Skip to main content

TITM dan Saya

Saya meletakkan tulisan TITM di blog saya sebagai bukti bahawa saya tidak merasa marah atau dendam terhadap beliau. Sebenarnya saya turut bersimpati terhadap beliau dalam isu ini. Dia dikecam jauh lebih teruk dari saya, sedangkan dia hanya berusaha untuk menjalankan tugas yang tidak ingin dipikulnya sejak dari awal lagi.

TITM merupakan salah seorang pimpinan yang mudah didampingi dan di dalam sesi perbahasan atau perbincangan saya melihat beliau sanggup mendengar hujjah-hujjah dari semua pihak, termasuk yang tidak berlatar-belakang pendidikan agama. Hujjah dipertimbangkannya berdasarkan kekuatan hujjah, bukan atas dasar siapa yang bercakap. Dalam beberapa isu, termasuk berhubung isu kalimah Allah, semasa mesyuarat Lujnah Politik PAS Pusat atau yang di rumah DSAI, kami sealiran.

Namun, seperti biasa, tidak mungkin kita bersetuju di atas semua perkara. Dalam soal keputusan JK Disiplin, saya akur dan tidak membantah, namun itu tidak bererti saya setuju secara keseluruhan atau berpuas-hati. Benar, saya telah menyebut bahawa matlamat minima tercapai tetapi itu tetap merupakan yang paling minima. Tetapi, adakah kita patut berpuas-hati dengan hanya yang minima?

HARAPAN AHLI DAN PENYOKONG TERHADAP JK DISIPLIN

Sememangnya ramai yang mengharapkan JK Disiplin akan menyelesaikan kemelut di Selangor. Kemelut yang begitu meruncing sehingga TGNA mencadangkan EGM untuk diadakan. Kemelut yang berpunca dari tindakan yang sering menjejas kepentingan PR melalui tindakan dan kenyataan yang jelas bercanggah. Kemuncak dari itu apabila berlaku peristiwa berhubung SelCAT. Ramai yang mengharapkan tindakan akan diambil terhadap punca kemelut itu, tetapi malangnya harapan ini musnah apabila yang dihukum ialah orang yang mempertahankan PR dan punca kemelut dilepas dengan hanya amaran.

Apabila ahli marah dan seteru tidak, sepatutnya ianya dilihat sebagai satu petanda bahawa ada yang kurang betul. Jangan kita respon dengan memarahi pula ahli sedangkan kemarahan ahli pasti ada sebabnya. Ahli telah sabar menunggu berbulan-bulan untuk melihat penyelesaian tetapi apa yang terhasil adalah sebaliknya. Tidakkah wajar kekecewaan mereka? Maka timbullah berbagai andaian.

JANGAN DIPATAH SEMANGAT KEPEMUDAAN PEMUDA

Saudara Abdullah Karim, seorang AJK Pemuda Pusat yang tidak langsung berkepentingan dalam isu ini menjadi marah, apa sebabnya? Kita harus tanya diri kita sendiri. Jangan pula kita menempelaknya dengan ugutan tindakan atau tuduhan tidak bertanggung jawab dengan mengatakan ‘kritik kemudiannya tinggal’. Saya pasti rancangannya untuk ‘tinggal’ sudah lama dibuat, malahan lama sebelum keputusan ini dikeluarkan.

Sebagai pemimpin, kita mesti galakkan kritikan yang membina walau datang dari apa saluran dan dari siapa sekalipun. Jangan dipatahkan sayap burung yang baru ingin terbang. Jangan dipadamkan semangat kepemudaan pemuda yang ingin berjuang. Ingat akan tindakan Saidina Umar (RA) apabila dinyatakan oleh seorang pemuda akan dihunus pedang untuk dibetulkan diri Umar. Umar memuji sikap pemuda tersebut dan tidak menempelaknya.

Selami pointnya dan fikirkan. Kalau betul, terima. Kalau tidak, jelaskan mengapa tidak. Pemimpin mesti berbesar hati, jangan sempit dan ingin mengongkong pemikiran pengikut. Kita perlu ‘engage’ dan beri penjelasan. Ini akan menjadikan pengikut bangga dengan sikap pemimpinnya dan pada masa yang sama, masyarakat sekeliling akan menghormati dengan keterbukaan pemimpin kita. Maka, janganlah diperlihatkan PAS bagaikan berkuku besi - kamu kritik, kamu dikenakan tindakan!

JANGAN MENEPIS KRITIKAN

Saya melihat TITM berpegang kepada pendirian bahawa ahli tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan JK Disiplin. Mereka tiada fakta, hanya andaian. Namun inilah sebenarnya peranan JK Disiplin untuk menjelaskan. Keadilan mesti bukan sekadar dilaksana tetapi dilihat terlaksana. Dalam erti kata lain, JK Disiplin mesti meyakinkan semua bahawa keputusan dan hukuman yang telah ditetapkan adalah adil. Tidak cukup dengan hanya mengatakan “kami tahu, kamu tidak tahu” atau “kami ada fakta, kamu hanya andaian”. Ini kaedah menepis teguran namanya. Tiada yang terhasil dengan tepisan begini. Yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati. Sebaliknya kita mesti jelaskan, dedahkan dan buktikan bahawa ianya adil.

