Skip to main content

Dakwah Bil Lisan dan Bil Hal

Ada yang meletakkan komen dlm posting saya DSAI Khianat? yang berbunyi begini:
“Dakwah bil lisan dan Bil Hal....bil Lisan dah 50 tahun lebih...
Bil Hal dah 18 tahun di Kelantan...apa yang tak berkenan dengan PAS nak tengok tentang PAS... adakah 18 tahun bil hal tu tak cukup lagi...atau mereka betul-betul lembab...atau kita yang tergila-gila nak jadi menteri lalu buat lah berbagai alasan tanpa fikir betul atau tidak kita cakap tu”
Saya sebenarnya tak begitu jelas apa yang dimaksudkan dengan komen di atas. Tetapi, saya teringat ada yang meletak komen yang seakan sama berhubung usaha kita untuk mendapat sokongan dari orang bukan Islam. Mereka mempertikaikan keberkesanan dan mungkin juga keikhlasan orang bukan Islam yang merupakan di antara sasaran usaha-usaha kita. PAS telah memerintah Kelantan 18 tahun, tidak cukupkah lagi bukti kebenaran dan keadilan Islam bagi orang bukan Islam katanya?

Komen sebegini sebenarnya amat meleset. Ini kerana orang bukan Islam di Kelantan sememangnya menyokong PAS. Mereka mengundi PAS dan mereka sedar PAS lebih adil dari BN. Tetapi mereka tidak memeluk Islam. Mungkin ini yang dimaksudkan dan itulah yang dianggap buang masa sahaja. Tetapi soal peluk Islam atau sebaliknya bukan kuasa kita. Hidayah di tangan Allah dan kita tak mampu menentukan orang ini atau orang itu masuk Islam atau sebaliknya. Kita hanya menyampaikan, bil lisan dan bil hal. Itu tugas kita semua, sepanjang hayat.

Komen yang dikemukakan bertujuan (mengikut fahaman saya) untuk PAS memikirkan kerjasama dengan UMNO secara serius dan lupakan sahaja orang bukan Islam. Yang peliknya tukang komen ini seolah-olahnya hanya melihat orang bukan Islam tidak memeluk Islam walaupun menyokong PAS. Dia seakan-akan tidak nampak orang UMNO Kelantan yang menentang dan terus menentang PAS setelah 18 tahun PAS memerintah walaupun mereka orang Islam. Bagi pandangan beliau, ‘orang Islam’ yang menentang perjuangan Islam perlu diberi keutamaan berbanding dengan orang bukan Islam yang menyokong perjuangan Islam. Adakah ini benar?

Memadai bagi saya menyatakan bahawa dari sudut aqeedah memang betul tetapi dari sudut dakwah dan matlamat perjuangan PAS untuk menentukan risalah Islam disampaikan secara jelas, ianya tidak tepat. Dari sudut Aqeedah sekalipun, kita serah kepada Allah, sejauhmana tindakan UMNO Kelantan menentang perjuangan Islam bersesuaian dengan Aqeedah Islam yang mereka akui mereka anuti. Dari sudut perjuangan dan dakwah, kita perlukan sokongan orang yang menyokong dan kita ketepikan sahaja serangan golongan yang menentang. Ini adalah kerana dengan sokongan yang menyokong, termasuk sokongan bukan Islam, kita dapat berkuasa dan dengan itu membebaskan Islam dari rantai2 yang mengikatnya selama ini yang dikenakan oleh BN.

Mereka ini mungkin berasa puas hati dengan Islam yang dipamirkan oleh BN dan menganggap Melayu dan Islam itu sama. Selagi Melayu kuat, Islam kuat, itulah pandangan mereka. Kalau Melayu berkuasa, maknanya Islam berkuasa mengikut pandangan songsang ini. Masalah Negara, bagi beliau dan orang2 seperti beliau, ialah ramainya orang bukan Islam. Orang Islam kena bersatu dan hakikat UMNO menolak perjuangan Islam hanya masalah teknikal. Mereka lupa bahawa di negara2 90% orang Islam sekalipun, gerakan Islam ditindas oleh orang Islam sejenis UMNO, seperti di Mesir, Syria, Iraq bawah Saddam dan sebagainya.

Sedar atau tidak bahawa keadilan yang dibawa PAS adalah Islam yang sebenarnya. Kita bukan berkompromi dengan ajaran Islam dan ‘berpura-pura’ adil demi mendapat sokongan bukan Islam. PAS menganggap sekiranya Islam kuat, Melayu kuat tanpa perlu menzalimi kaum lain. Ini juga satu masalah bagi golonagan ini kerana tidak mampu melihat hakikat sebenar. Perlaksanaan Islam secara 100% akan memakan masa kerana kita perlu meyakinkan semua akan keadilan Islam, sistemnya dan undang-undangnya, mungkin selangkah demi selangkah. Kita hanya mampu buktikannya sekiranya kita berkuasa dan seterusnya berusaha kearah itu, bil lisan dan bil hal.

Kalau dengan UMNO pun setelah 18 tahun tak berjaya tetapi kita tidak berputus asa, mengapa kita perlu berputus asa terhadap orang bukan Islam?

WalLahu 'Alam

Comments

abdrahim kassim said…
ad-dua'atun la qudo......pi tanya kat Anwar Ibrahim. Dia pandai pasai benda ni..
Beast Master said…
A'kum tuan ...pendapat bernas gini mmg selalu ada org menentang ...yg kalut pasai benda nie org politik jer tuan ...pasai tu lah UMNO selangor kecoh ..depa nak bagi cina ngan melayu gaduh tu jer ...itu matlamat UMNO ..harap rakyat biasa paham benda nie ...

sedangkan Kelantan nak buat hudud pun UMNO x bagi ..walhal cina kelantan relax jer x der pun nak berontak ...

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan