Skip to main content

Respon Pengunjung Jun (Part I)

Saya minta maaf kerana terlalu sibuk dan tidak berkesempatan memberi respon kepada komen-komen yang tuan-tuan semua berikan sejak kebelakangan ini. Saya akan cuba memberikannya di sini, tetapi malangnya hanya dapat sentuh beberapa isu secara ringkas.

PERANG SIFFIN DAN PERPADUAN BN

Pertamanya, artikel saya mengenai peristiwa ini TIDAK bertujuan menyatakan siapa salah di antara Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah, atau mencerca Muawaiyyah serta memuji Saidina Ali. Ini yang dilarang ulama’. Yang cuba diketengahkan adalah pengajaran yang patut diambil.

Saya cuma mendedahkan bagaimana melalui isu perdamaian/gencatan senjata, kontroversi timbul, tentera yang sedang menang boleh hilang kelebihan kedudukannya dan akhirnya pihak yang sedang kalah menyelamatkan diri dari kekalahan yang muktamad.

Dalam keadaan itu persoalan perdamaian/gencatan senjata demi tahkim dicadangkan oleh yang diasak sebagai helah perang. Dalam soal PAS, dicadangkan oleh pihak yang sedang mengasak demi menimbulkan perbalahan?!

Kedua, bagi yang menimbulkan soal ‘Qiyas maal Faarik’ telah dijelaskan dengan baik oleh wan sek 7 dan saya setuju bahawa tuduhan ini lebih sesuai bagi yang mengatakan usaha perpaduan adalah sama dengan apa yang diusahakan oleh Nabi Musa (AS) bila beliau berhadapan dengan Firaun. Ini ikut kitab mana ya?

Seterusnya, bagi yang menimbulkan soal masalah perang siffin berlaku hasil Muawaiyyah tidak wala’ kepada Ali saya pun agak hairan. Kenapa Saidina Ali tidak sebut sahaja, “wala’,wala’, wala’?” Maka semua akan sepatutnya bersama beliau. Begitu juga dengan keadaan apabila tenteranya sendiri yang telah condong kepada perdamaian yang beliau sendiri tidak. Mengapa Saidina Ali tidak melaungkan “wala’, wala’, wala’?”

Mungkin beliau dan para sahabat tak ikuti apa yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘tarbiyyah PAS’ kot? Yang mana ianya boleh menghasilkan kata-kata dari seorang pimpinan pusat, “saya tak tahu apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan, tetapi apa sahaja yang keluar dari mulut Presiden, saya sokong”. Tarbiyyah yang sebegini memang tiada pada zaman itu dan wala’ yang diminta tidak sehingga peringkat taat melulu, walaupun atas persoalan pandangan. Maaf, saya tak ikuti tarbiyyah sebegini. Soal hukum lain cerita.

Sebenarnya Saidinna Ali telah mengadakan syura dan malangnya pandangan syura mengatasi pandangan beliau sendiri dan beliau akur. Walaupun beliau lebih hebat ke’ulama’an dirinya dari mana-mana pimpinan kita pada ketika ini, Saidina Ali mengamalkan syura. Ini adalah kerana dia faham bahawa sebagai pemimpin yang akan menjadi contoh sepanjang zaman, amalan dirinya akan menjadi panduan untuk ummat Islam satu ketika nanti. Beliau mengadakan syura dengan pimpinan dan sahabat lain kerana syura itu wajib, malah ada yang mengatakan ianya Fardu bagi kepimpinan Islam. Mereka memutuskan damai/tahkim dan Saidina Ali akur. Keputusan mereka tidak salah dari sudut syara’ (walaupun bukan itu yang saya cuba ketengahkan) tetapi dari sudut politik jelas tersilap kerana akhirnya matlamat Amr Al-As tercapai.

