 650 Juta selepas rundingan! Biasanya dirunding supaya harga turun tetapi di sini, ianya dirunding supaya harga naik. Tidak cukup dengan itu, nilai kontraknya terus dinaikkan.

Begitu juga dengan kontrak pembinaan Institut Kanser Negara. Ianya satu kontrak yang pada asalnya disebut bernilai RM 340 Juta pada awal 2007 tetapi pada Mac 2009 disebutkan pula bahawa nilai kontrak untuk pembinaannya telah melonjak menjadi RM 700 Juta. Seperti biasa, kontrak ditawarkan secara rundingan terus dan ianya diserahkan kepada Syarikat Kiara Teratai Sdn. Bhd. Syarikat ini mempunyai modal berbayar sebanyak RM 1 Juta dan kerugian tercatat sebanyak RM 1.5 Juta. Adakah mungkin sebuah syarikat yang telah, berdasarkan maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menjadi ‘insolvent’ atau tidak berduit sedemikian rupa mampu melaksanakan kerja sebegini? Sekali lagi Syarikat yang dilantik tiada track-record dan tiada kepakaran untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Berterusannya amalan kontrak rundingan terus bererti Menteri Kerja Raya telah gagal menjalankan tugasnya sebagai seorang Menteri yang bertanggung jawab untuk menentukan wang rakyat digunakan dengan cermat, mendapat nilai sebenar dan yang terbaik bagi setiap ringgit yang dibayar, demi kepentingan rakyat Malaysia. Ini merupakan kegagalannya yang pertama.

Kontrak rundingan terus ini juga menghasilkan kebuntuan apabila ianya tidak dilaksanakan dengan baik oleh kontraktor yang dilantik. Kontraktor dilantik atas dasar kenalan dan sokongan politik, maka apabila kontraktor berkenaan gagal, tindakan dilengah-lengahkan sehingga akhirnya projek terbengkalai dan tempoh kontrak lari jauh dari apa yang dirancangkan. Sekiranya kontrak berkenaan melibatkan perkhidmatan tertentu untuk rakyat, maka akhirnya perkhidmatan berkenaan ditangguhkan dan rakyat sekali lagi menjadi mangsa.

Kisah hospital Shah Alam merupakan satu contoh yang jelas di mana perkhidmatan kesihatan yang merupakan keperluan warga Shah Alam dinafikan buat sekian lamanya. Kalau dalam bidang perundangan disebut, “Justice delayed is justice denied”. Begitu juga dengan keperluan asasi seperti perkhidmatan kesihatan di mana ungkapan “Rawatan yang dilewatkan adalah rawatan yang dinafikan” boleh digunapakai. Projek pembinaan hospital Shah Alam jelas tergendala dan sudah 6 bulan kerja-kerja di tapak telah berhenti dan hingga ke hari ini, masih tidak jelas bila ianya akan dimulakan kembali. Dikatakan ianya akan ditender kembali, tetapi hingga hari ini, saya difahamkan, tiada dokumen tender yang telah disiapkan kerana kontrak ini merupakan kontrak “design and build” yang diserahkan tanpa adanya dokumen tender dan BQ pada asalnya.

Yang menyedihkan, persoalan perjalanan projek pembinaan hospital ini telah disebutkan berkali-kali semenjak bulan Februari tahun ini namun walaupun dengan teguran dan peringatan yang berulang, pihak Menteri tetap gagal menanganinya dengan baik demi menjamin projek tersebut disiapkan tepat pada waktunya dan mengikut nilai kontrak yang ditetapkan.

Sekiranya projek ini dipantau dengan baik, pihak Kementerian boleh menjangka apa yang bakal berlaku dan boleh bertindak untuk menyelamatkannya sebelum ianya tergendala sebegini. Wakil Jabatan Kerja Raya yang diletakkan di tapak sebagai ‘Clerk of works’ dan juga Jurutera yang ditugaskan boleh menilai pihak mana yang bekerja dan pihak mana yang hanya memakan komisyen. Mereka boleh mengenal pasti sebab-sebab kegagalan projek tersebut dan mengesyorkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan projek berkenaan.