Tepisan kedua, “kalau nak pertikai pun, guna saluran yang sepatutnya”. Sebenarnya inilah yang ahli melakukan selama ini. Mereka sabar menunggu berbulan-bulan, menjaga adab berjamaah, mengharapkan penyelesaian. Malangnya yang terhasil adalah sebaliknya. Sebenarnya keputusan JK Disiplin telah menyebabkan sebahagian dari ahli hilang keyakinan dengan ‘saluran yang sepatutnya’. Mereka menunggu dengan penuh harapan, yakin bahawa keadilan akan terlaksana namun akhirnya harapan dimusnahkan. TITM mesti ingat apa tujuan JK Disiplin dirujuk dalam soal ini. Termasuk hakikat bahawa ianya sebagai pengganti kepada EGM.

Adakah EGM dulu dicadangkan oleh kerana tindakan saya? Atau untuk menapis golongan yang dilihat anti-PR?

BUKAN SEMUANYA ANDAIAN

Hakikatnya ahli dan penyokong juga mempunyai fakta. Bukan semuanya andaian. Sebagai contoh saya kemukakan fakta yang diketahui umum.

1. Semua tahu PJ telah melakukan banyak perkara untuk menjejaskan kedudukan PR Selangor semenjak dahulu lagi. Kenyataan dan tindakan beliau menimbulkan berbagai masalah sehingga akhirnya di pertemuan di Tropicana beliau turut berjanji tidak akan bertelagah lagi dengan PR secara terbuka.
2. Beliau terus dengan kerenah beliau dalam isu SelCAT. Ini juga fakta.
3. Akhirnya beliau lepas dengan amaran dan saya yang dihukum. Sedangkan semua tahu saya menyanggah beliau kerana kesalahan beliau. Ini juga fakta.

Dengan fakta yang sebegini, tidak salah ahli dan masyarakat umum membuat andaian bahawa ada yang tidak kena. Mereka tidak boleh membaca hati dan niat seseorang. Mereka akan menghakimi tindakan JK Disiplin berdasarkan yang zahir. Mereka akan membuat andaian berdasarkan fakta yang ada pada mereka. Oleh itu pemimpin mesti jelaskan, dedahkan dan buktikan keputusan yang dibuat adalah adil. Bukan sekadar menyatakan “tiada agenda”, “saya ikhlas” dan sebagainya.

Walau dinafi seribu kali akan adanya agenda tertentu, namun “actions speak louder than words” atau tindakan lebih menyakinkan dari kata-kata. Kata-kata mengatakan tiada agenda, malangnya tindakan bagaikan menyatakan sebaliknya.

KESALAHAN KHALID LEBIH SERIUS!

Ada yang mengatakan, kesalahan Khalid lebih serius! Serius atau sebaliknya boleh dinilai berdasarkan siapa yang membuat aduan. Dalam kes saya, aduan dibuat oleh Dewan Harian PAS Selangor, pendek kata PJ sendiri.

Saya difahamkan bahawa aduan terhadap PJ dibuat oleh MB Selangor, Back Benchers Club Selangor, iaitu semua ADUN PR Selangor yang bukan ahli-exco dan juga, sekiranya diambil kira isu EGM, TGNA!

Kalau aduan MB, BBC PR Selangor dan TGNA semuanya dianggap remeh dan tidak serius, saya rasa kita kena tunggu PJ buat aduan atas dirinya sendiri barulah dianggap serius. Kalau ini berlaku, sah serius kerana ada yang sudah hilang akal!

Ada juga yang mengatakan kesalahan saya lebih serius kerana saya melakukan kesalahan terhadap parti sendiri. PJ pula melakukan kesalahan terhadap orang lain. Saya amat berharap ini bukan pandangan pimpinan PAS! Kalau ini pandangan pimpinana PAS maka tiada maknalah cogan kata ‘PAS for All’ dan pegangan, Islam adil terhadap semua. Malahan saya berani katakan sikap ini sikap Yahudi dan bukan sikap Islam. Kalau ada yang berfikiran begitu, harap sangat dibetulkan!

Lagipun, adakah benar PJ tidak menyalahi partinya? Bukankah amanat dari muktamar Ipoh dan Shah Alam mendesak supaya PR dikukuhkan? Tidakkah tindakan beliau menyalahi amanat tersebut? Atau adakah usul tersebut hanya tipu-helah politik dan satu pembohongan? Kalau ada yang menganggap ianya pembohongan, harap sedar bahawa bagi kebanyakan ahli muktamar, ianya keputusan yang mesti dipatuhi. Dan saya menyanggah PJ atas sebab tidak akur kepada keputusan muktamar.

KESAN KEPUTUSAN JK DISIPLIN

Saya tidak bersedih kerana digantung jawatan. Kita berjuang bukan kerana jawatan. Saya sedih kerana hasil keputusan JK Disiplin, imej PAS tercemar. Selama ini PAS dilihat sebagai ‘weak link’ di Selangor. Apabila disebut kerajaan PR akan jatuh kerana ada yang akan melompat, semua melihat pada PAS. Sehingga PJ terpaksa mendedahkan isu ‘Baiah taklik’ untuk meyakinkan rakan-rakan PR. Namun tindakan beliau menyanggah beberapa keputusan PR secara terbuka terus mengundang kesangsian.

Keputusan JK Disiplin mengukuhkan kesangsian ini. Rakyat melihat PAS tidak kommitted kepada usaha menjayakan PR Selangor kerana yang menimbulkan masalah tidak dikenakan tindakan. PAS terus dianggap mempunyai ‘perancangan rahsia’ dan ‘agenda tertentu’ seolah-olah hanya menunggu masa untuk bersama BN.

Sekali lagi kita tidak boleh salahkan rakyat atas andaian tersebut. Kita yang menimbulkan kesangsian dengan tindakan kita sendiri. Amat sukar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kesungguhan PAS untuk bersama PR setelah apabila mereka baru sahaja mahu percaya, kita yang menimbulkan kesangsian kembali. Amat malang bagi PAS, peluang keemasan untuk membuktikan kesungguhan kita akhirnya terlepas begitu sahaja, malahan ditambahkan pula kesangsian.

Saya setuju dengan kata-kata TITM, “kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah”. Malangnya, bagi saya, keputusan JK Disiplin yang banyak menyusahkan PAS berbanding kritikan dan teguran ahli. Minta maaf banyak-banyak.

KALAU TERSILAP

Rasulullah (SAW) sendiri mengaku tersilap dan seterusnya meletakkan tentera Islam dikedudukan yang dicadangkan oleh Hubab di Badr. Umar (RA) pernah menarik balik keputusan beliau apabila ditegur seorang muslimat. Imam Shafii pula terkenal dengan peristiwa qaul Jadid dan qaul Qadimnya. Kalau tersilap tiada salahnya diperbetulkan kalau kita mampu. Kalau mampu diperbetulkan, tidak cukup dengan memohon ampun dengan Allah semata-mata sambil membenarkan kerosakan terhadap imej PAS berterusan.


KESIMPULAN

Hormat saya terhadap TITM tetap kekal seperti biasa. Kalau berjumpa di Shah Alam, tetap boleh berbincang dan minum bersama. Tetapi saya tidak bersetuju dengan keputusan JK Disiplin, namun saya terima dan saya akur.

Tetapi ketetapan PAS untuk mengukuhkan PR akan saya terus pertahankan. Dan akan saya sanggah siapa sahaja yang ingin menggagalkannya. Biar pun ianya bergelaran PJ. Mahupun SUA ataupun TP dan siapa sahaja yang ingin mengkhianati keputusan muktamar dan perjanjian persepakatan PR. Kerana muktamar adalah badan tertinggi dan kehendak PAS ditentukan di sana. Yang lain hanya perlaksana!

Kita berjuang supaya keadilan dan kebenaran Islam terserlah. Bukan oleh kerana tokoh tertentu. Tokoh datang dan tokoh pergi, namun perjuangan Islam terus dihayati. Keadilan dan kebenaran Islam tidak akan terbukti melalui ‘politik khianat’ serta ‘politik oppurtunis’. Keadilan dan kebenaran Islam akan terserlah melalui kejujuran berpakat dan semangat setiakawan bersama. Oleh itu, sekiranya ada yang ingin khianat biarlah dunia mengetahui bahawa politik khianat BUKAN dari Islam. Biarlah ahli jamaah Islam bangun untuk menghalang penkhianatan sebegini demi menyelamatkan nama baik Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

ahli pas berdaftar 472817 said…
YB you are my leader
Sivakumar said…
Hujah dan penerangan YB cukup terang dan saya terpaksa bersetuju dengan apa yang dikatakan YB.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat satu elemen ketidakadilan yang jelas dalam tindakan Jawatankuasa Disiplin PAS mengenai isu ini. Pesuruhjaya PAS Selangor memang jelas bersalah bukan sekali, tetapi beberapa kali kerana tidak akur dengan perintah dan persetujuan Muktamar untuk akur dan bertindak secara membina dalam persabahatan Pakatan Rakyat. Tetapi tidak, beliau bertindak liar dan YB Khalid menegur tindakan buruk beliau. Namun, YB yang dihukum berat dan si pesalah yang sebenar persepsi umum seolah-olah dia tidak bersalah! Ini memberikan satu mesej atau isyarat yang sangat negatif kepada rakyat mengenai PAS.

Maka saya sebagai seorang penyokong PAS berharap satu hari sekurang-kurangnya rakyat meminta PAS mengkaji semula keputusan disiplin yang dikenakan ini dan betulkan apa yang salah.

Saya, seorang anak bangsa Malaysia,

S.
Anonymous said…
Salam YB,

Saya amat bersetuju dan saya sungguh hairan mengapa TITM tak faham depa tak serang PAS.

Semua orang boleh faham, sifirnya mudah. Nak marah buat apa pasal dah ada orang tolong 'luku' musuh mereka.
Anonymous said…
Assalamualaikum..

JK Disiplin PAS wajar mengeluarkan kertas hujah penghakiman yang dibuat oleh Tuan Ibrahim Tuan Man agar boleh diteliti oleh para ahli-ahli PAS yang lain. Dengan itu ahli-ahli akan dapat melihat kebenaran hukuman yang diberikan tanpa prejudis seterusnya menunjukkan ketelusan JK Disiplin PAS, ini seterusnya akan memantapkan organisasi PAS.
dino said…
Alhamdulillah, saya sokong 100% hujah dan artikel YB Khalid Samad. Macam komen saya terdahulu, saya amat mengagumi KS kerana prinsipnya.

Namun pada pandangan saya secara global, keputusan JK Disiplin adalah demi menjaga kemaslahatan parti dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan hingga menimbulkan krisis yang lebih besar.

Saya juga yakin bahawa PJ Selangor selepas ini akan muhasabah diri dan mengelakkan kontroversi serta memperteguhkan iltizam memperkuatkan PAS dan PR. Berilah peluang kepada PJ.

Saya berharap PJ akan berjumpa KS secara muhibbah 4 mata dan saling bermaaf maafan. Anda berdua mewakili parti Islam dan bakal menjadi tokoh kerajaan akan datang selepas PRU13.

Saya yakin YAB TGNA juga sudah reda marahnya kepada 3 individu terbabit berkaitan isu kerajaan perpaduan.

Moleknya TGNA yang jadi orang tengah damaikan PJ dan KS.

Apakata kawan-kawan pendokong Jemaah sekelian. Tolonglah beri pendapat yang jujur dan boleh memperkuatkan Jemaah. Sedangkan lidah lagi tergigit. Wassallam.
web admin said…
sabar yb

http://kerabubersuara.blogspot.com/
Kapten Zero said…
Saya amat setuju dgn kenyataan YB. Moga para pemimpin PAS yang bertaraf Kelas Ketiga berada dibawah dari UMNO sedar akan tanggungjawab; kalau rasa tak layak jngan ddk kerusi2 tersebut. ramai lagi yang layak; cakap takut kpd Allah Bila musim pemilihan parti bertanding dia sanggup kedepan.Biro politik PAS pusat adalah yang paling lemah sejak merdeka. Kita perlu mereka yang tinggi IQ dan warak dalam semua pekerjaaan bukan pakturut. Presedin juga lemah.Saya pun dah 55tahun ingin juga tengok Pas Perintah Malaysia; tapi kalau gini keadaan pimpinan jangan harapkan nak menang nanti jadi macam teganu semua terlepas, hanya yang pemimpin pas dapat jual beli kambing dgn Mat said MB teganu.
moon said…
salam YB

keputusan j/w disiplin baru ini amat mengecewakan ramai, ahli dan penyokong, tak kurang juga pemerhati...

saya juga begitu,dan sebagai ahli Pas amat kecewa dengan keputusan jawatankuasa disiplin.

pada saya,pas perlu melakukan sesuatu...graf sokongan semakin merosot,populariti semakin terhakis...apa maknanya??

saya melihat pas di selangor saling tak tumpah pas di terengganu era 1999-2003..bila diberi peluang memerintah, tak reti menguruskan kemenangan untuk kemudiannya dipertahankan...amat memalukan!!!

pemimpin seperti hasan ali tak ubah seperti pemimpin umno,suka menjaja cakap berkokok tak tentu hala...tapi isinya kosong...

kalau setakat nak duduk senang lenang dalam opis,jumpa kontraktor2 di hotel2 mewah...baik tak payah jadi PJ pas...sepatutnya jadi umno..

tengoklah Jais...apa sudah jadi..?? penuh dengan umno...dan mana peranan hasang ali??
abdrahim kassim said…
Syabas YB. Jauhari juga yang mengenal manikam.. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Tuan Haji Yusof Rawa di pejabat PAS Jalan Pahang, saudaralah bakal pimpinan PAS yang diharapkan...Teruskan usaha, kuatkan semangat untuk melenyapkan pemimpin-pemimpin yang telah rosak akhlaknya.(akhlak sebagai pemimpin Islam)
Kamal Lim said…
sudah la sdr khalid ...
buat la kerja sbg ahli parlimen tu ..
jgn dok merapu dan bergaduh x tentu pasal, terimalah hukuman tu dgn reda dan perbaikilah akhlak dimasa akan dtg...
kan j/kuasa disiplin dah bg tau, jika x puas hati dgn keputusan, boleh merayu ..
kenapa masih guna blog nak hentam sesama jemaah?
apakah yg sebenarnya sdr khalid inginkan?
siapa hakim? sdr khalid atau j/kuasa disiplin?
kalau masih x puas hati saman ajelah j/kuasa disiplin tu...
ingatla .. musuh anda yg sebenar ialah syaitan ...
Anonymous said…
kome-kome ni ahli pas ke atau penyemak pd pas.. nk sangat muktamar.. tunggu
Monkey Code said…
Salam YB,
Great...U r a real STATESMAN. May Allah bless u n the rakyat, Amin
Anonymous said…
terharu,geram dan hampir kecewa.....tapi Islam mendidik kita agar tabah dan sabar dalam apa jua keadaan.

