Skip to main content

JK Disiplin – Penjelasan Berhubung Pertuduhan

Saya telah dimaklumkan bahawa ramai yang tidak mengetahui pertuduhan yang telah dikenakan ke atas diri saya oleh Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dimajukan kepada JK Disiplin. Oleh itu macam-macam andaian telah diutarakan melalui beberapa blog, e-mail dan SMS yang diterima. Oleh yang demikian, demi mengelak berlakunya kekeliruan dan fitnah yang lebih besar, maka saya ketengahkan tuduhan-tuduhan tersebut sepertimana ianya dikemukakan kepada saya. Saya sebutkan juga jawapan saya terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan, secara ringkas, bukan sebagai kritikan, bantahan atau mempersoalkan keputusan yang telah dibuat oleh JK Disiplin, tetapi demi menjelaskan keadaan sebenar. Ianya juga akan menjadikan proses ‘perbicaraan’ diri saya lebih telus, supaya semua yang mengikuti persoalan ini dapat menilai proses berkenaan dan keadilan keputusannya.

Sebagai parti arus perdana, PAS mesti mampu menzahirkan keadilan dalam setiap tindakannya dan juga mempertahankannya sekiranya dipertikai. Bukan sekadar oleh ahli tetapi oleh anggota masyarakat keseluruhannya. Mad’u yang ramainya di luar sana tidak boleh diyakinkan hanya dengan menyebut kalimah wala’. Perkara inilah yang kadang kala terlupa oleh PAS sendiri. PAS bukan lagi parti pinggiran yang tidak dihiraukan oleh semua kelompok masyarakat. PAS merupakan parti arus perdana yang menawarkan diri sebagai alternatif kepada UMNO. Rakyat dan bukan hanya ahli, ingin melihat bagaimana kita bertindak dalam semua hal, termasuk cara PAS menegakkan keadilan di kalangan ahlinya.

Oleh itu ketelusan adalah amat penting dan perlu diamalkan. Keadilan bukan sekadar perlu dilaksana tetapi juga perlu dilihat terlaksana.

Sebenarnya, Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengemukakan tidak kurang dari 8 tuduhan terhadap diri saya tetapi hanya dua sahaja telah diterima sebagai ‘berasas’ oleh JK Disiplin. Aduan ini telah dilakukan oleh Dewan Harian tanpa membincangnya dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor itu sendiri. Dato PJ dengan mereka yang beliau sendiri lantik mengambil tindakan ini tanpa merujukkannya kepada BPPNS. Oleh itu, kalau ditanya YDP Kawasan, saya pasti semua tidak tahu apa tuduhan-tuduhan tersebut.

Dua tuduhan yang dianggap berasas dan jawapan balas saya terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan adalah seperti berikut:

1. PERTUDUHAN PERTAMA
“BAHAWA kamu Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 126504 telah dengan secara salah, dengan sengaja dan dengan pengetahuan dan tanpa hak, mempertikaikan kekuasaan dan kedudukan Pesuruhjaya (PJ) PAS Negeri Selangor dalam membuat kenyataan berkait dengan tatacara pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Negeri Selangor dengan membuat desakan perletakan jawatan olehnya sedangkan sebagai PJ beliau memiliki hak istimewa (privilege) untuk berbuat demikian dan PJ adalah dilantik oleh Presiden Parti dan perbuatan itu kamu telah mencampuri urusan Presiden Parti dan hak bidangkuasa PJ dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan satu kesalahan di bawah Fasal 34 (4) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum dibawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.

Jawapan Saya Kepada JK Disiplin Berhubung Pertuduhan Pertama ialah:

a) Saya menyatakan bahawa pertuduhan tersebut tidak tepat kerana saya tidak mendesak beliau meletak jawatan sebagai PJ. Saya sekadar menyatakan bahawa beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai exco dan menjadi seorang ‘back-bencher’ sekiranya beliau ingin mengkritik kerajaan PR Selangor. Ini adalah lebih wajar, lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri menyatakan teguran beliau dibuat dalam kapasitinya sebagai seorang exco dan bukan sebagai PJ PAS Selangor.

