Skip to main content

Kembali ke Tanah Air

Pada hari Selasa 16 Februari saya telah menerima Iqama (resident permit) dari pihak Jamiiah ataupun Universiti Jazan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, sambil menarik nafas panjang. Saya terus mengaturkan perjalanan untuk kembali ke tanah air, bermula dengan membeli tiket penerbangan dari Jazan ke Jeddah dan dari Jeddah ke KLIA yang bermula pada hari Khamis 18 Februari dan sampai ke KLIA pada keesokkan harinya pada jam 11 pagi.

Setibanya saya di KLIA, saya didatangi beberapa orang pemuda yang bertugas di KLIA. Mereka adalah merupakan ahli PAS yang telah mendapat maklumat berhubung ketibaan saya. Ada yang dari Kelana Jaya, ada juga yang dari Gombak dan Pandan. Sambil menunggu kemunculan bagasi yang dibawa, sempat bergambar bersama mereka dihadapan conveyor belt. Kelihatan mereka begitu ceria dan bersemangat tinggi serta memberi kata-kata semangat kepada saya supaya jangan mudah berputus asa. Masyarakat melihat dan menilai, kata mereka lagi dan tidaklah sebodoh yang disangka.

Seterusnya, mereka membantu saya dengan beg yang telah dibawa dan terus berjalan keluar bersama. Di luar pula kelihatan beberapa sahabat dari PAS Shah Alam yang sedang menunggu. Kami berpeluk-pelukan sambil mengucapkan kata-kata persahabatan yang tulus ikhlas. Keikhlasan mereka ini amat saya hargai, kerana saya tidak meminta mereka datang tetapi mereka datang juga, bersama dengan anak saya Musaddeq. Dialah yang memaklumkan kepada mereka akan ketibaan saya.

Seterusnya kami berkonvoi ke pejabat di Shah Alam, ada 4 atau 5 buah kereta, saya tidak pasti. Di pejabat saya dimaklumkan bahawa program munajat bersama TGNA yang sepatutnya diadakan padi hari esoknya telah ditunda. Saya agak kecewa mendengar berita tersebut kerana telah lama memikirkan untuk bertemu TGNA. Saya mandi dan salin pakaian dan terus ke Masjid Al-Hedayah Seksyen 18 untuk solat Jumaat. Berjumpa dan bersalaman sambil berpeluk dengan sahabat dan rakan taulan yang telah saya tinggalkan selama hampir 4 minggu. Selepas solat Jumaat, kami ke kedai Sup Power Utara yang beberapa hari sebelum itu telah selamat dirasmikan oleh DS Nizar untuk makan tengah hari. Kali ini, taukenya belanja kami semua sebagai tanda kesyukuran dan sokongan beliau. Alhamdullillah, terima kasih banyak-banyak.

Jam sudah pukul 3 petang dan keletihan telah mula terasa, maka selepas makan tengah hari saya pun balik ke rumah untuk berehat.

Esoknya, 20 Februari, jadual saya dipenuhi program dari pagi sehingga ke malam. Seawal jam 9 pagi saya telah ke Seksyen 18 untuk melepaskan program kembara amal pemuda cawangan yang disertai seramai 38 orang pemuda. Mereka berkembara menaiki motosikal ke rumah anak yatim di Gombak, untuk bergotong royong disana. Seterusnya mereka ke Janda Baik untuk bergotong royong membersih Masjid dan tanah perkuburan di sana pula. Mereka bermalam semalaman di Janda Baik beramai-ramai. Program sebegini adalah bertujuan untuk menarik minat golongan remaja dan pemuda setempat supaya prihatin dan mempunyai semangat setia-kawan dan bantu membantu dikalangan ahli masyarakat.



Seterusnya saya ke Seksyen 24 untuk merasmikan Kelab Silat anjuran Masjid Seksyen 24 di mana saya berkesempatan berkongsi pandangan dengan para pemuda remaja yang mengikuti aktiviti silat tersebut, bahawa Masjid bukan hanya untuk ibadat khususiyyah dan golongan tua sahaja tetapi ianya adalah merupakan institusi pembentukkan masyarakat yang mesti bergerak secara dinamis dan seharusnya mampu menarik perhatian setiap lapisan masyarakat. Kita juga biasa mendengar kisah Saidatinna Aisyah melihat kaum Muslimin berlatih memanah di kawasan masjid Rasulullah (SAW) sambil berlindung disebalik Rasulullah.



Kemudian saya pun berkejar ke Seksyen 17 Petaling Jaya untuk bersama YB Hee, PJS yang telah menjemput saya menghadiri majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina di kawasannya. Pada masa yang sama, sempat juga bertemu dengan Ust Ghazali, YDP PJS dan YB Tian Chua serta beberapa sahabat dan kenalan yang lain.



Selepas Zuhur, saya bergegas kembali ke U10 Shah Alam untuk menghadiri walimah anak buah seorang petugas dan pekerja parti yang telah banyak membantu PAS kawasan Shah Alam, Saudara Abd. Halim.



Seterusnya, saya turun pula ke Padang Jawa Petaling di mana telah diadakan program membaca dan mengkhatam Al-Quran bagi Muslimat anjuran MPP dan JKK berkenaan. Program ini telah berjaya menarik perhatian dan penglibatan seramai hampir 80 Muslimat di mana dalam masa dua tahun mereka membaca keseluruhan Al-Quran, bersama terjemaahan dan tafsiran beberapa ayat tertentu (oleh kerana kesuntukan masa) demi menanam semangat cinta kepada Al-Quran serta ingin mengetahui isi kandungannya. Pada masa yang sama bacaan mereka diperbaiki dari sudut Tajwidnya.