Saya bersetuju dgn YB dan saya naik hairan..mana perginya presiden dan timbalan presiden?HANYA SEKADAR PERSELISIHAN DAN PERTELAGAHAN PJ DENGAN ANAK BUAH....TAK BOLEH SELESAIKAN KE? Kenapa dibiarkan melarat...diketahui ramai dan meninggalkan pelbagai persepsi buruk pada pimpinan Pas,Parti serta PR?

Sebagai pimpinan..kita mesti tunjuk mampu urus...orang yang dipimpin,urus parti serta kepercayaan rakyat untuk mentadbir negeri dan negara.

BELUM MENTADBIR KERAJAAN PUSAT..SUDAH menampakkan...sikap dengki...khianati...tidak setiakawan..tidak boleh harap...

Kalau mentadbir negara....lebih haru dari UMNO.....

Berubahlah wahai pimpinan pas...
Anonymous said…
well said YB. Saya yg tak pernah-pernah menyokong PAS pun, boleh berkobar semangat bila baca hujah YB. Nampak gaya, kena pangkah PAS next election nanti.

People are watching you, with high hopes.
Pimpinan Kawasan said…
Akm. Saya rasa YB Khalid Samad perlu disokong atas segala pandangannya ini. Saya juga yakin ketidakadilan keputusan JK Disiplin ini akan menjadi titik mula bagi mencetus momentum perubahan dalam kepimpinan tertinggi PAS pada muktamar tahunan 2011 akan datang, insya'Allah!!! Harap kawan-kawan di Kawasan akan calonkan YB Khalid Samad selaku Timbalan Presiden atau sekurang-kurangnya Naib Presiden PAS tahun depan!!!
Allahu Akbar!!!
Saya pun dah mula menyampah dengan 2 dan 3 kerat pemimpin PAS. Mereka ini umpama adik beradik pemimpin UMNO. Gila kuasa lebih dari gila tanggungjawab. Semuanya nak main pintu belakang. Hassan Ali tergila-gila nak jadi MB Selangor. Hadi Awang tergila nak jadi TPM dan Nasha mungkin dia tergila nak jadi menteri Pertahanan dan Mustapa pula gila nak jadi menteri Penerangan. Disebab gila yang berada ditahap gaban mereka sanggup melakukan penzinaan dengan UMNO atas nama KETUANAN Melayu. Dari dulu lagi saya terpikir apa itu ketuanan melayu. Yang saya nampak orang melayu ramai jadi kuli dari jadi tuan. Orang melayu paling banyak dapat subsidi. Bila dapat subsidi itu tandanya orang melayu ini adalah pengemis. Bolehkah pengemis jadi tuan? Siapa yang jadi tuan kepada ketuanan melayu? Oleh disebabkan penyakit ketuanan maka TITM mencari ruang untuk menjadi Menteri Kehakiman. Yang bersalah dilepas dan yang tidak bersalah dihukum. Sama taraf dengan sistem kehakiman kita. Malang sungguh jadi warga Malaysia, tolong beritahu saya parti mana yang perlu saya pangkah dalam PRU 13 nanti. Harapkan PAS, PAS pun berbulu dengan UMNO kalau sokong UMNO akan terlaksanalah ketuanan tuan-tuan melayu sahaja. Melayu yang lain adalah kuli atau hamba abdi mereka. YB Khalid tolong tanya kat PAS Perlis, depa ni masih ada atau dah berkubur. Bagaimana saya boleh wakil rakyat Sanglang Perlis? Setahu saya dia org PAS tapi nak tgk batang hidung pun tak nampak. Dapat gaji buta kaa atau dia dah jadi UMNO. Sebab saya pernah tanya orang kat sini dia kata kat Perlis bukan PAS jadi pembangkang tetapi Shahidan Kassim....
ahmad said…
ni baru hero sejati macam Sdr. Nizar.. Kalau PAS ada 10 macam saudara, semua musoh berguling mati.
al-Kalam said…
Saya sependpt dgn Kamal Lim. Mohon YB Khalid Samad faham atas platform apa perjuangan beliau. Sabarlah serta perbaiki akhlak YB.

Jgn cepat melatah serta sombong atas andaian sendiri. Jgn keruhkan keadaan. Jgn memberi peluang isu ini dipanaskan.

Kewajaran yg bgmana perlu dibuat jika YB telah melakukan kesalahan yg melibatkan maruah jemaah. Hujah yg bgmna nak didirikan sbg bantahan YB jika telah terang lagi bersuluh kecuaian itu.

Sekali lagi saya mohon kpd YB jgn dileret2kan isu ini.
Moga Allah bantu, dan dijauhkan fitnah.
Unknown said…
ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!

Semangat berani kerana benar inilah yang wajib ada pada semua pimpinan PAS, menyanggah yang salah! menegakkan yang benar!

EGM MESTI DILAKSANAKAN UNTUK MENYELAMATKAN PAS!

PIMPINAN PAS DAH JADI MACAM PAK DOLAH BADAWI YANG BANYAK MENIKUS!

EGM ! EGM ! EGM!

HAPUSKAN KRONISME, NEPOTISME, UMNOPUTRA DLM PAS

SELAMATKAN PAS!
Anonymous said…
kepada Pimpinan kawasan...


Setuju,...!!. Setuju...!!!
Rombak semuanya...

humaira2811
Anonymous said…
Sdr Khalid, jika anda tidak tapi terima keputusan tu, maknanya tidak setuju,kalau tak setuju boleh buat rayuan? kenapa tak rayu? bila tak rayu tapi morayan mengenainya, maknanya tidak terima keputusan sepeneuh hati...tak usah cakap putar2...lagi pun cara dan sikap sdr menulis begini bukan akhlak seorang pejuang, bukan akhlak ahli PAS. Jangan ego sangat bile jadi YB. PAS menang bukan sebab PAS kuat di Selangor tapi sebab rakyat mahukan perubahan. Ingat tu....dan saudara jadi MP mewakili PAS bukan mewakili diri sendiri; saudara bukan menang sebaba usaha saudara seorang diri tetapi usaha rakan-rakan seperjuangan dalam PAS, ingat tu..jangat ingat saudara hebat, atau syok sendiri...sekadar mengingatkan sesama muslim.
Anonymous said…
Saya pun naik meluat 2 tiga orang wakil pas yang kaki bangkang macam yb khalid ni. Lebih pentingkan PR daripada parti sendiri. Umno senyap saja pasai org. PAS sendiri tolong buat kerja depa, kritik hebat apa-apa langkah yang dibuat oleh parti. YB Buat kenyataan yang mendahului dan bertentangan dengan parti dan ketua. Berani kritik tu bagus tapi kalau ditujukan kepada parti sendiri baik lu belah saja..
Anonymous said…
Anonymous said...

"Saya bersetuju dgn YB dan saya naik hairan..mana perginya
presiden dan timbalan presiden?HANYA SEKADAR PERSELISIHAN DAN PERTELAGAHAN PJ DENGAN ANAK BUAH....TAK BOLEH SELESAIKAN KE? Kenapa dibiarkan melarat...diketahui ramai dan meninggalkan pelbagai persepsi buruk pada pimpinan Pas,Parti serta PR?"

Kan parti dah serahkan ke J/kuasa Disiplin parti... buat apa lagi nak salahkan Presiden dan tim. presiden... ko orang klu tak suka pada presiden kenapa masa pemilihan yang menyaksikan Husam Musa tersungkur baru-baru ini tak mencalonkan diri anda jadi presiden... dan presiden pun sedia untuk dicabar jawatan itu... ???? klu masa pemilihan dulu tak ada idea nak cabar presiden.. nah kumpulkan kekuatan kalian sekarang dan cabarlah presiden dlm muktamar akan datang... ini isu khalid samad dan PJ selangor nak salahkan presiden... kan presiden dah serahkan kpd J/K disiplin .. fahm2 lah sikit...
Anonymous said…
Salam YB,

Saya tinggal dibukit Jelutong, Shah Alam. Minta maaf dlm PRU lepas saya pangkah UMNO sebab saya masih tidak mengenali YB. Sekali lagi maaf sebab saya hanya memang tidak menyukai para pimpinan PAS kecuali TGNA. Tapi selepas beberapa isu yg timbul, Saya amat berbangga kerana mempunyai MP seperti YB. Teruskan usaha YB. Insyaallah next PRU saya akan pastikan satu bukit jelutong mengundi YB.
izi said…
anon 5.20pm,

timbalan presiden menang pun dapat separuh dari undi ke?? cuba tengok balik berapa undi dia dapat? undi YB Nizar lagi banyak dari dia. majoriti perwakilan tak sokong tmb presiden. lagi banyak hal!
Anonymous said…
bukti !! GAMBAR SHAIFUL BUKHARI AZLAN PADA 27JUN2008 Selepas diliwat pada 26jun2008
Gambar dirakam oleh (AIC) AnwarIbrahim Club pada hari Jumaat 27JUN2008 sedang menghidangkan minuman pada tetamu termasuk DSAI..Jadi berlakukah kejadian LIWAT???
Klik sini http://www.ziddu.com/download/8461568/saiful27jun.jpg.html
ANZ said…
Salam,

Eloknya ibarat menarik benang dalam tepung, jangan sampai tepung tu berterabur.

Mesti bijak dan dengan strategi yang betul. Yang bawah jgn menempelak yg atas jika kesalahan atasan bukan kesalahan syariah. Ia hanya kesalahan dari segi sunnatullah. Dengan itu jemaah akan sentiasa terjaga.

Apa apa pun strategi dan diplomasi mesti diutamakan. Kritikan terbuka begini selalunya merugikan jemaah meskipun ia benar.

Anda mungkin dilihat begitu rasional dalam tindakan, tapi anda dipengaruhi emosi dah ketidakpuasan hati.

- Mintalah pertolongan Allah dengan bersabar dan bersolat.
Anonymous said…
Sayang Tuan YB.

Saya banyak menyokong YB dalam banyak isu, bukan kerana batang tubuh yb & bukan kerana tuan bernama khalid samad, tetapi kerana hujah & buah fikiran YB. Tuan YB ni pada saya mempunyai kelebihan tersendiri dan lebih advance dari yang lain. Pun begitu YB sebagai manusia biasa tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Saya puji sikap YB yang boleh bersabar dengan keputusan jk disiplin. Teruskan bersabar dan mintalah kekuatan dari ALLAH. Saya berpendapat semakin YB dapat menyerap tekanan dan dugaan semakin tinggi kepercayaan orang ramai terhadap YB. Saya juga berpendapat, polemik Keputusan JK Disiplin ni, boleh dihentikan saja. Tak perlu di panjangkan lagi. Ada banyak lagi perkara yang perlu kita tangani. Bagi saya juga, bukan `makam` YB untuk melayan telatah mereka. Orang tak berapa reti bahasa ni tak usah dilayan sangat. Mereka ni jawatan je besar, tapi hati & jiwa kecut. Pemikiran tak setaraf jawatan. Usah ambil pusing puak ni. Takkan Muhamad Ali nak layan wakil sekolah tunjuk skill bertinju, belum Muhamad Ali rapat, mereka dah rebah. Itulah `makam` meraka. BOLAYAN. Saya juga harap YB tidak menjatuhkan `makam` YB setaraf mereka. Semoga PAS TERUS MENJADI PILIHAN RAKYAT....
Anonymous said…
Memang tak leh tegur jerung-jerung UG yang menguasai PAS sekarang, sampai kawan dia (Pak Lah Karim)pun dah meluat. sikit-sikit tindakan disiplin, sikit2 pecat, gam dsb. Teruk lah PAS kalu macam ni.
Mana yang salah besar pada teguran Pak Lah Karim pd TITM. Tak paham aku! Apa yang TITM nak tekilan dengan teguran yang biasa dari kawan & org harapan dia.
Terimalah dengan hati terbuka, kalu benar awak tu ikhas. Tak payah pejabat agung pecat Pak Lah Karim, kalau nak pecat juga. Pecat semua, tinggal P, TP, NTP dan Ketua DPP Pusat je. Itu je orang baik dalam PAS!
Anonymous said…
Tahun depan kita cadang Khalid Samad jadi Presiden PAS & kawan-kawan yang lain jadi AJK PAS Pusat termasuk jadi Pengerusi JK Disiplin sebab yang ada sekarang semua bangang, yang ada kat sini semuanya pandai belaka. Amacam, ada berani?

Tak payah le cover-cover line lagi mcm tahun lepas, rugi je smpi sekor pun tak melekat jadi AJK. Alang-alang nak jadi munafik, biar munafik betul2 sebab tempat mmg confirm di neraka dah ;-)
Taufoo Pok said…
YB Khalid, kenyataan YB dikeluarkan pada waktu yang amat perlu sokongan daripada pemimpin PAS kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Ramai penyokong PAS dan Pakatan Rakyat merasa sedih atas hukuman JK Disiplin terhadap YB.

YB harus bersabar dan serahkan keputusan ini dalam tangan Tuhan Allah. Semoga Tuhan menguatkan semangat perjuangan YB dalam usaha memperkuatkan Pakatan Rakyat.
ahmad said…
Buat EGM!!!
muin said…
salam YB,

menarik sekali penjelasan YB , PAS dari sedikit dah berkembang dan insya'allah terus kehadapan untuk memperjuangkan keadilan seperti mana di tuntut oleh Islam.
camne pun di lihat dari luar akan kerapuhan pimpinan PAS baik pusat dan negeri dlm membuat satu2 keputusan.
mungkin pemimpin yg ada rasa dia lebih baik dari yg lain, merasakan dgn "kuasa" yg ada dapat " dictate " apa yg mereka rasakan betul.
macam org UMNO - di tambah dgn loby sana loby sini , saya percaya masih berleluasa berlaku dlam PAS.

"hinden hand" - kedepan takut nanti kena belasah .

PU13 makin hampir " slogan PAS FOR ALL " entah kemana - sibuk dgn mainan politik segelitir pemimpin yg ada "KUASA" yg merasakan kuasa yg ada tercabar.

KUASA ORG ISLAM JATUH DAN HILANG KERANA 'PEMIMPIN YG TAMAK AKAN KUASA' - 'KEPENTINGAN BANGSA MELEBIHI ISLAM '- ' DIA SAJA YG BETUL , ORG LAIN TAK BOLEH PAKAI'

PAS FOR ALL - UTK KEADILAN SEPERTIMANA DITUNTUT OLEH ISLAM.

WASSALAM
Abu Razeen 2 said…
bro Khalid,

blogger yg tampak seolah2 sokong atau ikhlas sokong Pas/PR ini mungkin ada beberapa kategori:

1. hard core Pas yg masak : bloggers ini elak dibolosi umno troopersyg cuba cemari Pas secara direct atau secara reverse-psychology spt sokong TGNN ;anti TGHH , sokong Husam ; anti TP atau vice versa : matlamat umno troopers ini adalah spy public opinion suka setengah pimpinan Pas dan benci yg lain.

2. hard core Pas yg stengah masak:

bloggers ini ikhlas(insya Allaah) tapi masih tak tapis umno troopers buat angkara yg disebut dlm (1).

contoh blogger no 2 ini ialah ustaz Nik Abduh.

3. hard core Pas yg suku masak:

masih ikhlas tapi tak tapis umno troopers buat angkara yg disebut dlm (1) dan lebih teruk lagi dia pulak hentam sesama pimpinan dlm blog sedang saluran parti ada.

Ada pula yg kata saluran parti seolah bias atau ineffective , dah attack parti pula!

contoh extreme : enta sendiri , ust.wan ji dan ust. Zol bongkarsauh.

contoh kurang extreme: roslan sms.

4.blogger sb dan munafiq yg terang2 guna kata2 kesat dan celupar kpd TGHH dan pimpinan Pas lain ,tapi licik menulis seolah2 sokong PR atau pimpinan tertentu Pas.

Contoh blogger ini adalah budak 29 tahun yg baru tahu ( klu dia sedar) apa itu istilah karomah seseorang Tok Guru itu...........

sy wala' pd blogger no 1.
simpati pd blogger 2 dan 3.
benci pd blogger species no 4.
Ahli Berdaftar Di Gombak Ketika Zaman Dr Hatta Jadi YDP said…
Kepada Pimpinan Kawasan:

Hahaha,Khalid Samad bertanding AJK Pusat pun kalah.. nak bertanding Naib Presiden? Hahahaa...

Kepada izi... itu sebab 3 penjuru seperti yang dirancangkan oleh Husam Musa kawan baik Khalid Samad pencelaru fikiran TGNA... penyokong abang Mat pun x teringin nak sokong Husam...

sayang, at least abang Mat boleh jadi NP dengan TITM... cuba dua penjuru Ust Nasa vs Husam... tersungkur ler Husam tu..

YB Khalid, dah kalah, dilantik pulak masuk Lajnah Politik.... tapi kerja memekak semua orang lain salah... patutnya LU jer laa jadi Pengerusi JK Disiplin.... baru LU puas hati, kan?

dah ramai sangat orang desak buat EGM, Shah Alam x boleh mulakan ke buat usul? kita tengok ler kalau cukup 56 kawasan ikut...

x berani kan? memekak dalam blog jer laa yang LU tau... ingat! Muktamar di Shah Alam (lebih terkini dari Ipoh), ahli pun x mau LU laa.... Shah Alam ngan Kubang Kerian jer yang suka LU... x paham2 ker?
Anonymous said…
Apa yang boleh diharapkan dari JK Disiplin yang punya "agenda tersendiri" dikongkong oleh Geng UG.YB Khalid Samad amat "didendam" oleh Geng UG sebab merupakan individu yang telah membongkarkan rahsia "pertemuan-pertemuan dalam gelap" Geng UG dengan UMNO.YB Khalid Samad juga telah bertelagah dengan Geng Trengganu(yang sekarang bermaharajalela diIbu Pejabat PAS) mendedahkan kelemahan-kelemahan mereka sehingga dalam 2 pilihanraya yang lalu gaggal mengambil balik Trengganu.Semua ini menjadi fakta utama mengapa JK Disiplin "diarah" menghukum YB Khalid Samad dan Hassan Ali sekadar diberi amaran saja,walau pun kesalahan Hassan Ali lebih berat dari kesalahan YB Khalid. Ada yang memberi komen diatas menyebut "hidden hands" disebalik keputusan ini dan dalam keadaan sebagini tak perlu lagi kita berselindung dengan kata-kata.Call a spade,a spade - "hidden hands" itu ialah Geng UG.
Anonymous said…
Saya menyokong pendirian YB dalam kontek ini. YB hanyalah pemimpin pertengahan kalau nak dibandingkan dengan YDP Selangor. Biasalah yg kena hanyalah ikan bilis. Macam budaya umno saja? Kalau nak dilihat sejarah YB lebih lama berkecimpung dalam PAS kalau nak dibandingkan dengan YDP Selangor. Beliau menjadi ahli sekitar 1998 bertolak dari zaman reformasi. Memang hujah2 saudara amat jelas dan nyata. YDP Selangor tidak mempunyai semangat team work dan selalu membelakangkan MB. Saya rasa YDP Selangor ini merasakan diri beliau lebih layak dari Khalid Ibrahim sebagai MB itu sebabkan beliau macam tak respect MB. Wallahualam.
Anonymous said…
"timbalan presiden menang pun dapat separuh dari undi ke?? cuba tengok balik berapa undi dia dapat? undi YB Nizar lagi banyak dari dia. majoriti perwakilan tak sokong tmb presiden. lagi banyak hal!"

YB nizar tak bertanding tim. presiden bro... klu bro brani... bro lawan laaa dlm muktamar akan datang.. klu rasa tak larat lawan tim. presiden bro lawan presiden..

stupid punya analis....

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-