Persoalan sekarang isu kerajaan perpaduan datangnya dari pihak mana? Ust Halim, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa telah menyebut, tidak pernah dibincang samada peringkat MS Ulama’, Lujnah Politik, mahupun AJK PAS Pusat. Mengapa agenda beberapa individu boleh dijadikan agenda parti? Wala’ bersyarat terlebih dahulu pemimpin mesti adakan syura. Islam bukan sistem diktator walaupun oleh seorang alim. Ini yang sering ditohmahkan oleh musuh Islam terhadap Islam, ‘Dictatorship of the Mullah’. Dan inilah yang ingin kita sanggah. Malangnya mereka-mereka yang menjaja isu wala’ kerana tidak mempunyai kekuatan hujjah mencemarkan imej Islam tanpa mereka sedari. Golongan ini akhirnya membantu usaha musuh Islam untuk memburuk-burukkan imej Islam.

Yang pelik lagi ada yang mengatakan kemenangan Muawaiyyah adalah OK kerana menghasilkan kerajaan Bani Umayyah yang melahirkan Umar Abd. Aziz. Hujjah ini tampak lebih hebat! Maka adakah dengan itu penindasan kaum Quraish terhadap Rasulullah (SAW) juga boleh kita aggap OK kerana menyebabkan berlakunya Hijrah! Saya nak sebutlah, kalau mahu kemukakan hujjah pun biarlah yang waras. Sedangkan jumhur ulama’ dalam kes ini menyatakan Ali di pihak yang benar. Ada juga hujjahnya yang melibatkan kematian Ammar Bin Yassir tetapi saya kira itu tidak perlu saya kemukakan di sini. Hakikatnya Muawaiyyah tidak digolongkan bersama Khulafah Ar Raashidiin.

Dalam masa yang sama ada juga yang menggunakan ayat 61 Surah Al-Anfal sebagai hujjah untuk mewajibkan perdamaian. Saya ceritakan kisah perang Siffin supaya mereka-mereka ini berfikir. Sekiranya benar tafsiran mereka bahawa ayat tersebut mewajibkan damai apabila pihak lawan condong pada perdamaian, mengapa Saidina Ali berkeras tidak mahu? Adakah beliau yang digelar sebagai ‘pintu gerbang ilmu’ tidak arif akan ayat ini? Adakah sahabat-sahabat yang berhempas-pulas berhujjah dengan beliau tidak tahu ayat ini sehingga tidak menyedarkan beliau bahawa pandangan beliau ‘bercanggah dengan Al-Quran’? Ataupun diri sendiri yang tersalah tafsir? Lagipun ada banyak ayat yang lain yang perlu juga diambil kira. Bagaimana dengan ayat 113 Surah Hud yang sering kita baca dalam ceramah-ceramah kita tempoh hari? Apa? Dah lupa? Ayat yang bermaksud :-
Dan janganlah kamu condong kepada mereka-mereka yang Zalim, kamu akan digenggam api neraka……
Ohhhh… UMNO/BN dah tak zalim… Hmmm, macam-macamlah alasan bila teringinkan jawatan…

ULASAN MUKTAMAR

Dalam artikel tersebut saya hanya memberi ulasan atas beberapa pengamatan saya sepanjang muktamar yang ke-55 yang lalu. Malangnya, teguran negatif sekali lagi tidak menumpu kepada analisis yang dikemukakan tetapi sebaliknya kepada apa yang dianggap sebagai sikap saya yang dianggap tidak betul. Harap dapat tumpu pada analisis dan jangan ‘divert’ pada isu yang lain.