Selesai program berkenaan saya bersolat Asar di Masjid Padang Jawa dan kembali ke rumah untuk berehat. Selepas Maghrib saya bergerak kembali menuju ke Jenjarom untuk bersama program Tahun Baru Cina anjuran kerajaan Negeri Selangor. Tempat yang dipilih merupakan kawasan lapang sebuah Tok Kong Cina yang masyur, bukan sahaja di Malaysia tetapi di Taiwan dan Hong Kong. Ia bernama Tok Kong ‘Zen’ Fo Guang Shen Dong. Saya difahamkan bahawa, perkataan ‘Zen’ menunjukkan ianya merupakan Tok Kong Buddha aliran Zen.

Program tersebut begitu ramai dan meriah dengan berbilang bangsa dan tanpa rasa takut atau syak wasangka di antara satu sama lain. BN sering bercakap tentang 1Malaysianya, tetapi apa yang saya lihat, PR yang berjaya melaksanakannya. Saya disambut rakan-rakan PR dengan amat mesra dan begitu juga oleh para hadirin yang lain yang mencecah hampir 20,000 orang.

Sebagai seorang Muslim, Alhamdulillah saya penuh yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diterima disisi Allah. Namun Islam mengajar saya untuk menghormati agama lain dan hak penganut-penganut mereka. Tidak perlu saya menakutkan mereka atau berasa takut terhadap mereka. “Lakum Diinukum waliyadiin” Untuk kamu agama kamu, untuk aku agama aku. Dengan sikap keterbukaan Islam serta keadilan yang dianjurkan oleh Islam terhadap agama lain, Islam telah berjaya memikat hati manusia pada zaman Rasulullah, para Sahabat, Tabiin dan Taba Tabiin dan seterusnya. Bukan atas dasar paksaan, kekerasan, kezaliman atau penindasan. Itu adalah dakwaan musuh Islam terhadap Islam. Malangnya, ramai orang Islam sendiri yang terpengaruh oleh kata-kata musuh.

Maka berakhirlah hari kedua saya selepas kembali ke Malaysia. Saya amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana telah selamat pulang ke tanah air dan berkesempatan memenuhi jemputan bagi segala bentuk program bersama masyarakat setempat, walaupun bukan sebagai YDP Kawasan Shah Alam mahupun sebagai Ahli Lujnah Politik PAS Pusat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Ali Zaidan said…
Khalid dalam portal berita yang dipetik itu menyebut:

"Kejujuran akan terbukti jika hukuman kepada Datuk Dr Hasan Ali diperkukuh dan ditambah, barulah nampak kita jujur," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam petang ini.

Wahai Khalid, kamu ni akhlak dan tatatertib dah diletak di mana? Apakah kamu hanya akan puas hati kalau Dr Hasan ni dipecat?? Ingat Khalid, keadilan itu bukan mesti menurut perspektif kamu. Bukan mesti mengikut hawa nafsu individu!! Kamu faham tak?

Kalau kamu nak kata tindakan Dr Hasan menjejaskan Pakatan rakyat, maka kenyataan kamu sebenarnya telah menjejaskan dan merosakkan imej PAS secara keseluruhan. Kamu bukak isi mesyuarat, kamu bentangkan hujah kamu di mesyuarat itu di dalam blog kamu tetapi kamu langsung tak senaraikan hujah balas YDP2 yang lain bagaimana pulak? Bukankah itu menyebabkan sidang pembaca dan rakyat tersalah faham dan tidak menggambarkan keadaan sebenar? Bukankah itu telah menjadikan kamu tidak lebih baik daripada Utusan Malaysia??

Mana adab kamu terhadap YDP2 yang lain? Bukankah tindakan kamu mencemarkan imej YDP2 yang lain? Bukankah itu merosakkan PAS Selangor??

Yang ini bagaimana pula? Mana lebih besar? menjejaskan PR atau menjejaskan PAS? Apa guna PR kuat tapi PAS hancur lebur?

Aku betul2 harap kamu takkan dipilih lagi menjadi calon. You have crossed the lines too many times bro!

Full: http://ali-zaidan.blogspot.com/2010/02/attack-khalid-samad-sikit.html
ISA said…
Salam YB,

Selamat kembali ke Malaysia di ucapkan sekali lagi.

Terima kasih kerana sudi datang ke Seksyen 24 tempohari. Kita sempat bersalaman....

Dan teruskan perjuangan...
Anonymous said…
salam khalid

benda dah lepas cukuplah
hasan tak serang sesiapa lagi so kamu pun tak payah lah panjang2 kan cerita kalau taknak merayu

pe pon melihat roadshow u ke seluruh shah alam buat saya pelik kenapa ada org melayu yg dlu undi pas taknak undi u lagi..adakah maklumat aktiviti ahli parlimen tak sampai pada mereka?

ni pas shah alam kena chek balik
salam, sudah lah tu...buang yang keroh ,,,,ambil yang jernih......sama kita muhasabah diri kepada Allah swt....inshaallah perjuangan Rasullullah saw di teruskan hingga akhir hayattttt.
tetap sokong khalid said…
alahai anon no 3,gaya dan nada anda macam suara ketua penerangan pas shah alam aja nih?
Anonymous said…
Perjuangan diteruskan walau tanpa jawatan..
Syabas, Khalid.
Kebanyakan pemimpin, lepas tiada jawatan mereka terus rehat.

SYED, Dungun
Anonymous said…
salam, boleh belah ali zaidan,- ahli PAS Putrajaya
Anonymous said…
keep it up YB khalid

i,m with you

hardcore pas member serdang
Anonymous said…
salam, boleh belah anon no 3, ketua penerangan PAS Selangor,usahakan dia jangan jadi calon dimana2 saja,begitu juga Setiausaha PAS selangor, usahakan...-Ahli PAS Putrajaya.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan