Skip to main content

Kisah 2 Jurujual

Dikisahkan pada suatu masa dahulu, terdapat seorang jurujual yang heboh menceritakan bagaimana orang ramai yang membeli produk jualannya semakin berkurangan. Ke mana sahaja perginya maka akan dikhabarkan bahawa produknya semakin hilang sokongan dan sambutan orang ramai.

Ramai yang agak hairan mendengar 'sales pitch'nya. Kerana, adakah dengan pendekatan sebegini dia mengharapkan orang membeli produknya di atas dasar kasihan dan simpati kerana jualannya semakin menurun?

Dalam pada itu, 'Sales pitch' atau kaedah jurujual ini memberi kesempatan jurujual produk saingan memburuk-burukkan produknya. “Produknya tidak mendapat sambutan malahan pelanggannya semakin berkurangan”, kata mereka. “Bukan kami yang kata, tetapi dia sendiri yang mengaku”, tambah mereka lagi kepada orang ramai yang turut mengangguk mendengar hujjah mereka.

Tetapi, dalam masa yang sama, terdapat pula seorang lagi jurujual produk sama yang menggunakan kaedah dan pendekatan yang agak berbeza. Beliau mengakui produknya masih belum menguasai pasaran, namun turut menyatakan bahawa sambutan semakin bertambah bulan demi bulan. Pada satu ketika dahulu, produknya hanya menguasai 10% dari pasaran tetapi sekarang melonjak menjadi 36%. Walaupun belum lagi melebihi 50% seperti yang diinginkan, namun ianya semakin bertambah dan semakin ramai menerimanya.

Kalau difikirkan secara objektif, maka amat jelas bahawa pendekatan jurujual kedua akan merangsang pembeli untuk mencuba produk yang dijual. Pendekatan pertama merupakan pendekatan 'suicidal' atau membunuh diri.

Saya membawa contoh di atas bagi menjelaskan sebab mengapa saya menolak dakwaan bahawa sokongan Melayu semakin berkurangan seperti yang disebut sejak kebelakangan ini. Sekiranya ianya benar sekalipun, ianya tidak sepatutnya disebut begitu. Apatah lagi sekiranya ia tidak benar!

Hakikatnya sokongan Melayu bertambah dan insyaAllah akan terus bertambah. Produk yang dibawa, iaitu politik Islam, semakin menggantikan produk perkauman UMNO, iaitu politik Melayu, di kalangan orang Melayu Islam.

Terdapat pula yang menyatakan bahawa pengurangan ini berlaku selepas PRU ke-13. Saya hairan, dari mana datangnya kesimpulan ini? Dari keputusan PRK yang ditandingi? Adakah keputusan PRU dan PRK boleh dibandingkan secara direct secara begitu sahaja? Adakah keadaan dan suasana PRK itu sama sahaja dengan PRU?

Orang yang telah lama bergerak dalam politik Malaysia memahami bahawa suasana PRU dan PRK amat jauh berbeza. Secara kebiasaannya, PRK akan menyebelahi pihak BN kerana mereka dapat tumpukan segala kekuatan mereka kepada satu kawasan di mana semua Menteri termasuk Perdana Menteri akan turun berkempen dengan menjanjikan berbagai bentuk 'imbuhan'. Tetapi, mereka tidak mampu melakukan sebegini sekiranya ianya PRU.

Lagipun, dari 11 PRK, PR menang semua kecuali Batang Ai, Bagan Pinang dan Hulu Selangor. Dalam pada itu Hulu Selangor dimenangi BN tanpa menjejas jumlah undi yang diperolehi PR kerana jumlah undi yang diperolehi Dato' Zaid melebihi jumlah undi yang diperolehi Al-Marhum Dato' Zainal pada 2008. Hanya jumlah pengundi bertambah seramai hampir 2,000 dan ini menyebabkan Dato Zaid kalah walaupun undinya bertambah. BN sendiri kecewa dengan pencapaian mereka di Hulu Selangor kerana telah membelanjakan wang yang begitu banyak tetapi sokongan terhadap PR tidak terjejas.

Bagan Pinang pula sememangnya PR tidak kuat sepertimana juga Batang Ai. Di Bagan Pinang, dulu kalah, sekarang kalah dengan lebih teruk atas beberapa sebab termasuk faktor calon. Bagan Pinang bukan contoh yang menggambarkan suasana keseluruhan Negara. Adakah atas sebab satu tempat ini, yang memang dari dahulu lemah, maka ada yang menganggap bahawa PR sudah lemah dan kehilangan sokongan Melayu? Tidakkah mereka ingin melihat kepada keputusan-keputusan di mana PR mencapai kemenangan sebelum dan selepas itu, termasuk di Sibu?

Kemenangan semasa PRK adalah bukti kukuh dan muktamad bahawa PR bertambah kuat dan mendapat sambutan, termasuk PAS.

Saya khuatir jika ada dikalangan penyokong sendiri yang termakan dengan propaganda BN. Yang menyatakan dan menonjolkan dakwaan kononnya Melayu lari dari PAS dan PR adalah BN. Kenapa pula ada yang memanjangkan dakyah BN ini? Ungkapan bahawa sokongan berkurangan selepas PRU ke-12 adalah lebih jahat kerana ianya memberikan gambaran bahawa usaha PAS memerintah bersama PR adalah punca kononnya larinya sokongan Melayu. Apakah tujuan dan matlamat di sebalik dakwaan ini? Bagi pihak BN amat jelas tujuan dan matlamat mereka membuat dakwaan sedemikian rupa. Tetapi apa pula tujuan dan matlamat disebalik ahli sendiri menyatakannya?

Sebenarnya sokongan bertambah. PAS perlu yakin dengan hakikat ini kerana inilah keadaan yang sebenar. Namun sokongan ini masih belum mencukupi. Apa yang jelas, PAS berkemampuan menambah sokongan ini sehingga menggantikan UMNO walaupun terus kekal bersama PR sambil membawa produk Islamnya.

Jika dulu ramai yang mempersoalkan kemampuan PAS memerintah kerana Malaysia adalah masyarakat majmuk. Sekarang mereka mula sedar bahawa dalam Islam adanya tahaluf siyaasi serta siyaasah syariyyah dan dengan itu memungkinkan PAS berkongsi kuasa atas dasar yang dipersetujui bersama. BN melihat pememerintahan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dan mula khuatir apabila melihat PAS mampu memerintah bersama PR dengan baik. Ini akan kekal sebegitu sekiranya PAS tidak menjadi ‘jurujual’ UMNO dengan memburuk-burukkan PR, secara sedar atau tidak sedar.

Dalam bahasa Inggeris biasa dikatakan, 'It can only get better' atau 'ianya akan hanya bertambah baik' dan inilah keyakinan saya, insyaAllah. Tetapi hanya sekiranya kita tidak teragak-agak dengan bertoleh ke kiri dan ke kanan dan sebaliknya bergerak terus, maju ke hadapan bersama PR.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Kuda Perang said…
Takbir!!!
Allahu Akbar!!!

Takbir!!!
Allahu Akbar!!!

Takbir!!!
Allahu Akbar!!!

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-