Dalam keadaan-keadaan sebegini, pihak Kementerian sepatutnya mengambil-alih projek berkenaan dan melaksanakannya di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya. Jabatan Kerja Raya sudah pasti mempunyai Jurutera-jurutera yang mahir dalam pengurusan projek dan bidang kejuruteraan. Sub-kontraktor yang ‘perform’ boleh dikekalkan dan yang tidak, digantikan. Pendekatan sebegini pasti lebih mampu menjamin pembinaan tersebut dapat diselesaikan tanpa kelewatan atau kelewatan yang minima dan perbelanjaan yang menepati nilai kontrak asal berbanding kaedah memanggil tender baru.

Ini menjadi lebih releven apabila diberitahu bahawa sub-kontrak utama bagi pembinaan Hospital Shah Alam, ia itu GM Health telah menawarkan diskaun sebanyak RM 3 Juta dan tempoh masa 18 bulan untuk menyerahkan projek berkenaan. Malangnya pihak Kementerian memutuskan untuk memanggil tender baru tanpa mengindahkan hakikat bahawa cara sebegini akan menyebabkan projek semakin tergendala dan kos semakin meningkat! Sedangkan tujuan memanggil tender terbuka adalah untuk mendapatkan kos terendah dan tempoh masa yang terpendek. Yang penting adalah matlamat di sebalik proses dan bukan proses itu semata-mata. Ketidak mampuan Menteri memahami matlamat sebenar disebalik sesuatu proses sehingga sanggup mengutamakan proses dan mengorban matlamat adalah kegagalannya yang kedua.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan sebelum ini, masalah projek tergendala atau terbengkalai bukan satu perkara yang baru. Di Shah Alam sendiri ada satu lagi projek sakit ia itu projek pembinaan Special Materials Store bagi pihak PDRM. Ianya terbengkalai semenjak tahun 2008. Kontraktor dilantik, seterusnya ditamatkan dan hingga hari ini, tidak kedengaran apa yang ingin dilakukan dengan projek yang bernilai RM 140 Juta lebih ini. Parahnya masalah projek terbengkalai sehingga disebut bahawa kerajaan telah membentuk ‘Jawatankuasa Projek Sakit’. Ini adalah bukti betapa parah keadaannya hasil dari penganugerahan projek kepada yang tidak layak.

Sepatutnya dengan pengalaman yang sebegini banyak, kaedah menyelamat projek secara pantas dan berkesan sudah dikenal pasti. Kaedah memanggil tender terbuka sebelum tawaran dibuat boleh mengurangkan berlakunya projek yang gagal, namun kaedah menyelamat projek setelah ianya ditawarkan dan dilaksana tetapi terbengkalai perlu juga dikenal pasti oleh pihak Menteri. Dalam soal ini amat jelas bahawa Menteri telah gagal untuk mengenal pasti kaedah menyelamatkan projek secara berkesan yang akan meminimakan kelewatan dan perbelanjaan tambahan.

Dalam soal mutu kerja pula, amat jelas dengan berlakunya Stadium yang runtuh, jambatan yang runtuh dan sebagainya, ianya merupakan satu persoalan yang tidak dapat ditangani dengan baik oleh pihak Menteri. Saya percaya Ahli Dewan Rakyat tidak perlu diyakinkan akan kebenaran dakwaan ini. Kebocoran di Parlimen, setelah berbelanja berjuta-juta, adalah bukti yang tidak dapat disanggah oleh mana-mana pihak. Rendahnya kualiti dan mutu kerja merupakan kegagalan ketiga pihak Menteri Kerja Raya.

Di atas tiga kegagalan ini, saya mengusulkan supaya gaji Menteri Kerja Raya dipotong sebanyak RM 10. Dengan itu saya mohon mencadang. Sekian Terima kasih.