b) Saya juga menyatakan bahawa saya meminta pimpinan PAS untuk menilai prestasi beliau sebagai PJ dan saya tidak mendesak beliau letak jawatan sebagai PJ. Saya faham bahawa PJ dilantik oleh Presiden namun sebagai seorang ahli BPPNS saya merasakan diri saya berhak untuk meminta prestasi PJ dinilai. Lebih lebih lagi apabila mandat yang diberikan kepada beliau melalui Muktamar adalah untuk mengukuhkan PR di Selangor dan beliau jelas tidak melaksanakan amanah tersebut.

c) Saya turut menjelaskan bahawa saya telah keluarkan kenyataan membantah kenyataan PJ yang menyalahi semangat kerjasama PR. Ianya adalah demi membela dan menegakkan prinsip setiakawan PAS bersama PR. Ini merupakan tanggung jawab saya sebagai ahli PAS yang menerima keputusan Muktamar supaya PR dikukuhkan.

d) Saya turut bertanya samada mengkritik PJ dalam tindakannya yang bercanggah dengan keputusan muktamar adalah satu kesalahan. Soalan ini dijawab oleh salah seorang JK Disiplin dengan mengatakan bahawa itu adalah untuk JK Disiplin menentukan.

2. PERTUDUHAN KEDUA
“Bahawa kamu, Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 0126504 telah dengan secara salah, dengan sedar dan pengetahuan mendedahkan rahsia Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang bertarikh 27hb September 2009 jam 3.30 petang melalui Blog peribadi dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Fasal 75 (1)(e) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.

Jawapan Saya Kepada JK Disiplin Berhubung Pertuduhan Kedua ialah:

a) Saya bertanya apakah definasi ‘rahsia’. Saya turut menyebut bahawa sekiranya semua yang disebut dalam mesyuarat adalah rahsia, maka jelas saya bersalah, saya tidak beranggapan begitu. Apa yang ditulis dalam blog saya adalah pandangan saya berhubung isu berkenaan dan oleh itu saya tidak menganggapnya sebagai ‘rahsia’ parti dan semenjak bila pula pandangan seseorang ahli dianggap rahsia parti?

b) Saya minta diberitahu apakah ‘rahsia mesyuarat BPPNS’ yang telah saya dedahkan tetapi saya tidak mendapat jawapan hingga ke hari ini. Sekiranya ianya berhubung tarikh, waktu dan tempat mesyuarat tersebut diadakan, ianya telah lama diketahui umum kerana wartawan telah hadir untuk Dewan Harian mengadakan PC sebaik sahaja mesyuarat tersebut selesai.

Mungkin kenyataan saya “bahawa sekiranya semua yang disebut dalam mesyuarat adalah rahsia, maka jelas saya bersalah” dianggap sebagai pengakuan kesalahan oleh Dato Tuan Ibrahim. Maka inilah yang menyebabkan beliau memaklumkan Malaysiakini bahawa saya sendiri mengaku bersalah, tetapi hakikat sebenarnya ia bukan satu pengakuan, tetapi sebaliknya merupakan satu soalan. Ini kerana, sekiranya semua perkara di dalam mesyuarat dianggap rahsia, maka saya kira sebahagian besar yang terlibat dalam mesyuarat PAS peringkat Pusat ataupun Negeri akan mendapati diri mereka telah melanggar displin parti.

Begitu juga dengan kenyataan beliau kepada Malaysiakini bahawa saluran dalaman perlu digunakan sekiranya ada yang tidak puas hati. Hakikatnya saya telah menggunakan saluran dalaman sejak dari awal 2008. Hasil menggunakan saluran dalaman adalah pemecatan diri saya sebagai TPJ Negeri Selangor. Selepas itu saya membuat beberapa aduan kepada pimpinan Pusat termasuk surat kepada DS Presiden tetapi malangnya tiada apa-apa tindakan ataupun maklum balas. Akhirnya berlaku peristiwa SelCAT dan EGM dicadangkan oleh TGNA untuk menapis keluar golongan anti-PR. Cadangan EGM ini ditukar kepada JK Disiplin dan inilah kesudahannya. Terpulang pada semua untuk menilai samada keputusan ini memenuhi hasrat EGM yang dicadangkan oleh TGNA. Sekiranya ‘ya’ maka Alhamdulillah. Sekiranya tidak, maka apakah persoalan EGM perlu dihidupkan kembali? Itu, fikirkan sendiri. Saya hanyalah sekadar ahli biasa.