Sebagai contoh, bagi yang tidak faham-faham, apabila Saidinna Umar Al-Khattab disoal oleh Abu Dharr berhubung jumlah kain yang diambil Umar untuk membuat Jubah baru (sedangkan yang lain mendapat jumlah yang tidak mencukupi untuk membuat Jubah), Umar serta sahabat-sahabat lain tidak menemplak Abu Dharr dengan menjawab :-
  1. Wala’, wala’, wala’ – sedangkan Abu Dharr menyatakan kami tidak akan dengar dan tidak akan patuh sehingga persoalan ini dijelaskan..
  2. “Thiqah dan husnuh dzan ya Abu Dharr, mana tarbiyyah kamu?” kerana kenyataan Abu Dharr bagaikan menuduh Umar tidak adil.
  3. Tiada adab dan sebagainya. Umar pada masa itu Khalifah dan kedudukan Umar sebagai sepuluh yang dijanjikan syurga diketahui umum.
Sebaliknya soalan Abu Dharr dengan segera mampu dijawab oleh anak Umar dengan menyatakan dia telah memberi bahagiannya kepada ayahnya dan dengan itu jumlah kain yang ada pada Umar mencukupi untuk dibuat sepasang jubah. Settle!

Apabila saya persoalkan kempen yang dilakukan untuk Ust Nasha melalui program Jubli Perak Kepimpinan Ulama’ sepatutnya persoalan saya dijawab; begitu juga berhubung peranan kempen melalui Harakah, serta percakapan yang bercanggah sebelum dan selepas yang sekarang ini semakin jelas; ini semua patut dijawab ataupun dijelaskan sepertimana dijawabnya soalan Abu Dharr itu.

Rasulullah (SAW) dan para sahabat menunjukkan kepada kita keterbukaan dalam amalan menyoal pemimpin, kenapa kita tidak mahu membenarkan? Tarbiyyah yang macam ini pun saya tak pernah ikuti iaitu jenis tarbiyyah yang ingin menjadikan ahli PAS sebagai tukang angguk atas alasan wala’, thiqah, husnus dzan dan sebagainya.

Soal kononnya saya ini ada kepentingan perniagaan, ingin saya nyatakan disini bahawa saya adalah seorang MP full-time. Saya tiada menyerahkan apa-apa tawaran atau cadangkan untuk kerajaan Negeri Selangor, samada dari Jerman, Jepun, Australia atau mana-mana Negara sekalipun. Harap yang menuduh buktikan tuduhan tersebut. Di sini pun tidak mengapa…

insyaAllah bersambung petang esok...

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

zulhardy said…
Salam YB,

Semakin hari hujan yang YB berikan bagi menjawab tohmahan - tohmahan liar ini semakin menunjukkan kredibiliti YB sebagai seorang pemimpim yang amat berkebolehan.

Saya akan terus memberi sokongan kepada YB selagi mana YB masih lagi memperjuangkan yang haq dan meninggalkan yang batil.

Masih jauh lagi perjalanan kita rupanya dalam memastikan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan pemerintah di Malaysia, walaupun jarak tersebut seolah - olah hanya sebesar kuman beberapa bulan yang lepas.

Teruskan usaha gigih YB.
Anonymous said…
tulisan anda penuh dgn emosi, hasad dengki dan fitnah.
kesian melihat org yg cuba menegakkan benangnya yg basah.

dan tak takut dgn azab neraka Allah apabila masih nak memfitnah Dewan Ulama dgn mengatakan kenvesyen kepimpinan ulama adalah kempen utk ust Nasha.

bertaubatlah khalid!
anda tidak layak memimpin jamaah islam.
Anonymous said…
khalid, bacalah ulasan drp Dr Asri (bekas mufti perlis yg anda kagumi ilmunya)...mudah-mudahan anda mendapat petunjuk :

Ada yang berkata jangan sampai jadi macam tentera ‘Ali bin Abi Talib r.a. yang ditipu oleh ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin ‘Abi Sufyan. Mengambil kesempatan ini saya ingin menegaskan bahawa ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin Abi Sufyan tidak pernah menipu ‘Ali bin Abi Talib. Riwayat-riwayat Syi’ah telah mempengaruh pemikiran sebahagian besar pembaca sejarah.

Riwayat-riwayat rawi Syi’ah seperti Abu Mikhnaf (meninggal 157H) telah menggambarkan seakan para sahabah Nabi s.a.w mengkhianati antara satu sama lain. Padahal kesemua para sahabat tersebut mendapat pujian Nabi s.a.w semasa hayat baginda.

Sebenarnya, setelah berlaku peperangan ‘Ali dengan Muawiyah dan puluhan ribu orang Islam terbunuh, Mu`awiyah telah mengangkat al-Quran dan menyatakan:

“Ini dia penyelesaian antara kami dan kamu, sekiranya semua manusia (umat Islam) musnah, siapa yang akan menjaga sempadan, siapa yang akan berjihad menentang golongan musyrikin dan kuffar?”. Maka, peperangan pun dihentikan.(‘Iyadah Ayyub al-Kubaisiy, Sahabah al-Rasul fi al-Kitab wa al-Sunnah, m.s.319-321, Syria: Dar al-Qalam).

Selepas perdamaian tersebut maka terjadilah peristiwa Tahkim yang masyhur. Malangnya hakikat sebenar Tahkim ini telah diputar belitkan dengan menggunakan riwayat-riwayat palsu yang kononnya `Amr bin al-`As telah menipu Abu Musa al-Asy`ari. Tokoh sejarahwan agung Muhibb al-Din al-Khatib berkata

“..apa yang diperkatakan oleh mereka yang keliru bahawa Abu Musa dan `Amr telah bersetuju memecat `Ali dan Mu`awiyah, apabila Abu Musa memecat `Ali, `Amr juga memecatnya tapi mengekalkan Mu`awiyah adalah satu kekeliruan, dan sengaja mereka itu bersikap jahil. Sebabnya Muawiyah ketika itu tidak pernah menjadi khalifah dan tidak pernah mendakwa sebagai khalifah sehingga perlu `Amr memecatnya. Sebaliknya mereka telah bersetuju menyerahkan urusan kekhalifahan kepada umat Islam yang ada, yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang mana Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan meredhai mereka. Kedua-duanya telah bersetuju demikian. Oleh itu tidak timbul mengenai persoalan Mu`awiyah, kerana beliau bukannya khalifah dan beliau juga tidak berperang untuk menjadi khalifah, sebaliknya kerana menuntut dilaksanakan hukuman had syar’i kepada mereka yang terlibat dalam pembunuhan `Uthman. Apabila Tahkim menyentuh persoalan kepimpinan orang Islam, kedua-duanya telah bersetuju untuk diserahkan masalah ini kepada para pembesar sahabah. Adapun berhubung dengan perlaksanaan pentadbiran, `Ali menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya dan Mu`awiyah pula menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya. Oleh itu di dalam peristiwa Tahkim tidak ada kisah tipu daya dan helah..” (al-Awasim min al-Qawasim (ta’liqat) m.s. 177, Beirut: Dar al-Khair).

Apa pun, sejarah Siffin amatlah hitam kerana telah mengorbankan umat Islam begitu banyak. Sebab itu dari awal lagi, majoriti para sahabat Nabi s.a.w.enggan terlibat dengan perbalahan tersebut. Kata tokoh tabi’in Muhammad bin Sirin:

“Ombak fitnah melanda sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat di dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264).

Ya, kita pun hanya ingin terlibat jika PAS dan UMNO ingin berukhuwwah, tetapi tidak sebaliknya. Namun kita akan menentang pihak yang melampau kerana itu arahan al-Quran!
Anonymous said…
YB bukan dari kalangan ulama - tidak belajar ugama secara formal; maka sebab itu pandangan YB di anggap sepi oleh ramai.Hujah YB bernas dan saya sokong , lagi pun TGHH sendiri menganggap gagasan kerajaan perpaduan ini sebagai 'diskusi-diskusi akademik' maka kita semua patut memberikan pandangan atau teguran terhadapnya.Teruskan usaha YB ini!
Anonymous said…
bila menghuraikan tentang peperangan siffin ramai sebenarnya yang telah terpengaruh dengan riwayat 2 yang telah diputar belitkan khususnya oleh puak syiah, saya cadangkan saudara baca apa yang telah dinukilkan oleh Imam muhibuddin Khatib dalam kitabnya " Al-awasim minal Qawasim " . semoga kita tidak mudah menghukum golongan yang bernama "SAHABAH".
Anonymous said…
salam

Memang YB tidak melalui tarbiyah PAS.Samalah seperti Dr Lo' Lo', Dr Mariah, Dr Kamaruddin Jaafar dan yang sewaktu dengannya yang menggabungkan diri dengan PAS hanya sebagai pari politik bukan sebagai jamaah tarbiyah dan dakwah.

YB dahulunya melalui tarbiyah Suara Islam dan balik menubuhkan Parti Negara Islam Malaysia.

YB tidak menyerap dengan tarbiyah PAS. YB hilang bila YB rasa perlu hilang dari PAS.. dan YB datang bila YB rasa perlu datang pada PAS..

Tahukah YB mengapa Saidina Ali dan anak-anaknya tidak terus bertahan di rumah Uthman untuk mempertahankan Uthman dari diserang penceroboh? Kerana Saidina Ali dan anak-anaknya sangat wala' kepada sidina Uthman yang mengarahkan mereka agar pulang krn saidina Uthman tdk mahu berlakunya pertumpahan darah disebabkan oleh beliau. saidina Ali dan anak-anak WALA' walaupun natijahnya Uthman terbunuh.

Yang menyebabkan berlakunya pertembungan di antara Muawiyah dan Ali menurut Ulama ialah kerana Muawiyah yang enggan WALA' kerana dalam situasi itu Saidina Muawiyah beranggapan tdk wajib taat kepada Ali kerana Ali tidak melaksanakan hukum Allah (bagi menghukum pembunuh Uthman). Muawiyah tdk mendapat maklumat yang sbnr (krn zaman itu media payah). Para Ulama bersetuju bahawa sepatutnya Muawiyah lebih THIQAH dan WALA' kepada Ali. Sementara Ali terpaksa menghadapi peperangan dengan Muawiyah krn dalam situasi itu Muawiyah boleh dianggap sebagai bughah.

Dalam tarbiyah jamaah islam, ahli mesti sangka baik, sangat percaya dan taat dengan pimpinan kecuali pada perkara maksiat. Demikian lah juga ada adab-adabnya dalam menegut pimpinan tidak sebagaimana menegur musuh. Sebagai contoh :

1. Suami adalah pemimpin keluarga. Wajarkah isteri menegur suami secara kasar dan terang-terangan di depan anak-anak atau khalayak ramai? Bolehkah kalau isteri Yg tak puas hati dengan YB, maka dia tegur depan anak-anak atau depan mertua atau depan jiran tetangga, atas nama kebebasan bersuara, demokrasi atau kritik??? bukankah adabnya mengajar agar ditegur dibelakang?

2. Elokkah seorang ayah terang-terangan dihadapan khalayak ramai oleh anak sehingga menjatuhkan kredibiliti atau air muka ayah tersebut?

Inilah yang saya maksudkan sebagai tarbiyah dalam PAS. Ia menggunakan hak kebebasan bersuara, demokrasi dan sebagainya, tetapi pada tempat-tempatnya.. bukan beriman dengan hak tersebut sehingga menghilangkan adab dan akhlak sesama jamaah.

Kalau YB tidak boleh menyerap dengan tarbiyah ini, jadilah wakil rakyat PKR atau DAP.. tak perlu jadi wakil rakyat PAS yang tak boleh hormat dengan pimpinannya.

Saya pun tak berapa bersetuju dengan kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang sangat saya sayangi apabila menegur dengan kasar kepada Ustaz Nasha, tetapi saya masih dan sangat bersangka baik, bahawa silap faham itu akan selesai dalam pertemuan-pertemuan sehari dua ni..

Tapi tindakan YB bersama YB-YB yang tidak menyerap dengan tarbiyah PAS itu sebenarnya yang semakin memburukkan keadaan..

Saya harap YB faham.
Anonymous said…
Saudara Khalid Samad,

Tulisan anda menunjukkan ansda tidak faham konsep wala' dan thiqah.

Wala atau taat adalah pada semua perkara kecuali atas perkara maksiat. Apa maksiat yang TG Haji Abdul Hadi buat???
fidarulmiah said…
saudara jgn cepat menuduh orang gilakan jawatan.

org pun boleh kata yang sama pada saudara. Kalau PR menang, sudah tentu DSAI akan melantik saudara jadi menteri sebagai balasan balik.
Ulanyak said…
Perang Siffin boleh dilihat dari perbagai sudut dan pandangan dan YB Khalid adalah berhad terhadap pilihan dari sudut mana dia mengambil pandangan tersebut.

Pendapat diatas yang mengatakan "tulisan anda penuh dgn emosi, hasad dengki dan fitnah.
kesian melihat org yg cuba menegakkan benangnya yg basah." adalah tanda kebantutan intelek (Intelectual retardation) yang menjadi penyakit sebahagian besar manusia. Mereka gagal untuk berhujah apatah lagi untuk memberi idea idea kearah memakmurkan tarbiah islamiah.

Syabas Yb Khalid yang dapat meretakkan tembok tembok konsevertisma didalam PAS.Semoga dinamisma ilmu akan berkembang dan tidak lagi menjadi hak milik mutlak "ulamak".
Anonymous said…
Salam...

malas nak komen pasal UG nie... cuma tgh hairan... vocab bahasa melayu nie daif sgt ker sampai segala perkataan arab abih kita pinjam... tak bermakna guna perkataan2 boombastik arab membuatkan ia lebih islamik... terus terang.. menyampah tgk pon ada... kita nie nak perjuang Islam atau nak perjuang budaya atau bahasa arab???
Abu Abdurrahman, Pas Kg Jawa said…
keapda Anonymous June 22, 2009 10:23 AM (Kenapa tidak berani memaparkan diri jika benar-benar ingin mencari kebenaran?). Saya akan namakan Anon in sbg "Sifulan".

Sifulan patut menyanggah (atau meyokong) pendapat YB khalid, bukan mengatakan "tulisan anda penuh dgn emosi, hasad dengki dan fitnah." tanpa memberi hujjah dan bukti.

Sifulan ini bersifat seperti yang ditulisnya - "penuh dgn emosi, hasad dengki dan fitnah".

Dan tanya saya pada Sifulan, bila berkata "tak takut dgn azab neraka Allah apabila masih nak memfitnah Dewan Ulama dgn mengatakan kenvesyen kepimpinan ulama adalah kempen utk ust Nasha" - buktikan dan berhujjah dengan berhemah untuk menyanggah kata-kata YB ini. Kalau tidak Sifulan ini menuduh YB Khalid.

Yang pastinya Naza dah ditegur secara keras oleh TGNA; jadi kita dapat gambarkan rasa kecewa TGNA pada si mamat Naza ini.

PAS Kg. Jawa
Anonymous said…
Assalamualaikum YB.

Alhamdulillah, semuanya telah selesai hari ini. Pemimpin-pemimpin kita dan YB sendiri boleh tidur dengan nyenyak malam ni. Sejak dari YB mula memasuki Parlimen, saya sudah kagum dengan YB. Kebolehan YB membawa hujjah dengan penuh fakta ilmiah dan juga disiplin adalah sesuatu yang sangat membanggakan. Begitu juga kebolehan YB menangkis fitnah dan dakwaan jahat Barisan Nasional sangat tidak diragukan. Saya kira mungkin orang orang yang mengkritik YB ini tidak pernah menyaksikan bagaimana YB berhujjah di Dewan Rakyat. Janganlah YB ambil hati dengan mereka. Mungkin teguran mereka bermaksud baik dan saya mengharapkan yang sedemikian.

Kedua, Alhamdulillah saya menunggu sekian lama jawapan YB berkenaan Perang Siffin. Tenang saya apabila membaca jawapan dan penjelasan YB bahawa tidak pernah terdetik di hati YB untuk menghina sahabat terutama Amr Ibn Al As dan Muawiyyah bin Abi Sufyan Radhiallahu Anhuma, kerana kita Ahl Sunnah tidak menghina dan mencerca sahabat Nabi (s.a.w).

Cuma, saya ingin membetulkan sedikit riwayat cerita yang dibawakan oleh YB itu. Dan saya tau ini bukan kesalahan YB bahkan kita semua pun diajar di sekolah-sekolah dengan kisah yang sama yang YB bawakkan ini.

Kisah tahkim adalah antara bibit hitam dalam sejarah Islam. Dan Imam Al-Tabari telah menceritakan hal tahkim ini dalam kitabnya Tarikh Tabari. Dia telah mengumpulkan berbagai-bagai riwayat/versi berkenaanya. Dan salah satu dari riwayat/versi itu ialah sebagaimana yang YB ceritakan. Imam Al-Tabari ialah seorang yang amanah. Dia bukan sahaja meriwayatkan cerita tetapi juga sanad dari mana dia mendapatkan cerita tersebut.

Salah seorang yang meriwayatkan ceritu itu ialah Abu Mikhnaf Lut Bin Yahya. Dia ini dikritik sebagai tidak tsiqah dan Abu Hatim (r.a) mengatakan Abu Mikhnaf ini 'matrukul hadith' iaitu hadith yang diambil daripadanya hendaklah ditinggalkan. Bahkan Al Bukhari juga mengkritik Abu Mikhnaf ini. (Sumber: Siyar A'lam Al Nubala': Imam Zahabi)

Ini bermakna kisah yang YB ceritakan itu merupakan kisah yang tidak betul berkenaan peristiwa tahkim. Adapun kisah yang benar telah pun diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Ibnu 'Asakir dan Al Duruqtuni sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah Ibnu Arabi dalam kitabnya Al Awasim Min Al Qawasim. (Kitab ini ada diterjemahkan dalam Bahasa Melayu oleh Abu Mazaya kalau saya tak silap).

Peristiwa Tahkim ini tidak mencapai sebarang keputusan. Dan Saidina Ali Karamallu Wahjah kekal sebagai khalifah.Bahkan peristiwa Tahkim tidak pernah membincangkan tentang jawatan khalifah.

Muawiyyah (r.a) enggan menbaiah Ali bukan kerana berebutkan jawatan kepimpinan tetapi dia menginginkan agar Ali melaksanakan hukum Qisas kepada pembunuh Uthman (r.a) terlebih dahulu. Selepas pada itu barulah dia membaiah Ali.Begitulah juga penduduk Syam mereka membaiah Muawiyah kerana bersetuju bahawa pembuhuh Uthman hendaklah diqisaskan terlebih dahulu.

Kisah yang diriwayatkan oleh Abu Mikhnaf ini telah memburukkan ramai sahabah antaranya:
- Muawwiyah Bin Abi Sufyan
- Amr Ibu Al As
- Abu Musa Al- Asyaari.

Berhati-hatilah kita dalam meriwayatkannya.

Mungkin YB atas kapasiti sebagai Ahli Dewan Rakyat boleh mengemukakan usul atau cadangan untuk dikaji dan di nilai semula kisah kisah sejarah Islam sebagaimana yang diajarkan di sekolah-sekolah kita. Kita khuatir riwayat palsu ini akan merosakkan agama kita.

Saya pohon maaf kepada YB andai ada perkataan saya dalam komen ini yang tidak wajar dan membuatkan YB terasa hati. Saya berharap YB teruskan perjuangan murni Islam yang YB bawak sekarang. Saya doakan agar Allah sentiasa memberi pertolongan kepada YB.

Sekian.
Muhammad Afiq Bin Mohd Noor
afiq.dr@gmail.com

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-