Berkaitan: Video Parlimen: Cut Salary of Works Minister

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
Memang sedih & pilu apabila wang rakyat pembayar cukai digunakan untuk projek-projek yg terbengkalai dan bocor dan runtuh sana sini.

Terima kasih YB.

Wong Joe War
sekyen 6 shah alam said…
Bab Kementeria kerja Raya ni..memang ada lunasnya kalau YB bersuara.Sekurang-kuranngnya bergerak la sedikt punggung menteri tu dari nak duduk kat kerusi empuk je..projek terbengkalai.

tapi yang paling menarik dalam ulasan YB kali ni ialah...

kalau boleh YB nasihat kat Anwar Ibrahim ayat ni..

'justice delayed is justice denied'

lagi banyak kos nak pakai..bicara asyik tangguh je.Orang lain pun ada kerja YB..bukan nak hadap kes DSAI je manjang...bosan le.
Anonymous said…
Assalamualaikum,

Kali ini saya bersetuju dengan tuan..

- parti jahat -
Anonymous said…
Sek6..
hahaha..'justice delayed is justice denied'..pandai kau kenakan khalid..tajam sungguh idea kau..hahaha..

pasal istana negara..aku heran mcmana khalid samad tau syarikat yg dapat tu tak ada cidb & pkk? heran aku kalau cakap tak ada bukti..tolong la bagi bukti..aku pun boleh jgk cakap..

pasal hospital tu..kenapa nak kepoh? hospital pun dah nak siap. tapi tak ada kontraktor yg nak buat. sebab apa? sebab orang mcm khalid ni la yg dengki dengan oku.

aku tak tau la mcmana dia tau semua kontraktor yg dapat ni oku.

detail explain tu. ada orang jkr ke yg bgtau ni??
joehan said…
hahaha...so mcm anon December 1, 2010 11:09 PM..psl 'justice delayed is justice denied'...ni lg satu cth betapa besarnya hiprokrasi dlm diri pemimpin2 pr ni...kalo cerita psl musuh politkk dieorg..satu dunia heboh..tp diri sendri xreti nk btulkn..
Anonymous said…
ingat senang ke yg tak ada cidb & pkk nak dapat projek apatah lagi syarikat rm1.

kepada khalid samad, tolong bagi bukti berserta dgn saksi paling kuat pun buat press statement & report pada sprm.

jangan main tembak sebarangan je. orang lain pun berniaga jugk dgn jkr. jangan lepas ni kau kata pulak semua yg dapat projek dgn jkr tu oku.
Anonymous said…
Saudara sekelian,

Daripada pengalaman saya sebagai jurutera di syarikat saya, ingin saya kongsikan bersama.

Untuk kita dapatkan kerja-kerja di dalam kerajaan termasuk GLC, ianya memerlukan kelayakkan MOF, CIDB, PKK, Lesen Petronas etc.

Saya ada kemusykilan disini, jika kerajaan menawarkan tender atau kontrak pada oktober 2007, bagaimana syarikat yg dapat kontrak tersebut hanya mendaftar syarikatnya pada ogos 2008?

Nak daftar MOF kena ada bank statement selama 3 bulan.

nak buat PKK kena ada orang kompetent.

Nak buat CIDB kena ada rujukkan kontrak yg lepas baru boleh daftar G5, G6 atau G7. CIDB juga masih mengekalkan syarat orang kompetent utk berdaftar dengannya.

Untuk mendaftar semua kepala & sub-kepala di dalam MOF, PKK & CIDB, ianya memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk kompetentkan syarikatnya.

Jika syarikat tersebut berdaftar pada Ogos 2008, maka by July 2009 baru dia boleh start kerja atau dapat award contract dgn government utk buat istana negara.

yang peningnya, projek istana negara dah nak siap. daripada segi struktur dan reka bentuknya, ia memerlukan sekurang-kurangnya 2 tahun utk di bina.

jika di lihat dgn mata kasar projek tersebut, ianya dah siap hampir 70%-75%.

jadi bagaimana khalid samad boleh kata syarikat Maya Maju Malaysia Sendirian Berhad merupakan syarikat ‘Dormant’ yang tidak berdaftar dengan CIDB dan tidak juga mempunyai Lesen PKK?

Kalau syarikat kroni oku sekalipun adakah berani jkr atau kerajaan bn bagi kontrak direct pada orang yg tak ada pengalaman.

jika benar apa yg di katakan oleh khalid samad, tolong bagi bukti.

jika bukti tersebut benar, insya allah saya akan undi tuan dlm pru13 akan datang.

jika tuan tak ada bukti jelas, maka eloklah tuan bertaubat & mintak maaf kepada siapa yg terkena mulut busuk tuan itu.
Anonymous said…
MACAMANA KONTRAKTOR YG TAK WUJUD BOLEH DAPAT KONTRAK?

SIAPA BAGI KONTRAK PADA KONTRAKTOR TU?

KALAU ORANG UMNO BAGI, MANA BUKTI?

HINANYA JADI KONTRAKTOR JKR NI. ASYIK KENA FITNAH JE.
Anonymous said…
siapa bagi kebenaran pada anwar bin ibrahim lantik lim kit siang jadi tpm?

saya sebagai rakyat malaysia walaupun undi yb, tak setuju sama sekali!
Anonymous said…
kenapa nak jadikan isu istana negara?
istana negara adalah lambang institusi raja melayu.

kalau orang melayu macam khalid samad mempertikaikan istana negara then macamana dengan raja melayu?

kontraktor yang dapat tak ada masalah nak buat istana negara bahkan berjalan dengan baik & tiada pun cacat cela.

cuma pr & khalid samad secara khusus sengaja mengusik projek istana negara walaupun dia mempertikaikan kononnya OKU yg dapat tapi sebenarnya dia mempertikaikan kenapa perlu istana negara di bina.

kepada khalid samad, istana negara yg agong duduk sekarang ni kalau tak silap adalah rumah yap ah loy.

so bangga lah sikit kalau kerajaan buat satu istana besar utk raja kita.

kepada khalid samad, apa akan jadi kalau you pertikaikan istana di johor?

so, lain kali jangan nak main sergah je.

pasal isu hospital ni, aku sokong jkr. kalau kau nak kata projek dapat kat oku pun lantak la. janji orang shah alam dapat hospital. bukan apa, lagi banyak kita berpolitik lagi lambat la projek nak siap.

adalah lebih baik kau nasihatkan kerajaan negeri selangor suruh dia betulkan jalan kat shah alam yg banyak lubang ni daipada kau merapu pasal bas stop atau terminal bas.

dari rakyat utk rakyat!
Anonymous said…
Kenapa nak ajak rakyat ikut menteri besar yg sama nama dgn kau berarak esok?

aku nak pi KL esok la. ada KLIMS kau tau ke?

bila lagi la aku yg rakyat biasa ni nak pergi. aku dah rancang 2 bulan lepas kau tau tak. last-last kau nak ajak aku pergi berdemonstrasi.

lantak la air nak naik 37%. aku peduli apa. aku dapat air free tiap-tiap bulan. so what?

bukan lah aku akngkuh..tapi kerajaan dah bagi free 20m3 air pandai-pandai la guna.

blah la pakatan hampeh..
Anonymous said…
sebelum nak potong gaji menteri, sila potong gaji yb dulu & bagi pada saya. saya nak claim. boleh?

sebab apa? sebab jalan raya kat shah alam ni teruk sangat. tayar kereta saya baru-baru ni pecah sebab langgar lubang besar antara seksyen 6 & seksyen 7. kena beli rim baru. tu pun pecah masih boleh isi angin lagi..nasib baik petronas dekat je.

kira 3 minggu jugak la pakai tayar yg pecah & saya sanggup 6 jam sekali isi sebab tak cukup duit nak beli tayar.

bila dapat gaji baru-baru ni, ingatkan beli tayar je..tapi terbang rm500 beli tayar sebiji & tukar rim.

tapi sebagai rakyat saya redha. saya sanggup tunggu beberapa bulan je utk pangkah BN.

Hehehe. jangan marah yb. kat shah alam ni sebenarnya macam tak ada wakil rakyat. yang ada ni pun asyik sibuk ceramah politik 24 jam mintak derma.
Hamba Allah said…
umno dah parah YB...barang semua naik harga atas nama kurangkan subsidi untuk kukukhan perbelanjaan negara...
Harap PAS perkemas jentera untuk tumbangkan umno pengkianat bangsa.

Amin
Anonymous said…
pak khalid tak ikut ke berdemonstrasi tgh hari ini? Huhuhu..apa faedah yer kalau ada pun. boleh bagi list tak?

dah la panas, gerenti kena penyembur air FRU.

baik aku duduk rumah lagi best.

kepada yg bercadang nak bawak anak-anak tu, silalah berfikiran rasional sikit. bukakanlah minda tu.

anda sebenarnya bukan di zalimi oleh syabas tapi sebenarnya anda di zalimi & di perkudakan oleh pas, pkr & dap.

percayalah. saya dah ikut demonstrasi sejak drp zaman reformasi lagi. kononnya pemimpin rakyat, tapi hampeh semua lari bila kena serbu dgn fru. masa panas entah kemana. tapi bila kena tangkap dgn polis, dialah hero rakyat.

jadi moral of the story kalau pergi berdemonstrasi jalanan, apa saya dapat?

jawapannya adalah:

NOTHING! Buang masa & duit je.
Anonymous said…
On the way to Sabak Bernam dlm usaha gugat BN. Malam ni ceramah kempen kembalikan hak rakyat. Mansuhkan penswastaan air.

Asyik ceramah je YB ni.
mana tanggungjawab sebagai wakil rakyat?

Ok. kalau mansuhkan penswastaan air, apakah plan kau?

daripada mana kau nak dapatkan duit nak menjalankan operasi air kalau kerajaan selangor ambik alih syabas? tak tau la pulak kerajaan selangor boleh pinjam duit dgn bank.

apakah kalau kerajaan selangor ambil alih syabas, maka ianya lebih efficient?

macamana aku ni yg kerja dgn syabas? adakah kau nak ambik aku kerja sebahagian drp kakitangan kerajaan selangor?

tolong bagi penjelasan.
Anonymous said…
Bunyi macam orang yg sama saja yg komen.

Tolong lah sikit. Kami bukan bodoh tau.

Apa. Ko ingat orang lagi suka ke kat BN kalau ko cakap macam tu? Lagi Menyampah ada lah.

Ko setuju ke harga barang naik? Banyak sangat ke upah ko dapat buat kerje melalak ni?

umno - BN mesti dioencenkan. Kalau tak rakyat semakin melarat.
Anonymous said…
kau keja tempat lain la..kat penang kan air naik..kerja kat sana la..sama aje..PR jugakkan?
Anonymous said…
Mengenai hospital shah alam tu YB tahu ke cerita sebenarnya? Syarikat GM Healthcare tu baik sangat ke? Ia adalah tipikal syarikat chinaman yang menikam melayu dari belakang dan penuh dengan muslihat dan manipulasi. Cuba tanya staff yang terlibat projek tu.

By the way siapa yang mula-mula usulkan isu jkr ni? Dari isu istana, isu hospital yang sub con nya Cina, benarkah tekaan saya kalau DAP yang usulkan semua ni dan PAS dan PKR cuma terhangguk-hangguk setuju. PAS cubala cari idea lain kalau nak komplen pun. Janganlah hanya menempek keatas isu yang DAP ada kepentingan (untuk bangsanya saja).

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-