Dalam mendengar jawapan saya kepada kedua-dua pertuduhan seperti di atas, pihak JK Disiplin tidak memberi indikasi samada jawapan tersebut dipersetujui atau sebaliknya. Mereka hanya mencatit tanpa sebarang respon dan soalan yang diajukan oleh mereka adalah sekadar untuk mendapat penjelasan berhubung sikap serta tindakan saya tanpa menyatakan persetujuan mereka atau sebaliknya.

Saya kemukakan pertuduhan dan jawapan saya untuk makluman umum kerana isu ini telahpun menjadi isu yang dibincang oleh ramai. Dengan maklumat ini semoga perbincangan ini akan lebih tepat kerana berasaskan maklumat dan bukan andaian. Ianya bukan soal SYABAS atau Puncak Niaga seperti yang disebut oleh beberapa bloggers, walaupun itu tetap merupakan persoalan yang masih belum dijawab.

Saya sama sekali tidak bertujuan membantah keputusan JK Disiplin dan saya harap tulisan ini tidak pula dianggap sebagai bantahan atau pendedahan ‘rahsia’ parti. Keputusan diterima dan saya akur dengannya. Saya yakin semua yang terlibat menyedari tanggung jawab mereka terhadap Allah dan tiada niat untuk menzalimi diri saya. Keadilan mesti dilakukan walaupun terhadap seorang musuh, apatah lagi terhadap seorang rakan perjuangan. Saya sendiri telah berpesan kepada Dato Tuan Ibrahim sebelum ini, “kalau saya bersalah, hukumilah saya dan jangan benarkan persahabatan kita menyebabkan Dato terpesong dari melakukan keadilan dan begitu jugalah hendaknya terhadap Dato PJ”. Maka, saya amat berharap itulah yang telah diusahakan beliau.

Berhubung soal rayuan, saya rasa semakin tidak berminat. Biarlah saya merayu kepada yang Maha Mendengar akan segala rayuan dan yang Maha Mengetahui akan kebenaran setiap satu rayuan. Memadailah saya merayu hanya kepada Allah, di depan rumahNya, insyaAllah. “HasbiyaAllah”. Semoga Dia selamatkan PAS dari golongan yang beragenda dan berkepentingan, sekiranya golongan seperti itu ada di dalam parti ini. Semoga Dia gagalkan agenda mereka ini serta melenyapkan pengaruh mereka selama-lamanya. Amin yaa Rabbul ‘aalamiin.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Aziz Al-Fayyed said…
Berhubung soal rayuan, saya rasa semakin tidak berminat. Biarlah saya merayu kepada yang Maha Mendengar akan segala rayuan dan yang Maha Mengetahui akan kebenaran setiap satu rayuan. Memadailah saya merayu hanya kepada Allah, di depan rumahNya, insyaAllah. “HasbiyaAllah”.

Salam...

Y.B saya amat menyokong pendirian YB seperti diatas... kita jangan tunduk kepada mereka dan membuat rayuan, biarlah kita merayu kepada Allah dalam segala hal...

Semoga Allah terus bersama YB dalam menegakkan kebenaran...
karim mohd said…
YB khalid

saya mengaku saya insan yg sensitive,saya sebak membaca tulisan yb.walaupun apa yg di tulis sudah di ketahui oleh kami ahli bawahan di selangor namun apa daya kami YB,ramai YDP di selangor sudah tidak boleh di harap lagi.dan saya percaya kebanyakan YDP di selangor sudah di jangkiti oleh wabak yg di bawa oleh PJ.


sehingga di perak dari kenalan saya PJ dan beberapa YDP pun sudah di jangkiti,simpati saya pada YB nizar yg saya kagumi.

hampir semua program dalam pas kami hadiri tetapi kami tidak di ajar supaya patuh pada pimimpin yg zalam dan hipokrit.

apa harus kami lakukan YB? kami sayangkan PAS.
pemuda shah alam said…
La, kata tak pertikaikan keputusan JK Disiplin... semua orang tak tahu pertuduhan dan jawapan awak... yg dok pi jelaskan buat apa? Ini dah menunjukkan bahawa awak tidak menghormati keputusan JK Disiplin. Awak dah langgar keputusan JK Disiplin iaitu tidak dibenarkan membuat kenyataan yg boleh menjejaskan Parti dan PR... sikap yg sombong dan berlagak pandai... ramai ahli dah meluat dan menyampah dengan sikap awak yang nak tunjuk lagak pandai konon. Orang macam awak ni lebih baik blah daripada menyusahkan parti. Ingatkan bila dan ada jawatan ni jadilah pemimpin yg saling hormat menghormati... tapi tidak, ajar ahli supaya memberontak dan mempertikai, gunakan segala medium yg sah (parti) atau media massa... Inilah akhlak yg jahat sedang dibawa oleh awak kpd ahli... Nasib baik JK Disiplin hanya gantung 6 bulan je. Kalau ikutkan saya nyah je dari parti ini. Adapun bukan memberi kesenangan kepada parti, menyusahkan parti lagi ada... Buat parti sendiri lagi bagus, hidup dengan orang tak boleh, pergi buat jemaah sendiri... takde siapa lagi nak hadapkan awak ke JK Disiplin...
kuzy said…
salam YB..
Saya rasa YB tak perlu merayu... kerana YB tak salah.. jelas sekali tidak bersalah kerana YB cuba pertahankan apa yang telah diputuskan di Muktamar PAS..

Anggapah ini sebahagian dari cabaran dalam memperjuangkan ISLAM yang sejati.

Saya rasa ramai yang kecewa dengan keputusan ini kerana ramai yang tahu kebenarannya..

teruskan perjuangan anda YB...
ALLAHUAKBAR!!!!
Anonymous said…
Salam YB,

Saya just nak tanya...

YB rasalah, apa sebenarnya implikasi dari entri ini?

A. Mad'u jadi keliru
B. JK Disiplin tidak adil
C. YB tak nak buat rayuan
D. Orang pas bodoh
E. Keadaanmakin rumit dan kompleks
F. Isu ini masih belum selesai
G. Pas Selangor berpecah
H. YB jawab sendiri dibawah....

Terima kasih...

saiful, kajang.
Anonymous said…
syabas pakcik khalid

teruskan perjuangan anda
Anonymous said…
Semoga Allah limpahi rahmat ke atas mu YB. Tetap utuh bersama menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah..

humaira2811
Anonymous said…
Al Akh Fillah teman seperjuangan,

Ujian, mehnah @ tribulasi dalam perjuangan telah dilalui oleh para Nabi dan Rasul, sahabat, tabi'in, para ulamak terdahulu, para pejuang keadilan, sehinggalah pelbagai kepimpinan PAS hatta dibayar dengan darah sekali pun.

Yakin dan bersyukurlah, anda bertuah, anda berjaya dipilih melalui ujian perjuangan yg sama yg telah dilalui oleh mereka. Tidak semua orang terpilih seperti anda.

"Tidak Allah berikan ujian itu melainkan mengikut kemampuan kita..."

Siiru 'ala barokaatillah.

- AHLI PAS SELANGOR -


p/s - Kepada pembaca kalian; tidak perlu lagi kita membincangkan kenapa Hasan Ali tidak diambil tindakan atas semua perbuatan dia yg dilakukan, termasuklah;

(1)Membocorkan rahsia parti, dah byk blog menyatakan, dah ada rakaman pada Jawatankuasa Disiplin, paling kurang 3 pihak dah berikan rakaman.

(2)Mempertikai kepimpinan (atau PJ). Sedangkan Hasan Ali jelas dalam ucapan mempertikan Mursyidul 'Am, ingkar keputusan mesyuarat, ingkar ketetapan Presiden, malah lebih bersalah ingkar ketetapan Muktamar PAS ke-54dan ke-55 utk memperkukuhkan Tahalluf Siyasi ini (Pakatan).

(3) dan byk lagi yg boleh di kemukakan... Kita di Selangor sangat tahu menilai semua kesalahan yg dilakukan oleh Hasan Ali, baik sebagai PJ atau Exco malah ADUN, yg rakyat negeri lain tidak tahu.

Cukuplah kita tak perlu lagi mempertikai keputusan itu. Kelemahan dari keputusan itu menunjukkan PAS ini kita terlalu banyak perlu belajar. Kerja kita terlau banyak, teruskan apa amanah yg perlu dilakukan. Bahaya kalau PAS ini dipimpin dengan kaedah yg dah lari dari ajaran Rasulullah.

Mohonlah pada Allah agar dijauhkan dari FITNAH yg lebih besar hasil dari kelemahan kepimpinan kita tersebut. Moga Allah tetap pelihara ISLAM yg PAS perjuangkan.

Wallahu'alam.
Anonymous said…
What a smart and humble person you are YB Khalid. You have all qualities that a leader should have. I am a Catholic(Sabahan) and I pray that you'll become our Prime Minister one day, God willing. God bless you & your family.
Anonymous said…
woi kalid! engko memang sah gila!
lepas ni apa lagi yg ko nak dedahkan????
tak serik2 mamat samdol nih!
mhbr79 said…
sepanjang pemerhatian saya yb ni jenis meleret2 la dlm sst isu..sbb itu isu yg yb bawak, bagus dab berfakta ttp akhirnya jd konterversi...penyelesain tak berlaku..lama2 org fed up... yb bole tgk sdr cara yb dlm parlimen...bagus tp meleret shingga org mnyampah....
zabri mokhtar said…
Assalamualaikum.....YB Tn Hj Khalid,

Ya saya setuju/sependapat dengan tindakan Tuan Hj.

Ikhlas,
Anonymous said…
Salam Bro. Khalid,

I think it is high time you should start thinking of forming a new party. How many person needed to make changes? The answer is just 1. I do hope you could be that 1 person.
abdrahim kassim said…
Sejak 1980an masa ccc lagi puak2 tulah yang buat onar dalam parti.Sehingga Ustaz Nakhaie terkeluar dari PAS.

YB, berserah buta sahaja tak jadi. Usahakan untuk singkirkan puak2 tu dari PAS. Balik2 bila berlaku kecoh dalam PAS, merekalah dalangnya.
orang kertas said…
ya, saya yakin sdr dihukum kerana 'mengaku bersalah' itulah. dan satu pihak lagi tak mengaku walaupun bersalah.
Anonymous said…
Assalamu alaikum, Tuan Hj Khalid:

"Ilahi anta maqsudi, wa redhaka matlubi- Tuhanku Engkaulah Maksud (tujuan)ku dan redhaMu sahajalah yang aku cari".

Peristiwa yang dialami oleh Tuan, telah menimpa saya dan isteri saya ketika memimpin lajnah dan dewan muslimat di suatu PAS Kawasan di negeri yang PAS belum menang. Bahkan peristiwa yang sama juga telah berlaku kepada banyak sahabat seperjuangan kita. Peristiwa Tahkim di antara Syaidina Ali dan Muawiah juga telah menjadi suatu sejarah dalah POLITIK Islam. Yang mana kesudahannya, bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan suatu masalah lain yang lebih besar kepada POLITIK Islam iaitu lahirnya golongan Khawarij. Syaidina Ali akhirnya terbunuh di tangan golongan Khawarij. Sedangkan peristiwa Tahkim diadakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan antara Syaidina Ali dan Muawiyah, tetapi disebabkan tipu-muslihat POLITIK yang dijalankan oleh Abu Ubaidah selaku wakil Muawiyah, Syaidina Ali terlucut jawatannya sebagai Khalifah. Saya, apabila mengamati peristiwa tersebut, dan terkenangkan peristiwa yang menimpa kami suami isteri menjadi takut bercampur benci untuk berPOLITIK lagi. Biarlah kami bagi peluang kepada golongan yang beriya-iya, berkempen, chas keting, cantas-mencantas untuk sesuatu jawatan dalam Pati, bagilah pada mereka. Kami menjadi ahli biasa saja, lebih aman tiada siapa yang dengki. Kadang-kadang apabila terdengar kata-kata hikmat di Radio IKIM yang selalu diulang-ulang (lebih-kurang bunyinya)" ...jika engkau fakir miskin, maka senangkan pulalah hatimu,kerana kefakiran dan kemiskinanmu itu tiada sebab membuat orang kecil hati dan dengki terhadapmu lantaran kemiskinan dan kefakiranmu itu. dipetik dari buku Tasauf Moden" Jadi kalau kita orang miskin/fakir jawatan, tak perlu susah hati, kita senang-senangkan hati kita kerana tiada yang dengki kepada kita. Dalam kitab Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Para Pendakwah, lebih-kurang isinya:...antara musuh yang menanti di dalam perjuangan ialah ORANG MUKMIN YANG DENGKI...., bersetaraf dengan nafsu,syaitan, kuffar harbi dan munafik.... Oleh kerana itu, pedulikan mereka yang haloba, kita buat kerja kita untuk Allah, walaupun hanya sekadar ahli bawahan yang layaknya membasuh pinggan dan dulang masa tamrin pada pandangan mereka yang haloba itu. Allah tidak pandang rupa dan penampilan dan jawatan dan kemegahan dan pidato yang memukau, yang Allah pandang ialah amalan, perbuatan, tindakan, aktiviti dan HATI kita. Insya-Allah, golongan yang haloba dan bernafsu besar bertopengkan ISLAM, mencari DUNIA dengan pakaian ISLAM akan digagalkan oleh ALLAH. Kalau mereka berjaya di dunia sekalipun, mereka akan tetap tewas di hadapan Allah. Mereka akan ditelanjangkan oleh Allah, dinampakkan segala kebusukan hati mereka di Mahkamah Allah, didedahkan segala kejahatan hati mereka yang kotor dihadapan manusia terbanyak. walaupun mereka semasa di dunia dulu hebat sekali gaya dan penampilannya. Teruslah berkata benar walaupun pahit. Tentanglah kemungkaran, walaupun dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari parti ISLAM.Janganlah disebabkan jawatannya yang besar, kita menjadi malu untuk menegur. Jangan biarkan peristiwa hitam yang menimpa KOHILAL, pemimpin-pemimpin yang membela Hantu Raya (Skim Cepat Kaya)bongkarkan sehingga ke akar-umbi. Jangan biarkan mereka terus menjadi dedalu pada pohon PAS yang Hijau dan Rimbun ini. Kami suami isteri, bahkan ramai lagi manusia yang ikhlas kepada Allah, meyintai kebenaran dan merindui keadilan akan tetap bersama saudara.
Ibnul Qayyim said…
Salam YB... teruskan berdoa & memohon kepada ALLAH didepan rumahNYA... moga2 ALLAH tunjukkan hidayah jalan perancangan baru untuk menghalang & mengusir anasir2 munafiq UMNO dlm PAS ini....
pas forever said…
bila saya membaca 2 atau 3 komen yg negative terhadap YB khalid seolah olah saya membaca komen dr umno,kenapa ya?
Kapten Zero said…
Mereka yang berkuasa dalam PAS adalah orang yang tahu fekah dan baca al quran saja mereka bukan arif dgn pemikiran kritis dan cara hidup dan perubahan sekarang. Mereka ini mengambil masa puluh tahun untuk berubah. Nak cari otak dan cara pemikiran macam Nik Aziz tiada langsung dalam Pas. PJ perak dan selangor asdalah mereka yang beku bersama dgn Mustapha Ali dan presiden.
jaguar said…
syabas yb...bangga dalam pas ada yb khalid samad...
al-Kalam said…
Setiap pertuduhan hanya wajar dijawab ia atau tidak, setuju atau tidak, dan mengaku salah atau tidak. Samada dlm Mahkamah atau dlm apa majlis Tahkim.

Manakala penjelasan sandaran dan bukti mesti dibuat dlm majlis tahkim (JK Disiplin)bukan dlm platform blog krn setiap patah perkataan yg diucapkan tanpa bukti/sandaran dan tidak boleh disanggah.

Justeru Tuan Hj Khalid saya mohon jgn meleret2 membuat penjelasan di ruang ringkas ini krn akan memburukkan lagi keadaan kpd mereka yang tidak faham.

Klu Tuan Hj masih tidak bersetuju dgn keputusan JK Disiplin Tuan Hj boleh berbincang, merayu, dan mencari pelbagai cara lain untuk menyelesaikan. Bukankah Haji seorg mujahid Jemaah yg kuat. Bukanlah membuat pendedahan di sini yg hanya penjelesan sebelah pihak tanpa org ramai memahami kronologi cerita.

JK Disiplin bukan membuat keputusan krn zalim atau menginaya Tuan Haji dan sudah pasti dari ijtihad mereka krn siasah syariyyah dan melihat maslahah umum. Kebaikan Jemaah lebih penting dan utama dari Tuan Haji dlm berjemaah.

Berlapang dadalah dgn keputusan itu. Yakinlah dgn perjuangan kita. Jgn mudah mengaku kalah dgn musuh nafsu sendiri. Tuan Haji bercakap di atas lisan sendiri sdgkan keputusan dibuat dari JK Disiplin yg ramai. Jumhur adalah muktamad bg keputusan hukum dari keputusan andaian Haji sendiri krn jumhur adalah berat untuk berdusta dan salah.

Terlalu banyak isu yg diperkatakan oleh haji dan menjadi isu yg keliru. Justeru lihatlah diri sendiri dan nilailah siapa yg menghukum Haji sebelum menunding jari kpdnya. Biarlah hukuman ini menguatkan perinsip serta ketekunan haji kepada Jemaah dan jgn sekali2 merasa terhina dan diinaya. Itulah mungkin kiffarah Allah kpd Haji di atas kesilapan keceluparan yg tidak disengajakan.
Anonymous said…
Bertaubatlah Khalid Samad..........Enta ni dah terlampau pening sgt2...............Enta jahil tapi enta tak sedar enta jahil....Jgn disebabkan krn enta jahil enta tak nak rendahkan ego enta utk menuntut ilmu dgn ulama'........Rugi lh kalau enta ni sombong n angkuh..........TINDAKAN DISIPLIN mmg sesuai untuk enta........Jgn Teruskan mengkritik Pimpinan tanpa Adab Berjemaah..Bertaubatlah khalid samad..........Menyampah ku tengok mu.........Cukup bodohlah bg org yg menyangka pemberi komen bercanggah dlm ruangan ni dianggap puak2 UMNO...........Nilaian Mu Khalid Disisi Allah........Niat baik n buruk mu disisi Allah nilaiannya.
pemuda shah alam said…
Segala tuduhan yg awak buat kat Hasan Ali semuanya adalah fitnah... Semua dakwaan itu tidak dapat dibuktikan... hanya fitnah semata2... Kalau betul apa yg awak tuduh kat hasan ali, mengapa tidak buktikan depan JK Disiplin. Mengapa kesalahan hasan ali tidak seperti apa yg awak harapkan... Jelas dan terbukti selama ini awaklah yg sebenarnya membocorkan rahsia dan maklumat parti kepada pihak yang tidak berkenaan... Kalau betullah apa tuduhan kpd hasan ali? buktikanlah... dengan JK Disiplinpun awak tak dapat buktikan, patutlah awak bagi tahu semua orang... maknanya memang sah awak kaki fitnah sedangkan awak sama2 jumpa UBN... Lagi baik blah dari PAS, baru selesai masalah ini... adapun buat pengacau dan pemfitnah je... nak tunjukkan hebat konon... jelas dan terbukti selama ini awaklah yg buat onar dan fitnah dalam Pas...
sinner said…
Tuan, Tahniah kerana memanjangkan kembali kekeliruan yg sedia ade..YB xpenah puas kan?xkan pernah mengaku diri ini bersalah..at least mengalah!biar masa menentukan kebenaran,itu lebih baik..n tatkala YB menceritakan penjelasan demi penjelasan,pihak JK disiplin akan berdiam diri. kenapa? sebab itu peraturan berjemaah.satu keputusan pasti ade sebabnya n perbincangan ttg keputusan itu kekal dlm bilik mesyuarat.itu org yg professionla menghormati organisasi..bukan terpekik terlolong dlm blog yg pasti akan disensasikan oleh media.tahniah,PAS selangor akan terus begini.pecah dua..

n what's next?EGM? then gagal dlm EGM, maka kluar lg tohmahan itu ini kata pimpinan xadil bla bla..igtlah YB,EGM xkan mengubah apa2..sbb pimpinan2 lain masih mendokong perpaduan atas dasar islam.kerana mereka lengkap tarbiah..cuma mungkin satu hari nanti di mana mereka2 baru masuk menjd pimpinan..mungkin masa tu,kita akan menang..tp menang jd arang,klh jd abu..kemenangan PAS mgkin dapat,tp mana kemenangan Islam time tu?iAllah slagi mana sy hidup,slagi itu usaha utk meletakkn politik lbih tinggi dr islam dlm PAS akan ditentang,iAllah..

sekali lagi, tahniah YB kerana terus menghangatkan suasana.keruhkan lgi YB,keruhkan..tahniah.. asal diri nmpk xbersalah,xkisah ape berlaku pd jemaah,teruskkan lah..
Abu Abdurrahman said…
YB Khalid,

Saya setuju sangat, mengadulah kat Allah, tak payah rayu keputusan JK Disiplin tu. Saya yakin, kebenaran akan terserlah nanti. Kalau ahli-ahli JK Disiplin tu bebenor kerana Allah bukan kerana perkara lain, mereka tak perlu risau terutama Tuan Ibrahim tu. Doa orang yang dizalimi pasti diterima Allah.

Pada komen-komen tak membina dan bodoh lagi bangang YB tak perlu layan.

Ahli PAS lama
Salam YB....

saya bersimpati dan terkilan dengan apa yang menimpa YB dan Parti kita....ini suatau petandan kemungkinan pilihan raya akan tiba...akibat terlalu mengikut rantak parti lawan kita seakan terpalit dengan perangai mereka...Allah menganugerahkan rasa percaya dan saya dapat rasakan keikhlasan perjuangan YB...semoga semangat dan keihlasan masih lagi pada YB biar tanpa jawatan kerana kayakinan YB mengatasi segala jawatan yang ada...semoga Allah membantu kita bersama parti kita PAS...harap Allah dapat juga membersihkan parti kita daripada segala tohmahan dan khianat yang cuba menggagalkan misi Islam kita....InsyaAllah
Unknown said…
Teruskan perjuangan anda YB. katakanlah yg benar walaupun pahit..anda tak perlu merayu.cukup sebagai ahli biasa saja..puak UG sekarang jenih penakut.....bila umno panas puak ug dlm PASpun terasa bahang begitulaah sebaliknya..sebab tu geng2 nie senyap sekarang..jgn takut..org2 muda yg menyokong PAS masih ramailagi yg bersama anda..kecuali ketua pemuda PAS pusat dan beberapa geng muda dia..(yg berjawatan) ..
czackPY said…
YB , Oklah kita bergerak untuk tawan Malaysia. Bab PJ tu kita serah kpd Allah.

Kalau dibawa berbincang dalam blog sampai bila pun tak selesai. Akhir kita hilang fokus atas matlamat kita.

Semua dah tahu. Jika muncul lagi cerita serta tindakan berbau UG kita tahu kat mana meriam yang akan kita halakan

Ahli PAS serta pengundi bakal buat keputusan di PRU 13. Jangan terperanjat tempat yang calunnya mirip ke UG akan kecundang walaupun di gombak.
pemuda shah alam said…
Doa orang zalim??? siapa yg zalim siapa??? Yg dok buat fitnah kat orang tu bukan zalim ke??? kalau khalid dizalimi mengapa di dakwa mebocorkan rahsia parti? mengapa hasan ali di dakwa pasal lain??? Pada JK Disiplinpun puak2 yg sokong khalid ni dah tak thiqah? tak tau nak cakap apa lagi... La ni Allah bantu Pas untuk bersihkan parti ini dari puak2 yg nak jahanamkan PAS... Pas bagi masa kat puak2 ni utk bertaubat dan kembali kepada perjuangan sebenar, tapi puak2 ni tidak insaf malah makin jahat... Sekarang ni, masa dah tamat, satu persatu puak2 yg nak hancurkan Pas sedang dibersihkan tanpa disedari... semua puak2 ini sedang kepanasan... tak senang duduk dan tunggu masa je akan dinyahkan dari Pas... Khalid dah kena? yg lain... tunggu, samada nyah sendiri atau dinyahkan...
Anonymous said…
salam,

saudara Khalid yang sudah tu...tamatkan ia. tak payah le ungkit-ungkit lagi. semua orang dalam parti pas baik-baik. saudara dan semua pendokong pas adalah orang-orang yang baik.Kita dalam pas tak perlu ada kepentingan peribadi..jawatan itu beban yang berat jadi janganlah kita minta jawatan. kita kat dalam pas ni ada satu tujuan je..saudara tentu tau tu.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...